Skip to main content

UMPSA tuan rumah Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang Berhad

PEKAN, 24 Januari 2025 – Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang (KUTIP) Berhad yang berlangsung di Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA Pekan selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. 

Agenda utama mesyuarat ini adalah berkaitan pemilihan jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, dan Bendahari dalam kalangan lapan orang Ahli Lembaga Koperasi.

Rosdi Suboh telah dilantik sebagai Pengerusi KUTIP, Muhammad Ameer Hazeq Azizul sebagai Timbalan Pengerusi, Muhammad Hazman Jamhari sebagai Setiausaha, dan Mohd Firdaus Abd Fatah sebagai Bendahari Koperasi. 

Ahli Lembaga koperasi yang lain terdiri daripada Rosnizan Ibrahim, Mohd Zarrin Abdul Mutalib, Khairil Anas Razalli, dan Zakaria Mohd Zuki. 

Penubuhan koperasi ini adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan dan aspirasi usahawan yang akan menjadi ahli koperasi dalam usaha untuk meningkatkan sosioekonomi, menjana pendapatan secara kolektif, serta memiliki satu medium ekosistem yang kondusif dan menyeluruh dalam kalangan usahawan tani. 

Malah, ia juga bertujuan agar usahawan tani ini akan lebih berdaya saing dan kekal releven dalam industri di negara ini.

Pengerusi KUTIP, Rosdi dalam ucapan alu-aluannya menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan koperasi ini, terutamanya warga Projek IoT Based Smart Farming System, UMPSA. 

“Saya berharap agar para peserta usahawan tani yang terlibat tidak mensia-siakan peluang ini kerana penubuhan koperasi ini secara signifikan membantu kelancaran dan kelangsungan aktiviti pertanian sedia ada yang berteraskan Teknologi IoT. 

“Penggunaan teknologi ini akan menjadikan usahawan tani ini kekal mempunyai sumber pendapatan utama yang lumayan dan berterusan.

“Penubuhan koperasi ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama erat antara ahli, institusi, dan pihak berkepentingan lain dalam mencapai matlamat memperkukuhkan ekonomi usahawan tani,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, dengan komitmen semua pihak, koperasi KUTIP diyakini mampu melakar kejayaan dan memberi impak positif kepada pembangunan sektor pertanian negeri dan negara. 

UMPSA tuan rumah Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang Berhad

“Semoga koperasi ini terus maju, relevan, dan menjadi contoh kepada inisiatif-inisiatif lain di masa hadapan,” katanya. 

Turut hadir, dua orang wakil UMPSA yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Koperasi atas saranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang bagi membantu urusan dan pergerakan awal koperasi, iaitu  Ketua Program serta Pengurus Projek IoT Based Smart Farming System, Dr. Nurul Ashykin Abdul Aziz dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) UMPSA dan Eksekutif Teknikal, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Yusmin Jaffar. 

Turut sama menjayakan program ialah Sekretariat Projek IoT Based Smart Farming System PJIM UMPSA, Rozana Sahadan. 

Oleh: Yusmin Jaffar, Rozana Sahadan, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
 

Reports by:
Admin UMP News