Skip to main content

UMPSA tuan rumah Mesyuarat JKTNCRA Ke-81 dan Majlis Penyerahan Dana MIEMF

PEKAN, 18 Ogos 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor/Rektor (Akademik dan Antarabangsa) (JKTNCRA) Universiti Awam (UA) Kali Ke-81 (Bil.03/2025) yang berlangsung secara hibrid di Dewan Senat, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, mesyuarat yang menghimpunkan Timbalan-timbalan Naib Canselor/Rektor (Akademik dan Antarabangsa) dari seluruh universiti awam (UA) itu bertujuan untuk membincangkan hala tuju pendidikan tinggi, kemasukan pelajar, agenda pengantarabangsaan, serta pengukuhan kerjasama strategik antara universiti. 

“Jawatankuasa pada hari ini turut bersidang untuk membincangkan dan memperakukan perkara-perkara berkaitan hal ehwal akademik dan antarabangsa sebelum ia dibentangkan di Jawatankuasa Naib Canselor-Naib Canselor/Rektor UA untuk kelulusan selanjutnya,” ujarnya.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat selaku Pengerusi JKTNCRA.

UMPSA tuan rumah Mesyuarat JKTNCRA Ke-81 dan Majlis Penyerahan Dana MIEMF

Turut hadir wakil daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Profesor Dr. Zainal Amin Ayub, Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Rosemanizam Mohammed Nalif, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Ts. Dr. M. Iqbal Saripan, serta wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang hadir secara dalam talian iaitu Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Kamaliah Basir serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan. Azian Mohmad Azman. 

Mesyuarat kali ini juga mengumumkan pelantikan semula Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat sebagai Pengerusi JKTNCRA untuk tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025 hingga 30 November 2027. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Pengerusi JKTNCRA untuk tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025 hingga 30 November 2027.
 
Pada masa yang sama turut berlangsung Majlis Penyerahan Dana Malaysia International Enrichment Matching Fund (MIEMF) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), JPT, Profesor Dr. Zainal Amin Ayub. 

Menurut Profesor Dr. Zainal Amin, MIEMF merupakan platform penting untuk memperkukuh usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara melalui projek-projek yang berimpak tinggi.

“Program Dana Padanan Pengayaan Antarabangsa Malaysia: MIEMF merupakan satu usaha untuk memperkukuh program kerjasama antarabangsa melalui pemanfaatan perjanjian yang telah dimeterai untuk memberi impak langsung kepada pelajar, pensyarah dan institusi secara menyeluruh. 

“Inisiatif ini turut merangkumi peningkatan penglibatan global UA melalui pelaksanaan projek bersama, mobiliti akademik, penyelidikan bersama serta penganjuran program berteraskan kerjasama strategik yang sedia ada”.

“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada UA untuk memperluas jaringan global, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dan inovasi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

UMPSA turut tersenarai sebagai salah satu penerima apabila berjaya memperoleh kelulusan untuk satu projek di bawah dana MIEMF.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri