BERPUASA selama 19 jam. Kedengarannya macam tidak percaya, tetapi itu yang dilalui sesetengah umat Islam terutama di benua Eropah yang berpuasa dalam tempoh amat panjang.
Cabaran berpuasa rakyat Malaysia di perantauan dalam suasana persekitaran budaya dan masa yang berbeza memberikan pengalaman pahit manis.
Ia turut dilalui seorang penuntut, Batrisyia Elena Roslan, 22, di Jerman.
Penuntut Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu menyambung pengajian di negara itu sejak 10 September tahun lalu, mengakui berdepan pengalaman Ramadan yang berbeza pada tahun ini apabila berjauhan dengan keluarga selain cabaran pandemik Covid-19.