Alumni jadi tenaga pengajar, industri jadi kelas – Transformasi Pembelajaran BVF, di FTKKP UMPSA
PASIR GUDANG, 19 Jun 2025 – Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi sekadar latihan amali di makmal atau bengkel.
TVET kini sedang berkembang menjadi pengalaman pembelajaran holistik yang menggabungkan dunia akademik dengan realiti industri.
Bukti nyata transformasi ini dapat dilihat melalui inisiatif terkini oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah melaksanakan program lawatan teknikal intensif ke Ambok Engineering Sdn. Bhd., Pasir Gudang.
Seramai 41 orang pelajar, Tahun 1 dan Tahun 2, program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas (BVF) bersama dua orang pensyarah menyertai program itu sebagai sebahagian daripada pembelajaran Kursus BVF3224 Alignment & Condition-Based Monitoring (CBM) dan BVF1243 Equipment Basic Care (EBC).
Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FTKKP, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, apa yang menariknya ialah sesi pembelajaran bukan sahaja berlangsung di dalam kawasan industri sebenar malah dikendalikan oleh dua orang alumni UMPSA sendiri iaitu Muhammad Aiman dan Amirul Hakim yang kini menjadi pakar dalam bidang penyelenggaraan berasaskan kondisi (CBM).
“Program ini memberi peluang unik kepada pelajar untuk merasai sendiri penggunaan teknologi terkini seperti infrared thermography, laser alignment, dan vibration analysis yang digunakan secara meluas dalam industri minyak dan gas.
“Tambahan pula, perkongsian oleh Raja Zulkifli berkaitan sijil kompetensi industri membuka ruang kesedaran kepada pelajar tentang keperluan kelayakan profesional bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
“Lebih daripada sekadar lawatan, program ini mencetuskan dimensi baharu kerjasama antara UMPSA dan industri apabila perbincangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) turut diadakan susulan Surat Niat (LOI) yang telah ditandatangani sebelum ini,” ujarnya.
Kerjasama ini juga merupakan langkah strategik UMPSA sebagai universiti teknologi yang menyokong penuh aspirasi Pelan Induk TVET Negara dengan memberi fokus kepada penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum serta pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.
Dalam hal ini, setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Saiful Othman, Pengarah Ambok Engineering Sdn. Bhd., atas komitmen luar biasa serta kerjasama erat yang telah beliau berikan sepanjang penganjuran program ini.
Beliau bukan sahaja menyambut baik kehadiran pelajar dan pensyarah UMPSA, malah terus menunjukkan sokongan padu terhadap program BVF, sejajar dengan aspirasi bersama untuk melahirkan tenaga kerja teknikal yang kompeten, holistik dan bersedia menghadapi cabaran industri sebenar.
Sebagai salah satu universiti peneraju dalam pendidikan teknologi, UMPSA terus memperkukuh kedudukannya melalui pendekatan pembelajaran berimpak tinggi yang menyatukan teori, praktikal dan kolaborasi industri.
Program seperti ini bukan sahaja mempersiapkan graduan untuk cabaran sebenar industri, tetapi juga membentuk jati diri pelajar TVET yang berdaya saing, kompeten dan berwawasan.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 203 views