Skip to main content

Kerjasama PETRONAS, Petros imbangi kepentingan negara dan negeri

SARAWAK kini berada pada fasa penting dalam pengurusan sumber tenaga dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), sebagai entiti milik kerajaan negeri melaksanakan peranan semakin dominan dalam industri minyak dan gas negeri itu.

Sejak penubuhannya pada Julai 2017, Petros kini berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin pengurusan sumber minyak dan gas di Sarawak.

Petros juga menunjukkan komitmen tinggi dalam memenuhi aspirasi negeri untuk lebih berdikari dalam sektor tenaga dan mengoptimumkan manfaat untuk negeri serta rakyatnya.

Namun, PETRONAS dan Petros akan bergerak sebagai rakan kerjasama untuk memastikan kepentingan serta hasil negara dan Sarawak terjamin.

Disyorkan
Sunview Group menang kontrak RM45 juta jana tenaga solar di UMS
Terminal 3 KLIA hanya dibina jika kapasiti penumpang penuh
Produktiviti Malaysia belum sepantas negara lain pernah pada kedudukan sama
Angka korban di Gaza melebihi 48,300, lebih banyak mayat ditemukan bawah runtuhan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penerangan aktiviti petroleum di Dewan Rakyat, kelmarin menegaskan PETRONAS dan Petros akan bergerak 'sederap'.

Walaupun Petros berperanan sebagai agregator atau badan penyelaras dalam industri minyak dan gas Sarawak, kelulusan serta obligasi kontraktual, baik domestik mahupun antarabangsa, yang diberikan kepada PETRONAS, akan tetap berkuat kuasa.

Kerjasama ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang Persekutuan.

Dalam konteks ini, Petros berperanan sebagai entiti utama memastikan pengeluaran dan pengurusan gas asli Sarawak berjalan lancar, sejajar matlamat negeri untuk memperkukuhkan ekonomi serta pembangunan sosial melalui pemanfaatan sumber tenaga yang ada.

Dengan hak 100 peratus diberikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, Petros memainkan peranan penting dalam membangunkan industri minyak dan gas Sarawak, termasuk pembabitannya dalam projek penggerudian pertama di Marudi Selatan serta beberapa projek lain.

Kini, Petros berkembang menjadi syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia dari segi ekuiti dalam pangkalan sumber hidrokarbon.

Kejayaan ini membuka lebih banyak ruang bagi Sarawak untuk mencapai tahap autonomi lebih tinggi dalam sektor tenaga, selain menyediakan peluang baharu bagi rakyat negeri itu.

Bagaimanapun, kerjasama terjalin dengan PETRONAS tetap menjadi aspek amat penting dalam memastikan pengurusan sumber tenaga negara kekal berdaya saing dan mampan.

Pelan Hala Tuju Gas Petros Sarawak yang menyasarkan penciptaan empat hab gas utama di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching, dijangka mengubah landskap sosioekonomi Sarawak menjelang 2030.

Melalui inisiatif ini, Sarawak berpotensi menjadi sumber utama dalam industri gas negara, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi Malaysia.

Selain memberi manfaat besar kepada penduduk dan ekonomi negeri, pengambilan tenaga kerja berkemahiran daripada syarikat berkaitan juga dilihat dapat memperkasakan lagi keupayaan Petros untuk mempercepat pertumbuhannya dan memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan dalam industri minyak dan gas Sarawak.

Walaupun Petros mampu berdiri sendiri, kerjasama dengan PETRONAS tetap menjadi faktor utama dalam kejayaan industri minyak dan gas di Sarawak.

Sebagai syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS memiliki pengalaman luas dan kepakaran teknikal dalam mengendalikan operasi di pelbagai peringkat industri ini di Sarawak.

Keupayaan PETRONAS dalam menguruskan aspek risiko besar yang sering berlaku dalam sektor tenaga dan pengalamannya dalam menjalankan operasi di luar pesisir serta kawasan terpencil, menjadikannya rakan strategik ideal bagi Petros dalam memperkasa industri minyak dan gas di Sarawak.

Kerjasama ini bukan sahaja menguntungkan kedua-dua pihak, bahkan penting untuk memastikan keseimbangan antara kepentingan negeri dengan negara.

PETRONAS salur teknologi kepada Petros

PETRONAS, yang mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh dan rangkaian operasi global, dilihat dapat memberikan akses kepada teknologi dan pengetahuan diperlukan kepada Petros untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sumber tenaga mereka.

Ditambah sokongan PETRONAS dalam aspek teknikal, Petros dapat meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran teknikal lebih kompleks dalam industri minyak dan gas.

Petros dapat memanfaatkan teknologi terkini dan ini akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur tenaga di Sarawak.

Bagi PETRONAS pula, kerjasama dengan Petros memberi peluang untuk mengekal dan memperluaskan operasi mereka di Sarawak, sambil memastikan kepentingan negara dalam pengurusan sumber tenaga terus terpelihara.

Kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama untuk memastikan pengurusan sumber tenaga lebih efisien dan berkesan, dengan mengambil kira kepentingan ekonomi negeri Sarawak dan juga kemampanan sektor tenaga negara secara keseluruhan.

Petros juga dapat memanfaatkan kepakaran PETRONAS dalam aspek pengurusan dan pembangunan teknologi hijau, yang sangat relevan dalam era peralihan global kepada tenaga boleh diperbaharui.

Sebagai negeri kaya dengan sumber tenaga, Sarawak mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam industri tenaga global.

Petros juga komited bekerjasama dengan PETRONAS dalam usaha memajukan sektor tenaga negara secara keseluruhan.

Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Petros kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memimpin pengurusan sumber tenaga negeri ini dan memastikan pembangunan mampan dalam sektor tenaga.

Buka peluang pembangunan tenaga baharu

Melalui kerjasama ini, Sarawak dapat terus memastikan pengurusan sumber minyak dan gas dilakukan secara efisien, sambil membuka peluang untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui lebih lestari.

Sarawak kini berada dalam fasa sangat penting dalam usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam industri tenaga.

Kerjasama antara Petros dan PETRONAS adalah langkah tepat untuk mencapai matlamat berkenaan.

Bagi Petros, kerjasama dengan PETRONAS bukan sahaja memberikan peluang untuk memperkasa pengurusan sumber tenaga negeri, bahkan membuka jalan untuk memperkenalkan teknologi baharu yang akan membantu Sarawak menanggapi cabaran tenaga global.

Petros dapat membangunkan infrastruktur lebih baik untuk pengurusan tenaga, seterusnya akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri.

Untuk jangka panjang, pengurusan lebih baik terhadap sumber tenaga oleh Petros akan memastikan Sarawak tidak hanya bergantung kepada hasil minyak dan gas, bahkan mempunyai peluang membina ekonomi lebih lestari.

Melalui pelaburan dalam teknologi tenaga hijau dan penyelidikan alternatif, Sarawak dapat menjadi peneraju dalam penggunaan sumber tenaga lebih bersih dan mampan.

Ini adalah langkah penting untuk Sarawak dalam mengimbangi kepentingan negeri dan negara, sekali gus memastikan sektor tenaga negara terus berkembang, cekap dan mampan pada masa depan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Author
azwin