Skip to main content

UMPSA warnai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 peringkat Negeri Pahang

RAUB, 9 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan dalam menyemarakkan semangat patriotisme apabila diberi kepercayaan menjayakan persembahan pembukaan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Dataran Raub, Pahang. 

Majlis anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang dengan kerjasama induk Jabatan Penerangan Negeri Pahang itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta menghayati semangat cintakan negara melalui penglibatan komuniti, agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

Persembahan pembukaan yang menampilkan seramai 13 orang pelajar dari Kelab Kencana Pawana (UMPSA) yang juga turut mendapat sokongan daripada 11 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2 dan enam orang pelajar SMK Sungai Isap, menjadikan keseluruhan seramai 30 orang peserta yang bersama-sama mengangkat kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Malaysia. 

UMPSA warnai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 peringkat Negeri Pahang

Di samping itu, konsep persembahan diinspirasikan daripada Citrawarna dengan mengetengahkan kepelbagaian kaum dan etnik yang menjadi kekuatan serta keunikan negara. 

Persembahan tersebut menggabungkan elemen seni, budaya dan gerak tari daripada pelbagai latar masyarakat dalam satu persembahan yang mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Penglibatan pelajar daripada UMPSA bersama pelajar sekolah turut memperlihatkan usaha berterusan universiti dalam memperkasakan bakat dan kreativiti generasi muda melalui platform kebudayaan dan kenegaraan. 

Kolaborasi berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar menampilkan bakat di pentas rasmi, malah membina keyakinan, disiplin serta semangat kerja berpasukan dalam menjayakan sebuah persembahan berskala negeri. 

Persembahan tersebut turut diserikan dengan elemen patriotik yang memeriahkan suasana majlis, sekali gus membawa mesej bahawa kepelbagaian budaya bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi asas yang memperkukuh perpaduan dan membentuk identiti Malaysia yang unik.

Menurut Penasihat Kelab Kencana Pawana, Shahrul Nizam Othman, penglibatan pelajar dalam persembahan pembukaan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat seni dan kreativiti, malah menjadi medium penting dalam menyemai semangat patriotisme serta menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.

“Persembahan ini dirangka dengan membawa konsep Citrawarna yang menggabungkan elemen pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. 

“Selain itu, yang lebih menarik, kami juga dapat melibatkan pelajar daripada sekolah-sekolah terpilih yang memperlihatkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. 

“Pengalaman berada di pentas rasmi peringkat negeri seperti ini tentunya memberikan nilai tambah kepada pelajar, khususnya dari aspek keyakinan diri, disiplin, kepimpinan dan kerja berpasukan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, pada masa sama, mereka dapat memahami bahawa seni dan kebudayaan juga merupakan salah satu medium untuk menyatukan masyarakat serta menyemarakkan kecintaan kepada negara. 

Manakala menurut pelajar tahun 4, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), yang memegang portfolio sebagai Presiden Kelab Kencana Pawana merangkap koreografer persembahan, Nurfarhan Hakim Mahdon berkata, peluang menggalas tanggungjawab tersebut menjadi satu pengalaman berharga dalam mengasah kepimpinan, kreativiti serta keupayaan mengurus pasukan dalam kalangan mahasiswa UMPSA.

“Sebagai koreografer, saya banyak terlibat dalam merangka konsep, menyusun pergerakan, membentuk formasi serta memastikan setiap elemen tarian dapat diterjemahkan mengikut tema yang telah ditetapkan. 

“Cabaran utama adalah bagaimana untuk menghasilkan persembahan yang bukan sahaja menarik dari segi visual, tetapi mempunyai identiti dan mesej yang jelas.

“Bagi saya, penglibatan pelajar UMPSA dalam persembahan ini menunjukkan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik, tetapi turut mempunyai bakat dan keupayaan untuk menghasilkan persembahan yang berkualiti di pentas rasmi peringkat negeri,” katanya. 

Tambahnya lagi, beliau dapat menggunakan pengalaman dan kreativiti yang ada untuk membimbing rakan-rakan supaya setiap pergerakan yang dipersembahkan kelihatan kemas, seragam dan mempunyai kesinambungan,” katanya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang di Raub itu diharapkan terus menjadi platform yang menyemarakkan semangat Malaysia Madani, selain mengingatkan seluruh rakyat tentang kepentingan memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian dan bersama-sama membina masa depan negara yang lebih sejahtera.

Penglibatan UMPSA bersama barisan pelajar sekolah terpilih yang terlibat, membuktikan bahawa semangat kebangsaan terus subur dalam kalangan generasi muda, sekali gus menjadikan pentas persembahan sebagai medium berkesan untuk menyampaikan mesej perpaduan, kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air.

Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri