Skip to main content

Ziarah Prihatin UMPSA  cakna keperluan pelajar bakal mendaftar

PEKAN, 1 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan menyantuni pelajar baharu yang berkeperluan sebagai inisiatif dan memudah cara urusan pendaftaran mereka pada 19 Julai depan bagi program pengajian diploma dan kemasukan program pengajian ijazah sarjana muda yang dijadual pada bulan September akan datang. 

Malahan, UMPSA sentiasa cakna dan peka akan keperluan mereka mendaftar sehinggalah bergraduasi kelak terutamanya terhadap kebajikan sepanjang pengajian. 

Melalui kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Yayasan UMPSA, fakulti dan rakan-rakan kolaborasi strategik, Skuad Ziarah Prihatin UMPSA akan digerakkan bagi membantu memudah cara urusan kewangan dan pendaftaran di UMPSA.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pihak universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan buat pelajar berkeperluan dalam meringankan beban mereka terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading. 

“Skuad Ziarah Prihatin UMPSA akan memulakan siri jelajah  ke seluruh negara bagi mengenal pasti bakal pelajar berkeperluan dan mereka akan dihubungi pihak JHEPA dan disusuli dengan Program Ziarah Prihatin untuk mengenal pasti keperluan pendaftaran pelajar termasuk pengangkutan ke universiti.

"Usaha ini juga diperluas ke seluruh negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Malahan, pelajar dibenarkan mendaftar terlebih dahulu dan isu pembayaran hendaklah diselesaikan kemudian bagi memastikan tiada lagi pelajar miskin tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana tidak mempunyai wang ketika hari pendaftaran," ujarnya.

Yayasan UMPSA dengan tema 'Pilih untuk Berkongsi' komited dalam menyokong pendidikan dan kebajikan pelajar. 

Sebagai sebuah organisasi yang fokus kepada kesejahteraan pelajar, UMPSA dan Yayasan sentiasa memastikan tiada pelajar yang tercicir dari segi bantuan kewangan atau sokongan moral.

Ujarnya, Bantuan Insentif Pendidikan diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan menghadapi masalah kewangan untuk menyambung pengajian di universiti.

"Sejak dilaksanakan pada tahun 2016, usaha ini telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar baharu daripada golongan yang memerlukan setiap kali pendaftaran pelajar baharu," katanya. 

Dalam masa yang sama, menerusi JHEPA terdapat beberapa bantuan yang disalurkan kepada pelajar yang berkelayakan seperti Dermasiswa B40 TVET, Bantuan Komputer Riba dan Siswa Sulung (Ijazah Sarjana Muda), zakat serta lain-lain bantuan buat pelajar berkeperluan.

Bagi pelajar yang menerima Dermasiswa B40 TVET, yuran pengajian setiap semester akan ditanggung sepenuhnya kecuali yuran penginapan asrama dan pelajar akan menerima elaun sara diri sebanyak RM730.00 (diploma) dan RM800.00 (ijazah sarjana muda).

Manakala Bantuan Komputer Riba pula disalurkan kepada pelajar yang berkeperluan sekiranya pelajar mempunyai kekangan kewangan untuk membeli komputer riba.

Lebih menarik pelajar lepasan diploma, matrikulasi, politeknik, Kolej Vokasional dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih menyambung pengajian di UMPSA juga bakal menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA bagi sesi akademik pada tahun ini.

Insentif Kecemerlangan ini diberikan kepada mereka yang telah memilih UMPSA sebagai pilihan pertama dan menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.

UMPSA juga turut memperkenalkan UMPSA Express Meal yang merupakan makanan retort sebagai salah satu inisiatif kemudahan pelajar di bawah  inisiatif food@campus (UMPSA Campus Pantry).

Kemudahan lain termasuk Menu Siswa Madani untuk meringankan beban kewangan pelajar.

Lain-lain adalah Bantuan Zakat untuk pelajar Muslim, Bantuan Sara Diri untuk pelajar Non-Muslim, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi bantuan yang disediakan.

Malahan, prihatin terhadap usaha membantu pelajar, universiti juga memperkenalkan program Job on Campus (JoC) sebagai inisiatif universiti dan KPT untuk membantu pelajar menambah pendapatan sampingan, membina kemahiran insaniah dan mengurangkan kos sara hidup secara sambilan di dalam kampus.

Ziarah Prihatin UMPSA  cakna keperluan pelajar bakal mendaftar

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim