Info Sekitar Kampus Institut Confucius bakal ditubuhkan di UMPUniversiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Confucius Institute Headquaters (Hanban) dalam penubuhan Institut Confucius atau Kong Zi Institute yang bakal memanfaatkan mahasiswa dan masyarakat setempat terutamanya di negeri Pahang. Dalam program ini, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim hadir bertukar dokumen perjanjian dengan Timbalan Pengarah Hanban, Zhao Guocheng Ang yang berlangsung di Chengdu China pada 5 Disember 2018 yang lalu bersempena penganjuran Persidangan Kali ke-13 Institut Confucius. Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Hanban, Profesor Wang Yong, Setiausaha Jawatankuasa Hebei University, Profesor Gui Jian, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa Hebei University, Profesor Li Xiaoliu dan Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) UMP, Yong Ying Mei. Menurut Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir, kewujudan institut ini akan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin dan juga pertukaran kebudayaan melibatkan dua negara. “Malah, hasil hubungan baik UMP dengan pihak Hebei University sejak tahun 2011 terdapat seramai 22 guru Bahasa Mandarin telah ditempatkan di sini,” katanya. Hebei University merupakan universiti di China yang dilantik oleh pihak Hanban bagi usaha kerjasama terhadap penubuhan Institut Confucius. Setakat ini dua institusi pendidikan tinggi di Malaysia yang telah sedia ada ialah Universiti Malaya (UM) dan Segi University. Pelantikan Baharu Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dilantik TNC (Akademik & Antarabangsa) UMPProfesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, 51, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Disember 2018. Beliau yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Michigan Ann Arbor, USA (1990), Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Rensselaer Polytechnic Institute, USA (1992) dan Doktor Falsafah (Teknologi Pembuatan Termaju) dari Universiti Sains Malaysia (2004). Beliau yang mula berkhidmat sebagai pensyarah UMP di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) sejak tahun 2004, pernah memegang jawatan sebagai Dekan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) selama lima tahun bermula dari tahun 2012. Di samping itu juga, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik (CAIC) UMP dari tahun 2011 hingga 2013. Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pelantikan ini. "Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa," katanya. Dalam pada itu, pihaknya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus yang turut menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia. Berada pada landasan terbaik, UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisien berorientasikan keperluan industri dan masyarakat. Penyelidikan dan Inovasi Penyelidikan UMP terus diiktiraf di KoreaOleh: HARDYANA MOHD. SAMAN DARI JABATAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI NGSOC merupakan sebuah framework yang dibangunkan untuk membolehkan sesebuah organisasi membangun dan menguruskan pusat operasi keselamatan (SOC) secara dalaman (in-house). Projek yang dibangunkan hasil kerjasama dengan pihak SysArmy Sdn. Bhd ini juga turut dianugerahkan Special Award of Association of Polish Inventors and Rationalizers dari Poland. Satu lagi kajian beliau bertajuk ‘Safecyber: System For The Safety of Financial Transaction and Users’ Against Online Fraud and Cybercrimes’ juga memenangi pingat gangsa. Satu lagi pingat emas pula diraih oleh Profesor Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah menerusi projek bertajuk ‘Efficient TIO2-SIO2 Hybrid Nanocoolant’. Penganjuran mendapat kerjasama pihak Korea Invention Promotion Association (KIPA), Korea Intellectual Property Organization (KIPO), World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventors Association (IFIA). Aktiviti Pelajar 12 sukarelawan MASKUM UMP curah bakti di bumi AcehOleh: RAHMAN AHMAD, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI Seramai 12 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) menjalankan aktiviti khidmat sosial dan menceriakan persekitaran rumah anak yatim dengan membina produk landskap kerusi dan meja simen ferro di Rumah Anak Yatim Mukanol Udubiyah, Aceh pada 5 Disember 2018 yang lalu. Mereka turut berkongsi pengalaman dengan bergotong-royong membuat keropok lekor untuk dihidangkan kepada penghuni di rumah anak yatim yang menempatkan seramai 50 orang penghuni. