Skip to main content

‘WajahUMPSA’ rakam sejarah, warisan digital UMPSA untuk generasi masa depan

PEKAN, 4 Ogos 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan sistem digital baharu dikenali sebagai ‘WajahUMPSA’, sebuah platform repositori digital yang menghimpunkan dan memelihara memori visual serta sejarah institusi untuk akses generasi masa hadapan.

Dibangunkan menggunakan Sistem ResourceSpace, platform ini berfungsi sebagai repositori digital yang menyimpan pelbagai bahan seperti foto, dokumentasi program, arkib visual dan bahan sejarah universiti.

‘WajahUMPSA’ merupakan satu langkah proaktif dan berinovasi dalam memperkasa sistem penyampaian kandungan digital universiti kepada pemegang taruh dan masyarakat luar.

Inisiatif ini bertujuan memastikan warisan institusi tidak hilang ditelan masa, sebaliknya dapat diurus secara sistematik dan diakses dengan mudah oleh warga universiti serta pihak berkepentingan.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan, Iswan Akim Ismail selaku Pustakawan Arkib Universiti yang menguruskan sistem ‘WajahUMPSA’, ia berfungsi sebagai repositori berpusat untuk mengumpul, memilih, menyimpan, mengawal serta memelihara aset visual rasmi universiti secara lebih cekap dan teratur.

“Projek pembangunan repositori ini telah dimulakan sejak bulan Mei 2026 dan kini telah menghimpunkan lebih 2,200 bahan digital.

“WajahUMPSA bukan sahaja memudahkan pengurusan koleksi visual universiti, malah memastikan memori institusi terus dipelihara dan boleh diakses sebagai sumber rujukan pada masa hadapan. 

“Melalui ‘WajahUMPSA’, pengguna boleh menelusuri perjalanan sejarah UMPSA merangkumi pelbagai detik penting, pencapaian, program serta perkembangan universiti yang telah membentuk identiti dan legasi institusi sehingga hari ini,” ujarnya. 

‘WajahUMPSA’ rakam sejarah, warisan digital UMPSA untuk generasi masa depan

Pembangunan platform repositori digital ini menyokong usaha pendigitalan bahan arkib dan meningkatkan keterlihatan koleksi institusi dalam persekitaran digital serta ia merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat pemeliharaan ilmu, sejarah dan identiti universiti.

Malah, ia juga adalah selaras dengan Agenda Pendigitalan UMPSA yang memberi penekanan kepada transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan universiti serta menyokong aspirasi Advanced TVET Hub in Asia Pacific 2030 melalui pemerkasaan pengurusan aset digital, pemeliharaan warisan institusi dan perkongsian ilmu berasaskan teknologi.

Ketua Pustakawan, Perpustakaan UMPSA, Hajah Kamariah Gono berkata, pembangunan ‘WajahUMPSA’ mencerminkan evolusi peranan perpustakaan daripada sekadar pusat penyediaan maklumat kepada peneraju pemeliharaan warisan digital universiti. 

“Setiap gambar, dokumentasi program dan rekod visual bukan sekadar imej, tetapi merupakan bukti sejarah yang membentuk identiti, budaya serta legasi UMPSA. 

“Apabila diurus secara sistematik melalui platform digital, aset ini bukan sahaja dipelihara daripada risiko kehilangan, malah menjadi sumber rujukan yang bernilai untuk penyelidikan, penerbitan, penjenamaan institusi dan penghasilan kandungan sejarah universiti,” ujarnya lagi.

Sistem itu kini boleh diakses secara rasmi melalui pautan laman web https://wajah.umpsa.edu.my/.

Disediakan Oleh: Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri