Skip to main content

UMPSA perkukuh kerjasama strategik bersama Yayasan Sabah melalui program ijazah dual

KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hari ini mengetuai delegasi mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Sabah.

Ketibaan delegasi disambut oleh Naib Canselor University College Sabah Foundation (UCSF), Profesor Madya Datuk Dr. Rafiq Idris dan Pengurus Kumpulan, Bahagian Pembangunan Pendidikan, Yayasan Sabah, Tuan Haji Asman Dulamid.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kunjungan ini merupakan tanda penghargaan UMPSA atas sokongan dan kepercayaan berterusan Yayasan Sabah dalam memperluas akses pendidikan berkualiti tinggi kepada anak-anak Sabah, di samping memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi.

“Kerjasama ini turut memberi fokus kepada peluang pendidikan menerusi program Ijazah Dual UMPSA bersama Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan, khususnya dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi Industri,” ujarnya. 

Turut berlangsung sesi penyerahan surat tawaran tajaan Yayasan Sabah kepada pelajar UMPSA, Nuralya Afrina Shamley yang merupakan salah seorang daripada 12 pelajar yang akan mengikuti program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Bioteknologi Industri dengan KazNARU yang dijadualkan memulakan pengajian di Kazakhstan pada 1 September 2026.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pendidikan di peringkat antarabangsa, malah memberi pendedahan kepada persekitaran akademik dan budaya global yang mampu membentuk graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing serta mempunyai perspektif antarabangsa.

Kerjasama antara UMPSA dan Yayasan Sabah ini juga dilihat berpotensi memberi impak yang lebih luas terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam melahirkan bakat berkemahiran yang dapat menyokong keperluan tenaga kerja serta pembangunan sektor-sektor strategik di Sabah.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah lagi, sokongan pihak Yayasan Sabah merupakan satu bentuk pelaburan penting dalam pembangunan pendidikan dan bakat anak-anak Sabah, selaras dengan aspirasi untuk memastikan lebih ramai pelajar berpotensi mendapat akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta peluang pengajian di institusi bertaraf antarabangsa.

“Pada masa ini, seramai 16 pelajar program Ijazah Dual UMPSA mendapat tajaan Kumpulan Yayasan Sabah dan JPA Negeri Sabah manakala seramai 21 alumni tajaan Sabah berjaya dilahirkan menerusi program ini.

“Kerjasama UMPSA dan Yayasan Sabah ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan bakat dan masa depan generasi muda, di samping membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sabah untuk melangkah ke pentas pendidikan global,” katanya. 

Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang melaksanakan 12 program ijazah dual hasil kerjasama strategik jangka panjang dengan institusi pengajian tinggi luar negara seperti Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technische Hochschule Mannheim (THM), Jerman; Beijing Jiaotong University (BJTU); Tianjin University, China; Hebei University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan serta Hanyang University ERICA Campus, Korea Selatan.

Disediakan Oleh: Nor Ashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri