Skip to main content

UMPSA tersenarai antara Universiti Terbaik di MQA Awards 2025

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi apabila tersenarai dalam kelompok lima terbaik Anugerah Utama Jaminan Kualiti 2025, tiga terbaik Anugerah Kecemerlangan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) kategori TVET, serta lima terbaik Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) sempena Majlis MQA Awards 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Pencapaian ini lebih bermakna kerana UMPSA hanya menghantar penyertaan dalam dua kategori utama iaitu Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) – kategori Universiti dan Anugerah Kecemerlangan PPT: TVET – kategori Universiti dan Kolej Universiti mengikut garis panduan MQA Awards 2025.

Majlis yang julung kali diadakan itu menjadi platform penting bagi mengiktiraf institusi dan individu cemerlang dalam kualiti akademik, inovasi dan tadbir urus, merangkumi semua sektor pendidikan tinggi termasuk universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan institut latihan awam.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapannya menegaskan bahawa kualiti pendidikan tinggi kini menjadi tuntutan utama bagi memastikan daya saing dan kelestarian pembangunan negara selari dengan Aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035).

“MQA tidak boleh sekadar menjadi penetap piawaian kelayakan kebangsaan sebaliknya mesti berperanan sebagai pemacu inovasi, penjana bakat dan pembina modal insan berdaya tahan yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global,” ujarnya.

UMPSA tersenarai antara Universiti Terbaik di MQA Awards 2025

Beliau turut mengumumkan bahawa buat pertama kali Malaysia memperkenalkan TVET Aras Tinggi di peringkat Sarjana dan Kedoktoran melalui kelulusan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), membolehkan graduan TVET melanjutkan pengajian ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur.

Manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pula berkata, majlis ini merupakan platform strategik yang memperkukuh pengiktirafan antarabangsa terhadap kelayakan Malaysia. 

Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian MQA merangkumi perluasan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dengan negara seperti China, United Kingdom dan Australia, serta pelaksanaan MQF Edisi Kedua bermula 1 Ogos 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, menegaskan bahawa MQA Awards adalah simbol penghargaan negara terhadap semua institusi daripada universiti penyelidikan hinggalah ke politeknik dan kolej komuniti yang menjadikan kualiti sebagai budaya, bukan sekadar memenuhi keperluan akreditasi.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang turut hadir bersama delegasi universiti menyifatkan pengiktirafan ini sebagai hasil usaha bersepadu seluruh warga UMPSA.

“Kedudukan UMPSA dalam kelompok terbaik negara membuktikan keberkesanan sistem jaminan kualiti dan keupayaan kita sebagai peneraju dalam pendidikan TVET. 

“Walaupun kita belum meraih trofi kemenangan, pencapaian ini memberi motivasi untuk melangkah lebih jauh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Jaminan Kualiti, di samping penganugerahan pelbagai kategori lain termasuk Anugerah Khas, Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti, dan Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Pengerusi MQA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi Jawatankuasa MQA Awards 2025 merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Ts. Dr. M. Iqbal Saripan, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, wakil kepimpinan IPT, tokoh akademik dan rakan industri.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri