Yayasan UMP perkenal Skim Insentif Penerbitan buat pelajar pascasiswazah
PAYA BESAR, 28 Januari 2022 - Yayasan UMP memperkenalkan Skim Insentif Penerbitan sebagai galakan buat pelajar pascasiswazah di Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menghasilkan artikel penyelidikan yang berkualiti tinggi sebagai usaha menjadikan universiti ini bereputasi antarabangsa.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP, insentif ini diperkenalkan bagi memberi penghargaan dan menggalakkan para penyelidik yang menghasilkan penerbitan artikel yang memberi impak tinggi serta berindeks Scopus.
“Yayasan UMP telah memperuntukkan sebanyak 30 ribu bagi Skim Insentif Penerbitan ini khusus buat pelajar antarabangsa yang telah menghasilkan artikel.
“Insentif ini turut dimanfaatkan pelajar pascasiswazah tempatan hasil kerjasama pihak Institut Pengajian Siswazah (IPS).
“Penyelidikan dan penerbitan artikel berkualiti akan memberi kesan positif terhadap bidang penyelidikan di UMP dan mengharumkan nama UMP),” katanya yang hadir menyampaikan anugerah sumbangan Skim Insentif Penerbitan buat pelajar UMP.
Selain itu, beliau turut mengharapkan dengan insentif ini dapat memupuk minat pelajar dalam menulis artikel yang berkualiti dan penemuan pengetahuan serta teknologi baharu.
Bagi penerima anugerah, Vorathin a/l Epin yang merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) Mekanikal mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada UMP atas insentif yang diberikan.
“Dengan insentif ini akan membakar semangat buat para pelajar pascasiswazah untuk terus menulis artikel,” ujarnya yang telah menghasilkan artikel mengenai penderia gentian kaca (fibre optic sensor) yang tajuk ‘Bandwidth Modulation and Centre Wavelength Shift of a Single FBG for Simultaneous Water Level and Temperature Sensing’,” katanya.
Manakala rakannya, Putri Nur Farhana Mohd Shamsuddin, 28, yang merupakan pelajar Sarjana Sains pula melahirkan rasa terharu dan syukur apabila artikelnya terpilih untuk menerima insentif ini.
Pada awalnya, beliau hanya menghantar artikel tersebut atas saranan sahabatnya dan tidak menyangka terpilih menerima insentif ini.
“Artikel saya mengenai penyelidikan dalam bidang kenderaan tanpa pemandu dan lebih fokus kepada kenderaan permukaan air.
“Penyelidikan ini juga menjurus kepada sistem navigasi kenderaan permukaan air tanpa pemandu untuk menjejak objek di atas air,” katanya.
Hadir sama dalam majlis, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor
Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan IPS, Profesor Datin. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Pada kali ini, seramai 75 orang pelajar dipilih menerima sumbangan Skim Insentif Penerbitan Yayasan UMP ini.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 130 views