Skip to main content

Warga UMPSA sokong program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Pahang

KUANTAN, 26 September 2026 - Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyatakan sokongan terhadap program Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Pantai Anak Air, Kuantan, hari ini, sebagai usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Program yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) di peringkat UMPSA itu melibatkan seramai 30 orang sukarelawan yang bersama-sama menjayakan aktiviti pembersihan Pantai Anak Air bagi mewujudkan persekitaran yang bersih, indah dan selamat.

Program yang bermula pada jam 7.30 pagi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik, diikuti aktiviti pembersihan kawasan pantai. Program turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah.

Warga UMPSA sokong program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Pahang

Menurut Pengarah SDC, Dr. Suhaidah Hussain, penglibatan warga universiti dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk menyokong usaha memelihara alam sekitar melalui penglibatan aktif warga kampus dan komuniti setempat.

“Program seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” ujarnya. 

Selain itu, UMPSA turut menganjurkan program Brisk Walk dan Plogging di sekitar kampus UMPSA sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Hari Cuci Malaysia 2026.

Program tersebut menggabungkan aktiviti berjalan kaki dan mengutip sampah di sekitar UMPSA Kampus Paya besar bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran kampus.

Warga UMPSA sokong program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Pahang

Penganjuran kedua-dua aktiviti ini selaras dengan komitmen UMPSA dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus serta menyokong usaha menjadikan amalan menjaga kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar sebagai budaya dalam kalangan warga universiti.

Menurut salah seorang sukarelawan dari Pusat Bahasa Modern (PBM) UMPSA, Jamilah Bebe Mohamad, program ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik kerana bukan sahaja dapat memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, malah memberi peluang kepada warga universiti untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri