UMPSA terima sumbangan RM600,000 daripada Tabung Haji untuk manfaat pelajar berkeperluan
PEKAN 3 November 2025 - Delegasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang diketuai Pengarah Wilayah Timur, Tuan Haji Khairoodin Ahmad telah berkunjung bertemu dengan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias hari ini.
Turut sama hadir Pengarah TH Negeri Pahang, Tuan Haji Rosdi Dollah, Ketua Cawangan Bergerak TH Pahang, Hajah Norazila Mohamad dan Ketua Pentadbiran/Haji Negeri Pahang, Mohamad Luqman Sahap.
Hadir sama Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd. Jamil bin Ja'afar dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Abdul Wahit.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, pihak universiti menghargai komitmen TH yang telah menyumbang sejak tahun 2020 untuk manfaat pelajar UMPSA.
“Ini termasuklah sumbangan Program Iqra’ TH pada tahun ini sebanyak RM600,000 yang bakal diterima untuk manfaat pelajar yang berkeperluan,” ujarnya.
Pihaknya turut memuji usaha TH yang sentiasa komited dalam menyokong pelbagai inisiatif ke arah melestarikan pembangunan dan kemajuan diri, masyarakat dan negara khususnya melalui pembayaran zakat dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zakat TH.
Selain itu ujarnya, UMPSA sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar dan mengharapkan lebih banyak peluang kerjasama termasuk berkongsi kepakaran dalam inovasi dan teknologi yang bakal memberi manfaat buat semua.
Sementara itu, Tuan Haji Khairoodin berkata, Program Iqra’ TH adalah program pembangunan modal insan yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan dan keperluan kepada pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi di beberapa universiti awam dan institusi terpilih seluruh negara.

“Program ini bagi membantu meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan mahasiswa daripada keluarga B40 atau asnaf,” katanya.
Pihaknya mengharapkan sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung pelajar dan memberikan motivasi kepada pelajar terbabit untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.
Turut dibincangkan mengenai program kolaborasi, potongan gaji buat staf dan pendeposit dalam kalangan pelajar.
TH sentiasa komited dalam menjalankan program-program CSR bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari.
Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 51 views