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada program Aceh Global Exploration anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) yang mendapat sokongan daripada pihak UMP Eco Pest Sdn. Bhd. dan Kenz Trans & Travel Sdn. Bhd. Menurut Pengarah Program, Siti Aishah Darmawanshah dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), sungguhpun persiapan telah dibuat sebelum program, namun mereka juga berdepan dengan cabaran terutamanya dalam mendapatkan bahan untuk binaan memandangkan bahan yang digunakan agak berbeza berbanding di Malaysia. “Cabaran ini memberikan kami peluang mempelajari perkara baharu termasuklah penggunaan pasir, batu-bata, kerangka yang digunakan di sini. “Namun kami berpuas hati apabila berjaya menyiapkan kerusi dan meja ini dalam tempoh dua hari sahaja dan dapat digunakan untuk anak-anak di sini. “Sukarelawan juga turut berpeluang bertemu dengan 40 orang penghuni di Rumah Anak Yatim Cinta Kasih,” katanya. Tambah beliau lagi, selain mengadakan program motivasi mereka juga menggembirakan anak-anak dengan aktiviti berkumpulan di samping menyumbang kipas dan alat pembasmi serangga Pest Killa untuk membantu penghuni di sini. Sementara itu, menurut Pengurus Besar, JHEPA, Abd Rahman Haji Safie yang merupakan penasihat program berkata, program ini dapat meningkatkan kemahiran dan mempraktikkan apa yang dipelajari dalam sesi pembelajaran serta meningkatkan kreativiti mahasiswa. “Mereka sendiri turun padang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan menyokong terhadap agenda UMP dalam memasyarakatkan teknologi. “Dalam pada itu, mereka turut berpeluang bertukar-tukar pengalaman dengan mahasiswa Universitas Syiah Kuala hasil kunjungan ke universiti itu,” katanya. Aktiviti Pelajar Teater 'Friendship' bawa penonton imbau kenangan zaman persekolahanOleh: NURIZZATI MD TUHIDIN, UNIT PUBLISITI DAN KEWARTAWANAN MEDIA MASSA UMP Pementasan teater bertajuk 'Friendship' mengangkat tema kisah persahabatan dan pertelingkahan di antara lima pelajar dalam kelas 5 Cempedak di Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan. Watak yang ditonjolkan berjaya membawa penonton untuk mengimbau kembali kenangan pada zaman persekolahan. Karya yang dipentaskan Kelab Waris Theatre pada 2 Disember 2018 yang lalu itu berkisarkan konflik yang terjadi antara pelajar 5 Cempedak dengan para guru, ditambah pula dengan kisah percintaan dan kisah lampau dua orang sahabat baik iaitu Pok Tam dan Bird yang mempunyai isu berbangkit telah menghidupkan lagi kemeriahan di kelas 5 Cempedak. Justeru, tidak hairanlah jualan tiket pada kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan warga UMP sendiri dengan lebih daripada 300 tiket berjaya dijual. Pengarah produksi 'Friendship', Mohamad Lokman Idris yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Asli (FKASA) berkata, para penonton pastinya tidak menyangka jangka masa latihan produksi hanyalah sekitar dua minggu sahaja. “Tempoh latihan yang singkat bukanlah penghalang bagi pasukan produksi 'Friendship' untuk menonjolkan sebagai sebuah karya yang hebat kerana mempunyai bakat besar yang dimiliki oleh para pelakon sendiri,” ujar beliau. Lebih dikenali sebagai Lo’i, 20, beliau sangat berbesar hati kerana diberikan kepercayaan dalam mengendalikan karya agung yang dihasilkan sendiri oleh Muhammad Fuad Ahmad Nasser yang merupakan seorang karyawan berpengalaman dan pernah mewakili negeri Pahang pada Festival Teater Malaysia baru-baru ini. Ditambah pula dengan tenaga produksi publisiti yang mantap, sememangnya sangat membantu karya ini agar menjadi bualan orang ramai. Menjadi seorang pengarah buat pertama kalinya ini, sememangnya mencabar dirinya seterusnya menjadi satu titik permulaan buat beliau untuk keluar dari kepompong zon selesa sebagai seorang pelakon dan belajar untuk menjadi pengarah yang baik setanding pengarah filem dalam industri seni di luar sana. Katanya, antara cabaran lain yang dihadapi dalam mengendalikan produksi ini juga ialah kekangan masa, tempat latihan yang terhad juga barisan pelakon baharu yang kehausan pengalaman dan tunjuk ajar. “Namun begitu, produksi yang bertulang belakangkan seramai 76 orang ini, dilihat sebagai satu sumber kekuatan buat pengarah sendiri untuk meneruskan perjuangan tersebut hingga ke akhir. “Teater sememangnya tidak mampu membuatkan kita kaya dengan harta benda, sebaliknya menjadikan kita kaya dengan ilmu dan juga pengalaman,” katanya. Dengan moto beliau, 'Teater Memanusiakan Manusia', kepuasan dalam menyertai teater ialah perasaan cinta, kasih dan sayang dapat dikongsikan bersama penonton. |
- 91 views