UMPSA teroka kerjasama strategik bersama MIMOS Services dalam Teknologi Dron Hiperspektral dan Analitik Geospatial
PEKAN, 17 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan kerjasama strategiknya bersama industri apabila menerima kunjungan hormat daripada delegasi MIMOS Services Sdn. Bhd., sebuah syarikat subsidiari milik penuh MIMOS Berhad, bagi meneroka potensi kolaborasi dalam bidang teknologi penderiaan jauh dan analitik data geospatial.
Kunjungan yang berlangsung di Centre for Climate Transition & Disaster Risk (CCTDR) atau UMPSA Climate Centre itu menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan penyelesaian teknologi berasaskan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan oleh industri, khususnya dalam sektor sumber asli, perlombongan, pertanian dan pembangunan bandar pintar.
Delegasi diketuai oleh Pengerusi MIMOS Services, Ahmad Rizan Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohammad Fairus Khalid dan Ketua Strategi, Pertumbuhan dan Komersial, Nik Mohd Yusrien Mat Yusof.
Hadir mewakili UMPSA ialah Pengarah Kanan CCTDR, Profesor Ir. Dr Mohd Faizal Jamlos, Felo CCTDR, Dr. Syarifuddin Misbari, Eksekutif Kanan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Tuan Haji Amirul Ahmad serta Pengurus UMPSA Holdings, Tuan Haji Alif Falatin Abdul Latif.
Menurut Profesor Ir. Dr Mohd Faizal, lawatan tersebut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi akademik dan industri dalam mempercepatkan pembangunan teknologi tempatan yang berimpak tinggi.
“UMPSA sentiasa komited untuk memastikan hasil penyelidikan yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar bagi memenuhi keperluan industri.
“Kerjasama dengan MIMOS Services ini dilihat berpotensi untuk memperkasa usaha pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti,” katanya.
Dalam sesi pembentangan, beliau memperkenalkan dua perkhidmatan teknikal utama yang dibangunkan oleh UMPSA Climate Centre berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh pihak MIMOS Services.
Perkhidmatan pertama, Drone Based Hyperspectral Analytics for Minerals Classification, menggunakan teknologi dron yang dilengkapi sensor hiperspektral bagi tujuan pengelasan dan pengecaman mineral secara lebih pantas, tepat dan efisien melalui kaedah penderiaan jauh.
Sementara itu, perkhidmatan kedua, GIS Analytics to Increase Agriculture/Plantation Produce and Revenue, memanfaatkan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi membantu meningkatkan produktiviti serta hasil pendapatan sektor pertanian dan perladangan melalui analisis data geospatial yang lebih menyeluruh.
Kedua-dua teknologi tersebut mendapat perhatian positif daripada pihak MIMOS Services yang melihat potensinya untuk diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri, khususnya yang melibatkan pengurusan sumber asli, pemantauan alam sekitar dan peningkatan produktiviti pertanian negara.
Selepas sesi pembentangan di UMPSA Climate Centre, delegasi MIMOS Services turut mengadakan perbincangan lanjut bersama UMPSA Holdings dan beberapa pusat kecemerlangan (CoE) universiti bagi mengenal pasti peluang kerjasama yang lebih luas.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pembangunan bandar pintar (smart city), pengurusan fasiliti, kecerdasan buatan (AI), pembangunan pusat data (data centre) serta pembangunan bahan bernilai tinggi daripada sumber mineral.
Perbincangan tersebut turut melibatkan Pusat Teknologi Industri Termaju (AIT), Pusat Kecerdasan Buatan dan Sains Data (CAIDaS) serta Pusat Kecerdasan Bahan Termaju (CAIM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan inovasi berkaitan.
Lawatan ini dilihat sebagai langkah awal yang signifikan ke arah pembentukan kerjasama strategik di antara UMPSA dengan MIMOS Services melalui pelaksanaan projek kolaboratif, pengkomersialan teknologi serta pemindahan pengetahuan dalam bidang analitik geospatial dan penderiaan jauh.
Selain memperkukuh hubungan universiti-industri, lawatan tersebut turut membuktikan keupayaan UMPSA menerusi UMPSA Climate Centre dan pusat-pusat kecemerlangannya dalam menawarkan penyelesaian berasaskan penyelidikan dan teknologi yang mampu memenuhi keperluan sebenar industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi teknologi terunggul serta rakan strategik kepada agensi kerajaan dan sektor industri dalam memacu pembangunan mampan negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 27 views
Reports by: