Skip to main content

UMPSA memperkukuh pengantarabangsaan melalui program sangkutan kewangan di United Kingdom

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mempergiat agenda pengantarabangsaan menerusi pelaksanaan Program Sangkutan Staf Kewangan di Finance, Planning and Governance (FPG), University of East Anglia (UEA), Norwich, United Kingdom yang berlangsung pada 11 hingga 15 Mei 2026.

Penyertaan program sangkutan staf kali ini melibatkan Pengarah Operasi Kewangan dan Pengurusan Aset, Nor Ashikin  Dolmat@Mat Sani itu membuka perspektif baharu terhadap pengurusan kewangan, pendigitalan sistem serta kelestarian kewangan universiti.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti Staf dan Pelan Strategik UMPSA 2025-2030 menerusi objektif ‘Attracting and Nurturing Global Talent (Staff)’. 

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pendedahan global staf, memperkukuh kompetensi melalui penglibatan dalam program mobiliti antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mempergiat agenda pengantarabangsaan menerusi pelaksanaan Program Sangkutan Staf Kewangan di Finance, Planning and Governance (FPG), University of East Anglia (UEA), Norwich, United Kingdom yang berlangsung pada 11 hingga 15 Mei 2026. Penyertaan program sangkutan staf kali ini melibatkan Pengarah Operasi Kewangan dan Pengurusan Aset, Nor Ashikin  Dolmat@Mat Sani itu membuka perspektif baharu terhadap pengurusan kewangan, pendigitalan sistem serta kelestarian kewangan universiti. Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti Staf dan Pelan Strategik UMPSA 2025-2030 menerusi objektif ‘Attracting and Nurturing Global Talent (Staff)’.

UEA merupakan universiti awam (UA) terkemuka di United Kingdom yang berada pada kedudukan ke-20 universiti penyelidikan terbaik berdasarkan The Education Ranking for The Research Excellence Framework 2021.

Universiti itu juga berada pada kedudukan kesembilan dalam anugerah ‘Rate My Placement Best University for Work Experience Awards 2025/2026’ selain mencatatkan 79 peratus graduannya memperoleh pekerjaan atau melanjutkan pengajian dalam tempoh 15 bulan selepas tamat pengajian.

Delegasi UMPSA telah diraikan oleh kumpulan UEA Global yang diketuai oleh Head of Global Engagement (Mobility, Partnerships and Programmes), Alexandra Cole bersama Global Engagement Manager (Programmes), Alice Landray, dan Global Engagement Coordinator, Lewis Warnes. 

Sesi tersebut memberi pendedahan mengenai pencapaian dan pengurusan UEA yang mempunyai kira-kira 16,000 pelajar termasuk lebih 2,000 pelajar antarabangsa.

Delegasi turut dibawa melawat sekitar kampus UEA termasuk Student Information Zone (SIZ), The Square, bangunan pentadbiran dan fakulti, perpustakaan serta mercu tanda The Ziggurats.

Selain itu, delegasi turut mengadakan perbincangan bersama Associate Director, UEA Global, Karen Blackney dan Global Engagement Manager (Partnership), Katrien Verbruggen bagi berkongsi maklumat berkaitan kerjasama akademik dan pengurusan universiti.

Dalam aspek pengurusan kewangan, FPG UEA yang diketuai Treasurer Simon George, BA, MSc, ACMA, CPFA dan Director of Finance Jason Brown, BA, FCCA mempunyai seramai 130 staf dengan amalan kepakaran tugas tanpa pelaksanaan pertukaran kerja (job rotation).

Komposisi terbesar pendapatan UEA adalah dari yuran pelajar iaitu sebanyak 60 peratus, 15 peratus geran kerajaan ke atas bilangan pelajar, 10 peratus hasil geran penyelidikan, 13.8 peratus lain-lain pendapatan manakala pelaburan dan endowmen hanya 1.2 peratus yang terdiri dari dana penyelidikan jangka panjang yang masih belum dibelanjakan. 

UEA kini berdepan cabaran kewangan susulan penurunan bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa yang memberi kesan kepada pendapatan universiti, namun terus memperkukuh pengurusan kewangan melalui sistem pendigitalan menyeluruh.

FPG telah melaksanakan pendigitalan operasi kewangan sejak tahun 2018 dengan tiada lagi penggunaan dokumen fizikal dan pemfailan manual bagi meningkatkan kecekapan operasi serta penjimatan ruang dan sumber manusia.

Pendigitalan itu turut menyokong pelaksanaan kaedah kerja fleksibel iaitu tiga hari bekerja dari rumah dan dua hari di pejabat.

Dalam aspek perolehan, sistem automasi digunakan sepenuhnya bermula daripada permohonan sehingga penghantaran pesanan kepada pembekal melalui emel secara automatik.

Delegasi UMPSA turut menghadiri sesi bersama Associate Director of Procurement, Chris Bradsworth yang berkongsi pengurusan perolehan berpusat dan penggunaan platform e-dagang dalam urusan pembelian universiti.
Sementara itu, sesi bersama  Associate Director of Financial Management, Adele Thiel dan Head of Payroll and Pension, Teresa McCarty pula memberi pendedahan mengenai pengurusan pembayaran, penerimaan, aliran tunai, gaji dan pencen yang dilaksanakan secara cekap dan tersusun.

UMPSA turut berpeluang meneliti pengurusan kewangan penyelidikan UEA yang kini diletakkan sepenuhnya di bawah FPG bagi meningkatkan kawalan bajet, pembayaran dan pelaporan penyelidikan.

Program diakhiri dengan sesi perbincangan akademik yang konstruktif bersama Associate Dean, Faculty of Science, Stephen Laycock.

Sesi ini memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam aspek pengurusan universiti yang meliputi pengurusan akademik, pengurusan pelajar dan pengurusan kewangan institusi pengajian tinggi.

Secara keseluruhannya, program sangkutan ini dapat memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pengurusan kewangan UMPSA, khususnya dalam memperkukuh agenda pendigitalan, meningkatkan kecekapan operasi serta memantapkan amalan tadbir urus kewangan yang mampan. 

Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UMPSA untuk terus maju sebagai universiti berdaya saing di peringkat global melalui pengurusan sumber yang lebih strategik, inovatif dan berimpak tinggi.

Disediakan Oleh: Nor Ashikin Dolmat@Mat Sani, Jabatan Bendahari

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri