‘Pendidikan untuk Semua’ – Amanat Menteri Pendidikan 2019Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 dengan bertemakan ‘Pendidikan untuk Semua’ dalam majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dewan Besar, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 14 Januari 2019 yang lalu. Menurut Dr. Maszlee, dengan menyentuh cabaran mendepani pendidikan dalam menuju Wawasan 2020, kunci utama untuk menuju wawasan ini ialah melalui pendidikan dan bagi membentuk masyarakat bersatu padu, pendidikan adalah titik mulanya. “Kewibawaan pengajian tinggi juga akan dikembalikan, selain memberi penekanan terhadap golongan tercicir seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar miskin kerana mereka juga mempunyai hak sama dalam mendapat pendidikan. “Selari dengan visi kita iaitu untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi melalui peningkatan kualiti dan penekanan nilai sebagai teras pendidikan, kita telah menggariskan empat hala tuju khusus bagi Universiti Awam (UA) dan Pengajian Tinggi. “Empat hala tuju tersebut ialah kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan bertepatan dengan hala tuju kita iaitu ketinggian kualiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan,” katanya. Tambah beliau lagi, untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan ini, beberapa perubahan akan dijalankan, antaranya ialah para akademik perlu visible dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat yang mana program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara. “Selain itu, etika merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan. Etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarisme, pembulian akademik mesti dihentikan. Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan. “Penerbitan yang dihasilkan mestilah mencerminkan penguasaan para intelek terhadap bidangnya sekaligus menjadi rujukan sejagat di dalam bidang tersebut. “Dalam pada itu, kualiti geran-geran penyelidikan akan dipertingkatkan. Geran-geran yang akan dikeluarkan mestilah berbentuk: knowledge transfer, menggalakkan penterjemahan karya-karya besar dan mesti ke arah menyelesaikan masalah masyarakat dan negara yang bersifat semasa dan substantial,” ujar beliau. Menurut beliau lagi, bagi sistem promosi para pensyarah pula, kementerian akan mula bergerak ke arah penggunaan sistem yang memudahkan seperti sistem pusat data raya (big data) dengan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) yang akan memuatkan semua usaha dan sumbangan mereka sekali gus akan menentukan kelayakan kenaikan pangkat secara automatik. “Dengan menjadikan Perpustakaan sebagai gedung ilmu yang paling luas dan tidak berpenghujung, sistem perhubungan antara perpustakaan seluruh universiti juga akan ditambah baik dan akses-akses kepada penerbitan luar akan ditingkatkan,” katanya. Dr. Maszlee juga mensasarkan agar UA dan pengajian tinggi menjadi rujukan dan tumpuan global. “Proses pengantarabangsaan ini termasuklah dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai international education hub dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti. “Selain itu, kementerian juga akan menggalakkan penubuhan cawangan universiti asing di dalam universiti awam seperti projek MJIIT di UTM dan memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara. “Dalam usaha meningkatkan lagi autonomi di universiti, petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti akan dinilai semula dan memansuhkan KPI yang bersifat one-size-fits-all. Universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian,” katanya lagi. Tegas beliau lagi, pemerkasaan mahasiswa di institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah dan akan terus diberi penekanan. Antara usaha pertama adalah pemansuhan seksyen 15 (1) (c) yang mengekang penglibatan para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. “Dalam hala tuju yang ketiga iaitu kolaborasi, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi. Ini boleh dilakukan melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah-pensyarah baharu untuk mewujudkan lebih banyak schools of thoughts dalam bidang masing-masing. “Di samping itu, pihak universiti juga perlu berkolaborasi dengan pihak lain untuk mewujudkan endowmen dari institusi wakaf, zakat dan alumni. Gunakanlah peluang insentif cukai untuk aktifkan endowmen melalui alumni. “Begitu juga dengan usaha menggerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh usaha pengantarabangsaan (internationalisation) universiti. Karya-karya yang bermutu tinggi mesti dihasilkan dan diterjemah, proses penterjemahan mesti giat dijalankan, penjenamaan semula dan pemasaran mesti berjalan dengan lebih efektif di peringkat global,” katanya. Katanya, tidak terkecuali politeknik dan kolej komuniti juga tidak akan dipinggirkan daripada radar terutama dalam meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan. “Penjajaran di antara MTUN dengan politeknik juga telah diusahakan untuk memastikan peluang graduan politeknik untuk melanjutkan pelajaran lebih terjamin. Politeknik dan kolej komuniti juga telah membuka peluang bagi para pelajar lepasan tahfiz untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran untuk kerjaya hidup mereka,” ujar beliau. Dalam majlis yang sama, Dr. Maszlee juga turut merasmikan Buku Pelan Transformasi ICT KPM 2019-2023. Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Majlis turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan barisan pengurusan universiti. Pihak Kementerian dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga menyeru semua pihak untuk sama-sama menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu sekaligus menjadikan negara Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030. Artikel/Rencana Pilihan Sijil Perakuan Bomba jaminan keselamatan bangunan beroperasiOleh: Ts MOHAMMAD AFFENDY OMARDIN Bangunan selamat untuk diduduki merupakan jaminan agar penghuni berada dalam keadaan selamat bagi mengadakan sebarang aktiviti. Sijil Perakuan Bomba (FC) atau ‘fire certificate’ merupakan dokumen yang merupakan satu talian hayat bagi mengiktirafkan sesebuah bangunan selamat untuk didiami. Perakuan bomba ini merupakan nadi bagi bangunan. Ketiadaan FC bagi sesebuah bangunan mengundang risiko tinggi terhadap kebakaran. Keperluan ini perlu dipenuhi bagi bangunan-bangunan yang sering dikunjungi oleh orang ramai dan aktif beroperasi seperti hospital, bangunan pejabat, sekolah dan lain-lain. Selain itu, ketidakpatuhan pada peraturan yang termaktub di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 juga penyebab kegagalan memperoleh FC. Kebanyakan pemilik bangunan yang telah berusia tidak dapat menyediakan beberapa dokumen-dokumen utama iaitu pelan bangunan lengkap bagi menunjukkan keadaan semasa bangunan beroperasi. Selain itu, ketiadaan sistem keselamatan kebakaran dan kekurangan kemudahan penyelenggaraan yang baik antara penyebab kegagalan mendapatkan FC. Kegagalan pemilik bangunan menyediakan FC umpama menempah bom jangka yang mungkin meletus bila-bila masa. Bangunan yang tidak diselenggarakan dengan baik antara mengundang risiko-risiko musibah terhadap penghuni bangunan. Kerancakan pembangunan menjadikan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dilakukan tanpa merujuk pihak-pihak yang berkelayakan iaitu pihak berkuasa tempatan bagi meluluskan dokumen-dokumen pengubahsuaian. Persediaan untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba Pereka bentuk bangunan profesional seperti arkitek dan jurutera bangunan melakukan semakan bagi menilai reka bentuk dan struktur bangunan sebelum penyerahan bangunan dilakukan. Di samping itu, penelitian terhadap prosedur perlu dilakukan bagi memastikan bangunan berada di tahap yang terbaik sebelum diduduki dan beroperasi serta mengemas kini sistem pengurusan bangunan sedia ada bagi memastikan ianya ditahap yang terbaik. Perlaksanaan pengurusan risiko kemalangan dapat menganalisa sebarang kemungkinan masa depan operasi sesebuah bangunan. Dapatan kajian dan keberhasilan analisa dapat meramal ketidaklancaran dan membantu menambah baik sistem pengurusan sedia ada. Banyak musibah yang melibatkan kebakaran telah berlaku di beberapa bangunan awam. Ketiadaan sistem keselamatan kebakaran dan kegagalan melakukan penyelenggaraan kemudahan bangunan yang baik merupakan sebahagian penyebab utama. Kos yang tinggi bagi mengadakan peralatan keselamatan kebakaran dan melakukan aktiviti penyelenggaraan dijadikan alasan kesukaran bagi pemilik premis. Justeru, penyelenggaraan bangunan perlu dijadikan sebagai salah satu prosedur keselamatan bagi meningkatkan keupayaan bangunan beroperasi dalam keadaan yang terbaik. Langkah awalan iaitu menyediakan lukisan seperti dibina (ss built drawing). Dokumen ini merupakan sebuah lukisan yang dibuat apabila bangunan yang dibina telah siap berdasarkan kedudukannya yang sebenar di tapak bina. Lukisan ini dirujuk untuk mengenal pasti masalah atau kerja–kerja tambahan yang di perlukan pada sesuatu bangunan yang telah siap dibina berdasarkan keadaan sebenar bangunan yang telah dibina. Antara keperluan dalam FC perlu ditunjukkan iaitu jalan keluar, pintu keluar, dinding pengasing, tangga, koridor, dan dinding petak serta pepasangan keselamatan kebakaran. Rujukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu diadakan oleh pemilik bangunan sebagai sokongan bagi menyemak keperluan kebombaan. Pemerhatian terhadap bangunan-bangunan yang telah beroperasi hampir dan lebih 100 tahun perlu dipertingkat dan ditambah baik sistem pencegah kebakaran. Pentarafan bangunan juga perlu diadakan bagi melabelkan jaminan bangunan selamat untuk diduduki. Penguatkuasaan tahap keselamatan bangunan perlu juga dipertingkatkan bagi premis-premis yang tidak mematuhi syarat-syarat beroperasi. Kegagalan menyediakan FC sering kali kita menunding jari pada mana-mana pihak yang tidak mematuhi syarat-syarat menduduki bangunan. Jangan pejamkan mata dan menangis setelah berlakunya tragedi yang mana ianya berakar umbi dari kegagalan kita. Penulis ialah pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan UMP. |
- 78 views