Skip to main content

UMPSA perkukuh jaringan strategik di Kazakhstan, teroka kerjasama AI, TVET dan penyelidikan dengan Nazarbayev University (NU)

ASTANA, KAZAKHSTAN, 26 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperluas jaringan strategik UMPSA di rantau Asia Tengah, khususnya dengan Nazarbayev University (NU), Astana, Kazakhstan dalam bidang pendidikan tinggi, kecerdasan buatan (AI), TVET termaju, penyelidikan dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

NU berada dalam kelompok 401–500 terbaik dunia berdasarkan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026, sekali gus menjadikannya salah satu institusi yang berpotensi menjadi rakan strategik penting kepada UMPSA dalam memperluas jaringan akademik dan penyelidikan di Asia Tengah.

Dalam kunjungan ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bagi meneroka ekosistem akademik, penyelidikan dan inovasi NU yang merupakan antara institusi pendidikan tinggi terkemuka di Asia Tengah. 

Turut sama Pengarah Pusat Senat, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Nor Ashikin Sulaiman.

Sepanjang lawatan, delegasi UMPSA berkesempatan meninjau Perpustakaan Utama NU yang berfungsi sebagai pusat sumber akademik, pembelajaran dan inovasi digital.

Kemudahan tersebut merangkumi koleksi sumber ilmiah, ruang pembelajaran kolaboratif 24 jam, makmal fabrikasi digital serta kemudahan sokongan penyelidikan yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan dan pendekatan rentas disiplin.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, UMPSA juga berpeluang menghadiri Majlis Pelancaran School of Computing and Artificial Intelligence (SCAI), sebuah sekolah baharu yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dalam bidang pengkomputeran, sains data, keselamatan siber dan kecerdasan buatan.

“Perkembangan ini dilihat amat signifikan dalam konteks UMPSA sebagai universiti berteraskan teknologi dan TVET, khususnya dalam meneroka ruang kerjasama yang lebih luas melibatkan pembangunan kurikulum, mobiliti bakat, penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran serta pembangunan kompetensi dalam bidang teknologi baharu dan sedang berkembang,” ujarnya.

Lawatan ini berlangsung bersempena dengan lawatan kerja tiga hari Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke Astana sehingga 28 September 2026, yang menyaksikan penglibatan delegasi Malaysia dalam beberapa agenda pendidikan tinggi antara Malaysia dan Kazakhstan.

Pada masa yang sama, delegasi UMPSA turut menyertai Malaysia-Central Asia Higher Education Forum 2026 (MAHEF2026) anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) di Maqsut Narikbayev University yang menghimpunkan pemimpin institusi, akademia dan pemegang taruh pendidikan tinggi dari Malaysia serta negara-negara Asia Tengah.

Dalam program ini, antara hasil utama forum menurut YB Menteri Pendidikan Tinggi ialah persetujuan untuk mengadakan Mesyuarat Pendidikan Tinggi Tahunan antara Malaysia dan Kazakhstan, dengan mesyuarat bagi tahun ini diadakan di Kazakhstan, manakala Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya pada tahun 2027.

Forum ini turut mengetengahkan potensi kerjasama strategik dalam bidang TVET termaju, kecerdasan buatan dan pembangunan bakat digital, selari dengan enam bidang tumpuan baharu yang dikenal pasti, iaitu Kecerdasan Buatan (AI), Sains Nuklear, Pertanian dan Teknologi Pertanian, Mineral Kritikal, Peralihan Tenaga serta Keselamatan Makanan.

Ujarnya, perkembangan ini membuka ruang yang lebih luas untuk universiti meneroka bentuk kerjasama rentas sempadan yang mempunyai nilai tambah kepada pembangunan bakat dan penyelidikan, khususnya dalam bidang teknologi termaju yang mempunyai kaitan langsung dengan keperluan industri dan agenda pembangunan ekonomi masa hadapan.

Malahan kerjasama berpotensi yang dikenal pasti merangkumi program ijazah dual, mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan serta penerbitan bersama, perkongsian kepakaran dan kemudahan penyelidikan, pembangunan program akademik, pemindahan teknologi TVET serta pembangunan bakat digital bertaraf antarabangsa.

Hubungan dengan institusi seperti NU juga berpotensi memberikan dimensi baharu kepada agenda pengantarabangsaan UMPSA melalui pembentukan jaringan akademik yang lebih kukuh di Asia Tengah.

Selain memperluas peluang mobiliti dan kolaborasi penyelidikan, jaringan tersebut boleh menjadi platform kepada UMPSA untuk meneroka pengambilan pelajar antarabangsa, khususnya dari Kazakhstan dan negara-negara serantau.

UMPSA perkukuh jaringan strategik di Kazakhstan, teroka kerjasama AI, TVET dan penyelidikan dengan Nazarbayev University (NU)

Perkara ini selari dengan perkembangan mobiliti pendidikan antara kedua-dua negara, apabila lebih 1,400 pelajar Kazakhstan kini melanjutkan pengajian di Malaysia, sekali gus menunjukkan potensi pasaran pendidikan tinggi dan ruang kerjasama yang masih luas untuk diterokai.

Delegasi UMPSA turut menyertai Majlis Makan Malam Rasmi yang menghimpunkan delegasi Malaysia, diaspora Malaysia serta alumni Kazakhstan yang pernah melanjutkan pengajian di Malaysia. 

Pertemuan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara pemegang taruh pendidikan tinggi kedua-dua negara, malah memperlihatkan peranan pendidikan sebagai jambatan diplomasi dan penghubung hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Kazakhstan.

Lawatan strategik ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk mengangkat agenda pengantarabangsaan daripada sekadar mobiliti kepada pembentukan jaringan strategik yang menghasilkan nilai akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat secara bersama.

Inisiatif ini sekali gus menyokong aspirasi UMPSA untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknologi dan TVET bertaraf global, dengan memberi tumpuan kepada bidang strategik masa hadapan serta membina jaringan antarabangsa yang mampu menghasilkan impak kepada pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan industri.

Disediakan Oleh: Nor Ashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri