GAC audit Program Pengurusan Projek FIM UMPSA
GAMBANG, 22 November 2024 – The Global Accreditation Center for Project Management Education Program (GAC) telah mengadakan lawatan ke Fakulti Pengurusan Industri (FIM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menjalankan audit untuk program Pengurusan Projek sebagai sebahagian daripada proses Pembaharuan Akreditasi bermula pada 20 hingga 22 November 2024.
Pengiktirafan itu menunjukkan program Pengurusan Projek ini dibangunkan dan dilaksanakan mengikut piawaian badan profesional antarabangsa.
Menurut Ketua Program (Pengurusan Projek) FIM UMPSA, Dr. Nurhaizan Mohd Zainudin, audit itu telah diketuai oleh pasukan auditor yang berpengalaman dari Malaysia, Australia, dan Doha daripada Project Management Institute (PMI) GAC.
“GAC adalah badan pengiktirafan dan akreditasi khusus yang mengiktiraf program ijazah berkaitan pengurusan projek, program dan portfolio pada peringkat sarjana muda, pascasiswazah, dan ijazah kedoktoran (PhD).
“Badan ini telah ditubuhkan pada tahun 2001 oleh PMI dengan tujuan utama untuk memupuk kecemerlangan dan peningkatan berterusan serta memastikan setiap program akademik yang melibatkan bidang pengurusan projek mencapai tahap kualiti dan standard yang ditetapkan.
“Program Pengurusan Projek telah berjaya mendapat pengiktirafan dari GAC untuk tempoh lima tahun bermula dari 1 Mei 2019 hingga 30 April 2024,” ujarnya.
Tambanya lagi, lawatan pada kali ini adalah bagi memperbaharui pengiktirafan dari GAC.
Bagi Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad, beliau percaya program Pengurusan Projek ini mampu melengkapkan pelajar apabila mereka melangkah ke dunia pekerjaan.
“Melalui program ini, ia akan memberi pengalaman kepada pelajar selain dapat membina rangkaian yang kukuh serta membimbing mereka bagi membuat keputusan yang lebih jelas.
“Mereka akan lebih bersedia, sekurang-kurangnya dua tahun sebelum menamatkan pengajian dan beralih pula kepada profesion pilihan mereka.
“Oleh itu, pembaharuan akreditasi ini sangat penting untuk program ini,” katanya.
Pasukan auditor diketuai oleh Derek Poon dari Malaysia dan dibantu oleh Dr. Sandeep Mathur dari Australia dan Dr. Shaligram Pokharel dari Doha yang mengaudit secara dalam talian.
Mereka telah mengadakan perbincangan yang konstruktif bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Lt. Kol. Dato’ Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad, Timbalan-timbalan Dekan, dan penyelaras program pada 20 November 2024 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Kehadiran auditor daripada latar belakang yang berbeza menyerlahkan kepentingan global proses pembaharuan akreditasi ini.
Disediakan Oleh: Kalpana A/P Ramachandran, Fakulti Pengurusan Industri
- 304 views