Skip to main content

UMPSA universiti teknologi terbaik kelestarian di Malaysia, diiktiraf 62 terbaik dunia

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus cemerlang sebagai universiti teknologi terbaik di Malaysia apabila berada di tangga ke-62 di dunia dalam penarafan UI GreenMetric World University Rankings (UIGWUR) 2024 yang diumum oleh pihak UI GreenMetric baru-baru ini. 

Kejayaan ini menyaksikan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan tempat keempat terbaik di Malaysia daripada 60 institusi pendidikan tinggi (IPT) yang tersenarai pada kali ini.  

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, kedudukan ini menyaksikan UMPSA naik enam tangga berbanding berada di tangga ke-68 terbaik dunia pada tahun 2023. 

“Penarafan UIGWUR yang mengukur inisiatif kehijauan dan kelestarian alam sekitar telah diasaskan oleh Universitas Indonesia (UI) pada tahun 2010.

“UMPSA kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan. 

“Kejayaan ini menunjukkan komitmen UMPSA dalam membangunankan kampus yang lestari dan mampan,” ujarnya. 

Selain itu katanya, pengurangan emisi karbon turut dijadikan agenda utama universiti dan UMPSA bertekad untuk mencapai sasaran neutral karbon pada tahun 2050. 

“Malahan universiti mensasarkan pengurangan emisi karbon sebanyak 30 peratus ditetapkan pada tahun 2025 dan 45 peratus pengurangan menjelang tahun 2030. 

“Usaha pengurangan pembebasan karbon dalam UMPSA turut disokong dengan usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dengan pemasangan sistem solar berkapasiti 3.58 MWp yang siap pada tahun lalu dan telah berjaya mengurangkan sehingga 40 peratus penghasilan karbon dioksida daripada penjanaan tenaga eletrik. 
 
“UMPSA juga dalam usaha penambahan kapasiti pemasangan solar di UMPSA Pekan dan di Kampus Gambang iaitu pemasangan solar akan dilaksanakan pada tahun 2025 berkapasiti 2.21 MWp,” katanya. 

Menurut beliau lagi, dalam pada itu, bertepatan dengan keperluan dalam Era Revolusi Industri 4.0, universiti juga melaksanakan transformasi digital (digital transformation) kepada sebuah kampus pintar agar terus relevan terhadap keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh. 

“Usaha ini juga seiring dengan hasrat universiti untuk menjadi sebuah kampus pintar (Smart Campus) dan pelaksanaan inisiatif ini seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan Agenda Kerajaan Digital di negara ini,” ujarnya. 

UIGWUR memberikan penarafan kedudukan universiti berdasarkan komitmen dan inisiatif alam sekitar yang dilaksanakan oleh universiti iaitu Tetapan dan Infrastruktur (Setting and Infrastructure) sebanyak 15 peratus, Tenaga dan Perubahan Iklim (Energy and Climate Change) 21 peratus, Bahan Buangan (Waste) 18 peratus, Air (Water) 10 peratus, Pengangkutan (Transportation) 18 peratus dan Pendidikan dan Penyelidikan (Education and Research) 18 peratus.  

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korpoat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri