‘Yo’ wira yang tidak didendang selamatkan mangsa banjir
KUANTAN, 24 Disember 2021 - Dua individu bernama ‘Yo’ merupakan wira bagi penduduk Taman Sri Damai Aman apabila berjaya menyelamatkan keluarga Hanafi Muhamad Yusoff yang tinggal di kampung berhampiran.
Bergayut di pokok pisang tatkala arus kuat dan ketika botnya tersekat di tali menyebabkan mereka terkandas hampir 40 minit melawan arus deras ketika membawa keluar keluarga ini.
Shaharul Anuar Ismail yang bertugas sebagai Pembantu Operasi UMP bersama jiran yang juga kawan baiknya, Kamarul Azam Kamat Audah, 32 yang kedua -duanya dikenali sebagai ‘Yo’ terpaksa meredah dalam kegelapan sekitar jam 1.00 pagi bagi membantu memindahkan keluarga ini yang terletak hampir 500 meter dari rumahnya.
Dengan menaiki bot jirannya mereka mengharungi air deras di kawasan tanaman pokok pisang dan hampir dihanyutkan arus deras beberapa kali.
Semasa berpaut di hujung bot beliau terfikir kalau ditakdirkan dirinya terjatuh pastinya hanyut dalam arus deras dan sukar untuk dijumpai.
“Saya nekad untuk menyelamatkan anak-anak jiran sehinggakan lupa akan keluarga sendiri.
“Setelah sampai di darat barulah saya berlari mendapatkan isteri tercinta dan anak-anak di rumah yang turut digenangi air,” katanya.
Bagi Yo atau Kamarul Azam, beliau bersyukur tidak terhingga kerana berjaya mengendalikan bot jirannya dengan baik sedangkan pada masa itu beliau bercuti sakit selama tiga bulan akibat kecederaan di kaki.
Bagi Pengerusi KRT Taman Sri Damai Aman, Jaafar Embong, 55, pihaknya berbangga dengan mereka berdua yang sentiasa membantu di kejiranan.
Begitu juga dengan Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Zainal Bahari yang turut berada di kawasan penempatan membantu mangsa banjir ini.
Katanya, dengan wujudnya sukarelawan yang hadir persis hero tidak didendangkan seperti kedua-dua ‘Yo’ ini membanggakan penduduk setempat.
Penempatan ini terdiri daripada ,1700 penduduk dan 70 keluarga terjejas banjir.
Bagi Hanafi, beliau sangat terharu dan tidak menyangka mereka berdua menyelamatkan nyawa anak dan isterinya.
Pada ketika itu, beliau terpaksa berenang keluar dari rumahnya untuk mendapatkan bantuan.
Turut sama menceritakan kisah menyayat hari ini, Rohana Sulaiman, 48, Jiranita KRT Taman Sri Damai Aman yang cemas menanti saat misi menyelamat itu.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 272 views