UMPSA terima sumbangan lebih RM80 juta nilai Endowmen Terkumpul dan lancar Endowmen Tuanku Canselor
KUALA LUMPUR, 26 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengumpulkan endowmen dengan nilai lebih RM80 juta hasil sumbangan pihak industri, komuniti dan alumni ke arah kelestarian kewangan yang mampan bagi memperkasa kualiti dan penghasilan penyelidikan berimpak dalam melonjakkan reputasi universiti di persada global.
Terdapat lima endowmen iaitu Endowmen Kepengerusian yang menerajui kepakaran bagi kursi penyelidikan khusus dalam bidang-bidang penting yang berimpak tinggi dan Endowmen Penyelidikan ialah hasil penyelidikan yang memacu kemajuan negara untuk menyelesaikan keperluan industri melalui kepakaran akademia.
Lain-lain adalah Endowmen Biasiswa, Kebajikan dan Kebajikan Pelajar, Endowmen Komuniti dan Endowmen Alumni.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Tuanku Canselor UMPSA dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA bersama-sama Industri hari ini.

Baginda turut berkenan melancarkan Endowmen Tuanku Canselor bagi menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kebajikan untuk kecemerlangan universiti.
Hadir dalam majlis, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak mewakili Menteri Besar Pahang, Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselo, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Yatimah berkata, sokongan rakan industri melalui endowmen ini amat penting dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi UMPSA sebagai hab TVET Termaju di rantau ASEAN.
“Majlis pada hari ini adalah bukti nyata dan manifestasi penghargaan UMPSA kepada semua rakan strategik industri yang sentiasa memberi sokongan sejak 23 tahun yang lalu.
“Kolaborasi yang terjalin dengan lebih 800 industri ini adalah komitmen bersama terhadap masa depan pendidikan tinggi dan industri negara.
“Seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan kepakaran universiti, UMPSA membuktikan bahawa komitmen dalam mengangkat taraf hidup komuniti tempatan dengan melestarikan sektor pertanian negara dan inovasi teknologi melalui Sistem Pertanian Pintar Berasaskan IoT menjadi penyelesaian baharu bagi petani Bumiputera, khususnya kumpulan B40 di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, selain itu, projek kolaborasi antara UMPSA dan Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU) juga telah meningkatkan pendapatan lebih 50 Usahawan Kecil dan Sederhana (UKS), mewujudkan peluang pekerjaan baharu merentasi 33 lokasi di empat daerah Pahang - Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh sejak tahun 2021 dan berjaya memperoleh geran sebanyak RM2.27 juta di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera.
“Manakala Projek Pemindahan Teknologi Penternakan Itik Penelur dan Pedaging kepada Koperasi Komuniti Amanah Pahang Berhad telah menjadi pemacu kepada transformasi sektor penternakan komuniti luar bandar di negeri Pahang,” katanya.
Pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua rakan industri atas sumbangan kerjasama yang membuka ruang perkongsian kepakaran serta penjanaan penyelesaian kepada permasalahan sebenar di lapangan.
Dalam majlis ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah turut menyaksikan penyampaian cek cura kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bernilai RM 50 juta yang disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Aerospace City (PACDB), Profesor Muhamad Nurazmi Abas dan Pengarah Urusan, Kintsugi (K2), Sean Teoh.
Kintsugi (K2) merupakan sebuah syarikat milik kerajaan Abu Dhabi yang memfokuskan dalam sistem autonomous termaju dan teknologi dipacu AI dengan kerjasama Pahang Aerospace City (PACDB).
Kolaborasi ini memberi impak terhadap usaha membangunkan Pahang Aerospace City melalui syarikat pemacu utama, PACDB dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri Pahang sebagai hab serantau pertama yang menggabungkan penerbangan, aeroangkasa, angkasa lepas serta teknologi digital masa hadapan.
Manakala UMPSA bakal menubuhkan Venture Studio pertama yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous serta teknologi mobiliti.
Inisiatif ini disokong dengan endowmen daripada PACDB dan rakan strategik, demi memperkasa bakat tempatan serta menyediakan laluan penyelidikan dan pembangunan yang berimpak tinggi.
Majlis turut menyaksikan sumbangan daripada pihak Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. sebagai rakan kolaborasi industri dalam projek Electric Smart Light Rail Transit (eSLRT) di Kampus Pekan.
Pihak MRL telah menyumbang secara in-kind berupa 10 kilometer landasan ECRL terpakai dengan nilai RM19 juta untuk kegunaan ujian prototaip dan demonstrasi sistem eSLRT di dalam kampus.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen MRL dalam mendukung kelestarian dan pemindahan ilmu, di samping memperkasakan UMPSA sebagai perintis kepada pembangunan sistem rel pintar berasaskan tenaga hijau di peringkat kampus dan negara.
Bagi endowmen kepengerusian, potensi kerjasama strategik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan UMPSA pula bagi usaha pembangunan dan penyelidikan teknologi bahan bakar bio (biofuel) daripada getah sekerap atau lateks getah.
Lestari Aero Industries Sdn. Bhd. dan TG Minerals Sdn. Bhd. turut menyumbang bagi endowmen kepengerusian yang memfokuskan aerospace dan nadir bumi.
Manakala menerusi endowmen alumni, jaringan kerjasama antara IBINA dengan Yayasan Peneraju bakal melaksanakan Program Lean Six Sigma Green Belt di UMPSA.
Program bertaraf antarabangsa ini ditawarkan mencecah jumlah keseluruhan RM3.88 juta bakal dimanfaatkan seramai 500 orang mahasiswa tahun akhir serta alumni UMPSA dalam meningkatkan daya saing graduan UMPSA dalam pasaran kerja global.
Lebih 200 termasuk tetamu industri daripada 49 syarikat antarabangsa, GLC dan tempatan hasil kolaborasi dan penyumbang kepada endowmen universiti hadir bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan impak komuniti-universiti.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 84 views
Reports by: