FTKEE–Industry Forum & Networking Day tingkatkan jalinan industri teroka peluang kerjasama
PEKAN, 25 November 2025 - Penganjuran FTKEE–Industry Forum & Networking Day berjaya menarik minat 19 wakil industri hadir bagi meneroka peluang kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan penyelidik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Hadir merasmikan program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.
Turut sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad.

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA berkata, program ini membuka ruang kepada perkongsian keperluan penyelidikan, peluang kerjasama geran industri/matching, penerbitan bersama, penyeliaan pelajar pascasiswazah, latihan industri serta pemindahan teknologi.
“Saya percaya forum dan sesi jaringan hari ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan tetapi menjadi landasan untuk memperkukuh hubungan yang berpanjangan antara UMPSA dan industri.
“Malahan kolaborasi yang berterusan ini juga dapat meneroka peluang bersama dalam penyelidikan terapan, pembangunan teknologi baharu serta perkongsian kepakaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Beliau percaya, program ini sebagai inisiatif pihak FTKEE dalam menyahut pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) bagi memperkukuh hubungan dengan industri dan memperkasa agenda kolaborasi akademik–industri di peringkat fakulti.
Dalam pada itu, UMPSA30 dibangunkan secara sistematik dan inklusif, selari dengan aspirasi Malaysia Education Blueprint 2025–2035 bagi mengangkat UMPSA sebagai institusi rujukan dalam bidang teknikal dan TVET.
Pelan ini menjadi instrumen penting dalam menyusun semula agenda pembangunan universiti agar lebih responsif terhadap keperluan global dan industri melalui pertumbuhan berfasa, pengukuhan sistem sokongan serta ekosistem yang mampan.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Hamzah berkata, berdasarkan MyRA: Pengukuran Pencapaian Penarafan Fakulti Q3 2025, FTKEE perlu meningkatkan jalinan industri apabila hanya lapan daripada 94 staf akademik berjaya memperoleh geran industri atau matching grant pada tahun semasa iaitu angka yang masih jauh daripada sasaran universiti.
“FTKEE–Industry Forum & Networking Day ini diharap menjadi stepping stone penting untuk merapatkan hubungan strategik antara fakulti dan industri,” katanya.
Di antara walil industri yang hadir adalah DXC Regional Delivery Center, Akustika.AI Sdn. Bhd., Move Robotic Sdn. Bhd., ALPS Electric (M) Sdn. Bhd., Isuzu Hicom Malaysia Sdn. Bhd., Malakoff Corporation Berhad, MIMOS Berhad, Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd., TT Electronics dan Siemens Energy Sdn. Bhd.
Lain-lain Hicom Engineering Sdn. Bhd., SZY Consultants Sdn. Bhd., Bromma (Malaysia) Sdn. Bhd., Isense Asv Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad (TNB), Integrated Regional Satellite Office (IRSO) East Coast/PETRONAS, Adicsolt Training Services dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Disediakan Oleh: Zuryati Zol, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Ftkee) dan Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 108 views
Reports by: