Skip to main content

UMPSA terima sumbangan zakat RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE bagi manfaat pelajar asnaf

PEKAN, 25 Jun 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan mahasiswa melalui kerjasama strategik bersama sektor industri apabila menerima sumbangan zakat korporat sebanyak RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd. dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.

Majlis Penyerahan Wakalah Zakat i-Campus kepada pelajar asnaf UMPSA itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals MTBE, Tuan Fauzamsaari Geran serta disaksikan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.

Sumbangan zakat itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat PETRONAS Chemicals MTBE dan disalurkan melalui platform i-Campus Yayasan UMPSA yang ditubuhkan khusus bagi menyelaras pengumpulan dan pengagihan dana kebajikan pelajar.

Dalam ucapan alu-aluannya, Profesor Dr. Yatimah Alias menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan pihak industri, khususnya PETRONAS Chemicals MTBE yang disifatkan bukan sahaja sebagai rakan strategik universiti, malah sebagai pemacu dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan.

“Sumbangan ini amat besar maknanya buat pelajar-pelajar kita. Ia membolehkan mereka untuk terus fokus kepada pembelajaran tanpa dibelenggu tekanan kewangan. 

“Malah, kehadiran Tuan Fauzamsaari dan pasukan beliau pada hari ini melambangkan keprihatinan industri terhadap masa depan generasi muda,” ujarnya.

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias turut berkongsi bahawa setakat pertengahan tahun 2025, UMPSA telah menyalurkan sebanyak RM423,900 dalam bentuk bantuan zakat kepada seramai 675 pelajar asnaf yang layak. 

UMPSA terima sumbangan zakat RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE bagi manfaat pelajar asnaf

Katanya, pada tahun sebelumnya, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan kepada pelajar melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk dermasiswa, biasiswa, bantuan kesihatan, dan sokongan kecemasan.

“Usaha berterusan universiti dalam menyantuni kebajikan pelajar, terutamanya golongan B40 yang merangkumi lebih 66% daripada keseluruhan populasi pelajar, turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila UMPSA dinobatkan kelima terbaik dunia dalam kategori Matlamat Pembangunan Mampan 1: Sifar Kemiskinan oleh Times Higher Education World University Rankings.

“Inisiatif Yayasan UMPSA digerakkan secara sistematik dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan ia bertujuan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir disebabkan kekangan kewangan.

“Kami amat mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada pihak industri, agensi, badan bukan kerajaan dan individu perseorangan untuk turut serta menjayakan agenda ini,” katanya. 

Tambah beliau lagi, PETRONAS Chemicals MTBE telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana industri boleh menyumbang secara langsung kepada pembangunan pendidikan negara. 

Sementara itu, Tuan Fauzamsaari Geran turut menegaskan bahawa komitmen PETRONAS bukan sahaja dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi tetapi juga dalam memainkan peranan aktif sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

“Kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan negara. 

“Dengan membantu pelajar asnaf ini, kami berharap mereka dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan simbolik bantuan zakat kepada wakil pelajar, diikuti sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari. 

Naib Canselor, Prof Dr Yatimah Alias turut menitipkan pesanan kepada para pelajar agar memanfaatkan sumbangan yang diterima dengan penuh tanggungjawab dan kesyukuran.

“Jadikanlah bantuan ini sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan dan membina masa depan yang lebih gemilang. 

“Kami percaya anda semua mampu berjaya dan menjadi insan yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

UMPSA terima sumbangan zakat RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE bagi manfaat pelajar asnaf

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim