Universiti hendaklah sentiasa menjadi tempat yang bertamadun tinggi
PEKAN, 11 Februari 2021 - Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) perlu fokus dan serius merealisasikan harapan universiti sebagai penggerak dan pengupaya ketamadunan dan intelektualisme di kampus ini.
Justeru, bagi apa jua situasi, universiti hendaklah sentiasa menjadi tempat yang bertamadun tinggi (a place of high civilization).
Hal ini selari dengan agenda kemahasiswaan dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) yang bertemakan ‘Mencapai Kegemilangan Melalui Kecemerlangan’ yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, sebagai jurubicara mahasiswa kepimpinan MPP perlu juga rasional dan bijaksana serta menjadi rakan kongsi yang konstruktif kepada pihak pengurusan UMP.
“Dalam pada itu, walaupun aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih akan dijalankan secara hibrid melalui platform dalam talian namun kehadiran semula mahasiswa mulai 1 Mac 2021 ini menuntut universiti untuk lebih berwaspada bagi memastikan kampus UMP bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.
“Cabaran ini pastinya turut sama digalas oleh kepimpinan baharu MPP Sesi 2020/2021 untuk bergerak bersama pihak pengurusan UMP dalam memudah cara segala urusan berkaitan kesejahteraan kampus, kebajikan mahasiswa, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
“Dalam hubungan ini, kepimpinan baharu MPP yang diterajui Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz haruslah proaktif dalam menguruskan isu-isu yang berkaitan kerana pihak universiti tidak mahu terdapat mahasiswa UMP yang tercicir pengajian atau terabai kebajikannya akibat terkesan dengan pandemik COVID-19 tanpa sebarang pembelaan,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, “Walaupun kampus kita mungkin sunyi sedikit daripada hiruk-pikuk aktiviti berikutan kehadiran mahasiswa dalam bilangan yang minimum, namun saya percaya iklim UMP tetap dapat diimarahkan sekiranya MPP lebih kreatif dan inovatif memanfaatkan segala platform dalam talian yang tersedia bagi memberi pengalaman kampus yang bermakna kepada para mahasiswa.
“Pihak pengurusan universiti turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas perkhidmatan, kerjasama dan sumbangan yang telah dicurahkan barisan kepimpinan MPP Sesi 2019/2020 yang diterajui Mohd Fitri Zulkafli sebelum ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli MPP UMP Sesi 2020/2021 yang berlangsung secara dalam talian.
Manakala Muhammad Hisyamuddin yang merupakan Yang di-Pertua MPP Sesi 2020/2021, menzahirkan kesyukuran dan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan bagi memimpin barisan kepimpinan pada kali ini.
Katanya, menjadi detik sejarah, apabila buat julung kalinya majlis dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.
“Barisan kepimpinan kali ini juga turut memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Salam Pemerkasaan Mahasiswa’ yang akan berperanan memberi perubahan menerusi libat sama mahasiswa dalam proses membuat keputusan universiti ke arah pemerkasaan mahasiswa.
“Pada masa yang sama MPP turut berperanan untuk menjadi penghubung utama antara pelajar dan pihak pengurusan universiti selaras dengan aspek penghakupayaan mahasiswa (Student Empowerment).
“Sebanyak tiga hala tuju yang digariskan dalam mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa iaitu menjadikan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) sebagai platform semak dan imbang (check and balance), mewujudkan punca kuasa penubuhan jawatan kuasa mengikut teras dan memperkasakan Jawatankuasa Aduan Pelajar (JAP),” katanya.
Pengisytiharan penubuhan Kabinet MPP UMP Sesi 2020/2021 telah diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dato’.Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Seramai 28 orang ahli MPP Sesi 2020/2021 telah menyertai Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMP baru-baru ini.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Haji Mohamad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 119 views