UMPSA NEXUS Night 2026 perkukuh ekosistem kerjasama global, hubungkan universiti dan industri
PEKAN, 30 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan global menerusi penganjuran UMPSA NEXUS Night 2026 yang menghimpunkan rakan universiti antarabangsa, agensi penajaan pendidikan, pemain industri, alumni dan pelajar ijazah dual dalam satu platform strategik bagi memperluas peluang kerjasama serta pembangunan bakat.
Berlangsung di Hotel AnCasa Royale, Pekan, program bertemakan ‘Celebrating Global Dual Degree Partnerships’ itu memberikan penekanan kepada hubungan UMPSA dengan China, di samping meraikan sumbangan rakan strategik yang bersama-sama menyokong perkembangan universiti.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penganjuran NEXUS bukan sekadar meraikan hubungan dengan sesebuah negara, sebaliknya menjadi platform menghargai semua pihak yang telah bersama-sama menyumbang kepada perkembangan universiti.
“Pemilihan China sebagai tema pada tahun ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran tahun lalu yang memberikan tumpuan kepada kerjasama dengan Jerman.
“Setiap tahun, kita memilih tema yang berbeza bagi mengiktiraf hubungan yang telah membentuk perjalanan kita.
“Walaupun tumpuan berubah, semangat NEXUS kekal sama, iaitu meraikan semua pihak yang telah berkembang bersama UMPSA,” ujarnya.
Menurut beliau, kerjasama program ijazah dual bersama universiti antarabangsa merupakan antara asas penting dalam memperkukuh pengalaman pembelajaran global dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Ketika ini, UMPSA mempunyai 13 program ijazah dual bersama universiti antarabangsa dan terus mengorak langkah memperluas kerjasama tersebut ke peringkat pascasiswazah.
“Lebih penting, kita mahu hubungan yang dibina berkembang daripada jaringan kepada tindakan dan daripada perjanjian kepada pelaksanaan yang memberikan impak kepada universiti, industri serta masyarakat,” katanya.
Keberkesanan kerjasama UMPSA dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) turut dibuktikan apabila tiga graduan diiktiraf sebagai Pelajar Terbaik Program sempena Majlis Konvokesyen yang diadakan pada Januari 2026.
Mereka ialah Kang Hui Lynn yang kini mempunyai hubungan dengan Tsinghua University di Beijing, Tan Zi Feng yang menyertai Texas Instruments Malaysia dan Aida Nadhirah binti Abdullah Harun yang menyumbang kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menerusi China Communications Construction.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kejayaan tersebut membuktikan bahawa nilai sebenar kerjasama antarabangsa bukan hanya terletak pada hubungan akademik, malah peluang yang dapat diwujudkan kepada graduan untuk meneroka laluan kerjaya dan menyumbang dalam sektor industri.
“Sehubungan itu, UMPSA berhasrat memperluas kerjasama sedia ada melalui laluan pengajian pascasiswazah, penerapan modul akademik, pendedahan industri serta pembelajaran berasaskan pekerjaan.
“Saya turut berharap penglibatan rakan industri dapat dipertingkatkan dalam pembentukan kandungan dan kaedah pembelajaran agar pengalaman serta keperluan sebenar industri dapat diterapkan dalam ekosistem pendidikan universiti.
“Kerjasama UMPSA dengan rakan antarabangsa khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi, penyelidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju turut dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang dalam latihan industri, pemindahan teknologi, inovasi bersama serta pembangunan bakat berdaya saing di peringkat global,” katanya.
NEXUS Night 2026 turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Chongqing University dan Eastern Steel Sdn. Bhd.
Pemeteraian MoU bersama Chongqing University membuka lembaran baharu dalam hubungan akademik kedua-dua universiti, khususnya sebagai asas penerokaan pembangunan program Ijazah Dual Sarjana, sekali gus memperluas kerjasama UMPSA daripada peringkat prasiswazah kepada pascasiswazah.
Sementara itu, kerjasama dengan Eastern Steel Sdn. Bhd. membuka ruang kepada penerokaan kolaborasi dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi dan hubungan universiti-industri.
Penganjuran UMPSA NEXUS Night 2026 turut menjadi ruang untuk menghargai sumbangan penaja yang telah membantu menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar, selain mengiktiraf peranan alumni sebagai bukti kejayaan kerjasama antarabangsa universiti.
Majlis dihadiri Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim dan pengurusan tertinggi UMPSA yang lain.
Kehadiran delegasi antarabangsa turut memperlihatkan keluasan jaringan UMPSA yang merangkumi rakan universiti dari Jerman, Uzbekistan dan China.
Delegasi yang diraikan adalah Professor Dr. Gao Liang, Timbalan Presiden Beijing Jiaotong University, Associate Professor Jiang Xiaoxia, Ningxia University, Timbalan Pengarah Pejabat Sino-Foreign Education Cooperation, Professor Dr. Zhang Wengang, Timbalan Pengarah, State Key Laboratory of Safety and Resilience Civil Engineering in Mountain Area, Chongqing University, Professor Dr.-Ing. Robert Weiß, Dekan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Mekatronik, Karlsruhe University of Applied Sciences, Professor Dr. Li Lijun, Pengarah Confucius Institute (China), Hebei University, Dr. Ozoda Yuldasheva, Penasihat kepada Rektor, Samarkand State Technical University, Uzbekistan.
Penganjuran UMPSA NEXUS Night 2026 turut menjadi ruang untuk menghargai sumbangan penaja yang telah membantu menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar, selain mengiktiraf peranan alumni sebagai bukti kejayaan kerjasama antarabangsa universiti.
Agensi penajaan ini turut menyampaikan slot biasiswa program ijazah dual yang mencerminkan komitmen mereka dalam menyediakan lebih banyak peluang pendidikan antarabangsa kepada pelajar
Wakil agensi penaja adalah Timbalan Pengarah Kluster Pembangunan Strategik, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Idayuwati Abdullah@Ab Rahman, Setiausaha Korporat, Yayasan Sabah, Tuan Haji Hanafiah Diman, Pengurus Besar, Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan, dan Timbalan Pengarah Operasi, Yayasan Terengganu. Mohd Nazri Muda.
Penyertaan rakan industri termasuk Eastern Steel (M) Sdn. Bhd. pula membuka ruang kepada pengukuhan hubungan universiti-industri melalui penyelidikan gunaan, pemindahan teknologi, latihan industri dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Gabungan rakan universiti, industri, penaja, alumni dan pelajar ini membentuk satu ekosistem yang saling melengkapi.
Rakan akademik menyediakan akses kepada kepakaran dan pengalaman global, industri menawarkan ruang aplikasi teknologi serta peluang kerjaya, penaja menyokong pembangunan bakat, manakala alumni menjadi bukti keberhasilan kerjasama dan penghubung kepada peluang profesional baharu.
Melalui pendekatan ini, UMPSA berhasrat memastikan jaringan yang dibina terus berkembang menjadi kerjasama berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi, industri dan ekonomi negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 7 views
Reports by: