WSCC Series 2022 kumpul pakar bidang kejuruteraan angin dan gempa bumi
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2022 - Persidangan World Sustainable Construction Conference Series 2022 (WSCC Series 2022) berjaya mengumpulkan pakar-pakar dan ahli penyelidik dalam bidang kejuruteraan angin, gempa bumi, bahan termaju dan kejuruteraan pembinaan untuk berkongsi maklumat dan hasil kajian berkaitan dalam program yang berlangsung di Novotel Hotel Kuala Lumpur.
Lebih 100 peserta dalam kalangan ahli akademik dan penyelidik dari institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara hadir pada persidangan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) yang diadakan secara hibrid dan juga dalam talian Zoom termasuklah pakar bidang berkaitan daripada negara India, Indonesia dan China.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang hadir merasmikan persidangan berkata, program bertemakan ‘Building Resilience’ ini bermaksud membina daya tahan bagi menempuh cabaran dalam menghadapi pelbagai cabaran khususnya bencana seperti banjir, taufan, gempa bumi dan lain-lain.
“Selari dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG17), persidangan ini juga turut membincangkan perkara yang menjurus kepada SDG 11 - Bandar dan Masyarakat Mampan dan SDG 13 – Tindakan Iklim yang turut dibentangkan di dalam persidangan ini,” katanya.
Sementara itu, pengerusi persidangan, Profesor Madya Dr. Mohamad Idris Ali berkata, istimewanya persidangan anjuran keenam ini adalah sempena dengan sambutan ke-20 Penubuhan UMP pada tahun ini.
“Malahan peserta juga bertambah dengan penyertaan yang disertai oleh pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.
Bagi penerbitan untuk kali ini, pihak FTKA berjaya menghantar 33 artikel dalam Key Engineering Materials dengan Scopus Index Q4, 35 artikel dalam IOP Earth and Environmental Sciences dengan Scopus Index serta dua artikel dalam Jurnal Construction.
WSCC2022 ini adalah gabungan beberapa persidangan lain termasuk Simposium Keenam National Conference on Wind and Earthquake Engineering, Persidangan Keempat International Seminar of Sustainable Construction Engineering, Persidangan Keempat International Conference on Agricultural Technology and Engineering and Environmental Sciences dan Simposium kedua Water Symposium.
Program dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Beijing Jiatong University, Universitas Syiah Kuala Aceh, Universitas Muhammadiyah Aceh dan Universitas Brawijaya Indonesia.
Turut berlangsung adalah forum bagi berkongsi status semasa mengenai teknologi cerapan cuaca dan kaedah penyampaian maklumat dalam menangani potensi bencana yang disampaikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah.
Forum itu juga turut berkongsi dan membincangkan terhadap kesiapsiagaan menghadapi bencana dan juga pemulihan selepas bencana berlaku yang disampaikan oleh Pengarah, Pusat Persediaan dan Pencegahan Bencana, MJIIT, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak.
Disediakan oleh: Emma Melati Burhanuddin, Jabatan Penyelidikan Dan Inovasi
- 94 views