Warga UMPSA terus prihatin, SEJAHTERA salur RM10,000 untuk Misi Kemanusiaan Palestin
BATU CAVES, 24 Jun 2026 – Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (SEJAHTERA UMPSA) telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000.00 kepada Muslim Care Malaysia Society (MCM) sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap usaha kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Majlis penyerahan dana tersebut telah berlangsung di Pejabat Muslim Care Malaysia, Batu Caves dan disempurnakan oleh wakil Persatuan SEJAHTERA UMPSA yang diketuai oleh Presiden SEJAHTERA, Abd. Rahman Haji Safie.
Sumbangan tersebut diterima oleh Presiden Muslim Care Malaysia, Haji Zulkifli Wahijan.
Muslim Care Malaysia Society (MCM) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan dan bantuan bencana di dalam serta luar negara.

Organisasi tersebut turut terlibat secara aktif dalam menyalurkan bantuan kecemasan, bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas kepada rakyat Palestin melalui rangkaian kerjasama kemanusiaan antarabangsa.
Sumbangan ini merupakan hasil komitmen dan keprihatinan warga UMPSA dalam menyokong usaha kemanusiaan serta membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira sempadan geografi.
Inisiatif ini turut mencerminkan penghayatan Nilai Teras UMPSA yang menekankan hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta, keteguhan dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan serta sikap proaktif dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.
Menurut Abd. Rahman, sumbangan tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban rakyat Palestin, malah menjadi manifestasi keprihatinan dan solidariti warga UMPSA terhadap isu kemanusiaan global.
“Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, namun ia membawa mesej bahawa warga UMPSA sentiasa cakna dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.” katanya.
Beliau turut berharap agar sumbangan yang disalurkan melalui MCM ini dapat membantu menyediakan keperluan asas dan sokongan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik yang berlarutan.
Sebagai rekod, penyaluran dana ini dilaksanakan berdasarkan keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ketiga serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEJAHTERA UMPSA sebagai sebahagian daripada komitmen persatuan dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan tanggungjawab sosial.
Program ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyelidikan, malah turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat ihsan, kebersamaan dan kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Timbalan Presiden Persatuan SEJAHTERA UMPSA, Juliana Mohd Ali dan ahli SEJAHTERA, Kaharuddin Abdul Karim, serta wakil daripada MCM iaitu Timbalan Presiden, Haji Johari Ismail; Setiausaha, Ahmad Safuan Ujar; Bendahari, Ustaz Ahmad Shukri Ismail; dan Pegawai Bahagian Hal Ehwal Palestin, Hussein Abu Marzuk.
Tambah Abd. Rahman, “Sesungguhnya solidariti adalah kekuatan dan ihsan adalah jalan kita membela kemanusiaan.”
Disediakan Oleh: Juliana Mohd Ali, Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf (SEJAHTERA)
- 90 views
Reports by: