Skip to main content
UMPSA terima lawatan penanda aras IMU university kongsi pengalaman kerjasama Sino-Foreign Cooperation

UMPSA terima lawatan penanda aras IMU university kongsi pengalaman kerjasama Sino-Foreign Cooperation

PEKAN, 23 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima lawatan penanda aras daripada delegasi International Medical University (IMU) University bagi mendapatkan perkongsian pengalaman berkaitan pelaksanaan kerjasama Sino-Foreign Cooperation di UMPSA.

Sesi perkongsian tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan menjadi platform untuk berkongsi pengalaman universiti dalam membangunkan kerjasama akademik bersama institusi pendidikan di China, khususnya dari aspek model pelaksanaan program, proses kelulusan dan tadbir urus akademik.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, UMPSA berkongsi pengalaman pelaksanaan dua model kerjasama utama, iaitu kerjasama akademik bersama Ningxia University (NXU) serta kerjasama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bersama Sichuan Vocational College (SCAVC) dan jaringan institusi berkaitan.

“Model kerjasama bersama Ningxia University (NXU) melibatkan program Bachelor of Mechanical Engineering yang dilaksanakan melalui model pengajian 3+1 dengan laluan Ijazah Dual,” ujarnya. 

Selain itu, UMPSA turut berkongsi pengalaman membangunkan kerjasama TVET bersama Sichuan Vocational College (SCAVC), dengan tumpuan kepada bidang Aircraft Digital Manufacturing Technology, Mechatronics Technology dan Electrical Automation Technology.

Delegasi IMU turut diberikan penerangan mengenai proses mendapatkan kelulusan bagi kerjasama antarabangsa, struktur tadbir urus akademik serta pengalaman UMPSA dalam menyelaras pelaksanaan program bersama institusi pendidikan di China.

Perkongsian ini memberikan gambaran mengenai aspek perancangan dan penyelarasan yang perlu diberi perhatian dalam memastikan pelaksanaan kerjasama akademik antarabangsa berjalan secara teratur.

UMPSA terima lawatan penanda aras IMU university kongsi pengalaman kerjasama Sino-Foreign Cooperation

Turut sama hadir Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengarah Confucius Institute, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon dan Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Abd Rahman Haji Safie, dan Pengarah Pusat Senat, Nor Ashikin binti Sulaiman. 

Manakala delegasi IMU pula terdiri daripada Dekan School of Pharmacy, Profesor Wong Pei Se, Timbalan Dekan ,School of Health Sciences (Akademik dan Kualiti), Profesor Madya Kok Yih Yih, Ketua Jabatan Global Engagement Office, Rosbi Anum Ibrahim, Pengurus Global Engagement Office, Tung Seng Foo, serta Eksekutif Kanan, Pejabat Pendaftar, Mohd Faris Mohd Nor.

Model kerjasama yang dikongsikan diharapkan dapat dijadikan rujukan oleh IMU dalam meneroka dan merancang pelaksanaan Sino-Foreign Cooperation, di samping memperkukuh hubungan serta membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua universiti.

Lawatan ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk terus berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan kerjasama akademik antarabangsa, khususnya dalam memperluas jaringan strategik bersama institusi pendidikan tinggi di peringkat global.

Disediakan Oleh: Nor Ashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri