Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

UMP ranking 101-150 dalam penarafan 50 universiti muda terbaik dunia 2019

BIL. 37  JUL 2019

Menganjak umur 17 tahun penubuhan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai buat pertama kalinya menduduki ranking dalam kelompok 101-150 dalam penarafan 50 universiti muda terbaik dunia 2019 yang disenarai dalam QS Top 50 under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia Quacquarelli Symonds (QS) pada 2 Julai 2019.

Berada di kelompok 101-150 bersama dengan rakan MTUN iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merupakan satu petunjuk bahawa Universiti Teknikal kini berada di landasan yang baik dan mampu menawarkan kualiti pendidikan, penyelidikan, khidmat komuniti dan penglibatan industri yang setanding dengan universiti ternama dunia. Tahniah! Warga UMP.


Jalinan Kerjasama

UMP, Kuantan Port jalin kerjasama dalam meningkatkan tadbir urus korporat

BIL. 37  JUL 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Kuantan Port (KP) bagi pelaksanaan kajian berkaitan dengan Integriti, Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan serta penawaran khidmat latihan dalam meningkatkan pengurusan tadbir urus korporat dengan lebih cekap. 

Ia akan membantu meningkatkan tanggungjawab pekerja kepada organisasi sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan operasi dan kerosakan reputasi. 

Dengan kepakaran penyelidik daripada Pusat Tadbir Urus & Integriti di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) pihak UMP bakal  berkongsi kepakaran dalam melatih kakitangan pengurusan di KP ini.

BIL. 37  JUL 2019

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff  dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Pengarah Eksekutif KP, Wong Soon Fah dan Pengurus Jabatan Trafik KP, Mohd. Mahayudin Mohd. Hashim pada 21 Jun 2019 yang lalu.

Hadir sama Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) merangkap Ketua Penyelidik, Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kecemerlangan pencapaian sesebuah organisasi mampu direalisasikan dan dilestarikan sekiranya isu-isu asas yang melibatkan tadbir urus, etika, integriti dan ketelusan ditangani dengan cekap dan berkesan oleh semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan.

“Pembudayaan dan pengalaman nilai integriti dan tadbir urus yang baik ini tidak terhad kepada sektor yang tertentu semata-mata kerana isu ini menyeluruh sifatnya yang menyentuh individu, masyarakat, negara, organisasi awam seperti UMP dan organisasi lain seperti KP.

BIL. 37  JUL 2019

“Kepelbagaian latar belakang akademik staf seperti pengurusan, perakaunan, kewangan, ekonomi, sains gunaan, undang-undang dan kejuruteraan yang dimiliki UMP merupakan satu kelebihan bagi membolehkan kajian interdisiplinari berkaitan tadbir urus dan integriti dapat dilaksanakan melalui kerjasama dengan KP ini,” katanya.

Kajian Penilaian Sistem Integriti Korporat yang dilaksanakan menggunakan rangka kerja Tanda Aras Etika dan Integriti Global yang dibangunkan oleh Joan Elise Dubinsky dan Alan Richter (2008/2009) meliputi 13 dimensi organisasi. 

Universiti turut menawarkan khidmat latihan berkaitan etika, integriti dan tadbir urus kepada kakitangan terpilih meliputi enam modul  termasuklah konsep etika dan integriti, pengurusan risiko dan Anti-Bribery Management System.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Hasnah berkata, menjadi kepentingan bagi sesebuah organisasi  untuk memahami tadbir urus yang betul kerana ia akan membantu organisasi dalam memacu pertumbuhan organisasi selain mengawal dan mencorak pengurusan yang berkesan.

Ujarnya, kedua-dua pihak percaya hasil kajian ini akan dapat memberi manfaat yang besar kepada KP dengan adanya pembangunan instrumen penilaian diri yang akan digunakan untuk mengukur dan menilai tahap integriti dan etika KP di tempat kerja.

Seramai 11 orang penyelidik UMP yang akan terlibat dalam menentukan tahap etika dan integriti kakitangan. 

Melalui program latihan ini, kakitangan pengurusan KP akan diberi taklimat, seminar serta soal jawab dan ujian. 

Penyelidikan ini akan mengambil masa tidak kurang daripada dua bulan manakala program latihan pula akan berlangsung selama enam hari dan mereka akan menerima sijil penyertaan apabila tamat latihan nanti.


Penyelidikan dan Inovasi

‘ErgoSpillBag’ beg khas tangani tumpahan bahan kimia dalam makmal

BIL. 37  JUL 2019

Oleh: MIMI NABILA MOHD NOORDIN, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN

Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan ‘ErgoSpillBag’ bagi membantu pengguna makmal untuk bertindak dengan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan tumpahan bahan kimia di dalam makmal. 

Beg ini mengandungi ‘Chemical Spill Kit’ dan mempunyai ciri-ciri yang lebih ringan, lebih kecil, ergonomik dan boleh digantung pada dinding di dalam makmal.
 
Menurut Pegawai Sains FTeK yang juga merupakan Ketua Kumpulan KIK, Ikram Safiee, kebiasaannya ‘Chemical Spill Kit’  yang kini digunakan di Makmal FTeK  diletakkan di dalam tong yang bersaiz besar yang beratnya melebihi 30 kg sekiranya mengandungi kit dan tong ini berada di dalam bilik yang berkunci serta berada jauh daripada makmal yang menggunakan bahan kimia.
 
“Susunan kit di dalam tong yang agak tidak sistematik juga menyukarkan pengguna makmal sekiranya berlaku sebarang kecemasan tumpahan bahan kimia. 

“Ini menyebabkan respons yang lambat daripada pengguna makmal untuk mengendalikan kerja-kerja pembersihan sekiranya berlaku tumpahan bahan kimia,” katanya. 
 
Justeru, pihaknya membangunkan satu produk ‘ErgoSpillBag’ yang direka mengikut spesifikasi ergonomik iaitu beg yang mempunyai roda, hanya seberat lebih kurang 7kg, mempunyai pemegang beg yang boleh laras, mempunyai ruang yang sistematik untuk setiap kit, reka bentuk luaran beg yang tidak memiliki sudut dan sisi tajam serta dilengkapi dengan penyangkut dinding agar boleh digantung di dalam makmal.
 
“Tumpahan bahan kimia adalah satu insiden kecemasan yang besar kemungkinan akan berlaku di mana-mana makmal yang mengendalikan bahan kimia. 

“Respons yang pantas daripada pengguna makmal untuk mengendalikan tumpahan tersebut amat diperlukan bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap kesihatan manusia,” katanya.
 
Manakala menurut Penyelaras Kumpulan, Mimi Nabila Mohd Noordin pula, projek ini telah dibangunkan atas inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan staf, pelajar dan sesiapa sahaja yang berada di dalam Makmal FTeK yang menggunakan bahan kimia. 

“Inisiatif ini selari dengan kehendak Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di fakulti serta sejajar dengan keperluan standard OHSAS 1800:2007.
 
“Beg ini juga memudahkan pengguna makmal mengendalikan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia dan meningkatkan kecekapan sistem ‘Emergency Response Plan’ di makmal FTeK.  

“Sekiranya berlaku tumpahan bahan kimia di makmal, staf perlu mengambil ‘ErgoSpillBag’ yang telah tersedia di makmal  dan menggunakan kit yang terdapat di dalam beg mengikut susunan nombor penggunaan berdasarkan kepada manual yang terdapat di dalam beg tersebut,” ujar beliau. 
 
Projek yang dibantu oleh Dr. Ezrin Hani Sukadarin, Joharizal  Johari, Hairunnisa Osman, Mohamad Hafizi Che Mat, Mohd Shamsul Azmi Samsudin dan Mohd Azlan Sayuti ini berjaya meraih Anugerah Emas semasa Mini Konvensyen Team Excellence MPC Peringkat Wilayah Timur pada 24 Jun 2019 yang lalu.  


Penyelidikan dan Inovasi

MHeLFAGV ciptaan penyelidik UMP bantu angkat bebanan lebih 50 kg

BIL. 37  JUL 2019

Prihatin terhadap permasalahan dalam industri mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan Mini Heavy Loaded Forklift Autonomous Guided Vehicle (MHeLFAGV) bagi menyelesaikan masalah untuk mengangkut penggulung besi yang beratnya antara 50 kg hingga 60 kg daripada stor kilang yang agak sempit ke bilik pemeriksaan dalam masa tidak lebih dari 20 minit.

Pada kebiasaannya industri tersebut menggunakan jentera forklift yang sesuai untuk mengangkat barang yang berat namun demikian  saiznya yang agak besar  tidak sesuai untuk mengangkat muatan di dalam stor yang mempunyai luas yang terhad dan sempit.      

BIL. 37  JUL 2019

Ketua Penyelidik yang merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Ir. Dr. Addie Irawan Hashim berkata, idea penghasilan produk bermula apabila pihak Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd (VAC) telah menjemput pihaknya  untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah mereka.

Justeru bermula perbincangan dan pembangunan MHeLFAGV mengikut kehendak industri. Penyelidikan bermula sejak 2014 bersama-bersama rakannya, Ir. Dr. Akhtar Razul dan idea ciptaan ini mendapat cetusan daripada Pengurus Besar, Vacuumschmelze (Malaysia) Sdn. Bhd., Mohd Arif  Zakaria  dan siap pada tahun lalu.

BIL. 37  JUL 2019

Bagi Ir. Dr. Addie yang merupakan anak kelahiran Pahang ini berkata, produk ini direka bentuk dengan mekanisma pick-and-swallow yang mana penggulung besi yang berat akan dimasukkan ke dalam mesin sebelum bergerak ke tempat yang hendak dituju untuk keseimbangan semasa bergerak.

“Ia satu kelainan berbanding jentera forklift standard yang berada di pasaran. Selain itu, dengan penggunaan tayar omni yang dinamakan mecanum wheel, membolehkan mesin ini bergerak pelbagai arah dan berpusing setempat tanpa mengambil jarak yang lebih terutama dalam mengambil pusingan untuk memasuki sesuatu lorong,” katanya.

BIL. 37  JUL 2019

Selain itu, MHeLFAGV ini juga mudah untuk bergerak di kawasan sempit dan kurang kebarangkalian untuk berlaku kemalangan seperti bergesel dengan dinding bersebelahan atau tersekat.

Beliau berharap pihak industri berpuas hati dengan hasil inovasi ini dan mampu memudahkan pekerja mereka bagi mengangkat penggulung besi di kawasan stor atau inventori di VAC, Pekan. 

Pada masa yang sama kedua-dua pihak merancang untuk mendapatkan dana bagi menambahbaik fungsi MHeLFAGV untuk lebih automatik. 

Ujarnya, pelan penambahbaikan adalah pada proses pengangkutan yang lebih cepat dengan sistem automatik yang berteraskan pemprosesan imej dan artificial intelligent termasuklah mekanisma mekanikal yang unik.

Dalam pada itu, reka bentuk robot ini dapat diperluaskan, ditambah baik dan dipasarkan untuk aplikasi-aplikasi pengangkutan lain yang sesuai dalam pelbagai versi.


Artikel/Rencana Pilihan

Keberkesanan Program Jangkauan STEM tarik minat pelajar terhadap pendidikan berasaskan Teknologi

BIL. 37  JUL 2019

Oleh: PROFESOR MADYA DR. NURUL HAZLINA NOORDIN
e-Mel: hazlina@ump.edu.my

Dunia kita pada hari ini adalah berasaskan teknologi dan maklumat. Kepesatan pembangunan teknologi dan maklumat ini memerlukan tenaga kerja berpengetahuan dan mahir khususnya dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Situasi ini dijangka akan terus meningkat pada tahun akan datang.

Untuk menjadi relevan dan kompetitif dalam pasaran kerja ini, graduan bukan sahaja perlu menguasai kemahiran khusus dalam bidang berkaitan STEM dan mempelajari ilmu pengetahuan baharu, mereka juga perlu menguasai kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreatif.

Cakna akan trend tersebut, sistem pendidikan di Malaysia tidak terkecuali dari memberikan penekanan ke atas kemahiran Pendidikan STEM dalam kurikulum khususnya di peringkat pendidikan sekolah menengah, seperti mana termaktub di dalam blueprint Pendidikan Malaysia. Kemahiran Pendidikan STEM ini diadaptasi secara formal, melalui subjek seperti Reka Bentuk Teknologi dan Asas Sains Komputer, serta galakan penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti kokurikulum melalui kelab Robotik dan kelab STEM.  

Pendedahan terhadap kemahiran STEM ini turut dijalankan melalui program jangkauan STEM (STEM Outreach Programs) oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta syarikat-syarikat berasaskan STEM, dengan penganjuran aktiviti yang mengaplikasi kemahiran STEM dalam dunia sebenar (real-environment experience) seperti reka bentuk sistem robotik, sistem telekomunikasi elektronik, perkampungan pelajar sekolah di universiti serta perkongsian pengalaman bekerjaya dalam dunia STEM.

Selain dari peningkatan jumlah pelajar yang menceburi aliran Sains, rata-rata motivasi utama inisiatif program pemerkasaan ini adalah untuk menarik minat pelajar sekolah ini untuk menceburi kerjaya bagi memenuhi tuntutan kerjaya yang menekankan aspek kemahiran STEM sepertimana yang dinyatakan. Oleh itu, aktiviti yang dijalankan melalui program pemerkasaan STEM ini kebiasanya melangkaui silibus formal pendidikan STEM semasa. Bagi memastikan pelajar dapat merasai pengalaman aplikasi konsep STEM dalam dunia sebenar, aktiviti jangkauan STEM ini memerlukan perincian kandungan yang secukupnya di samping pendekatan berfokus dalam perlaksanaannya.

Oleh kerana norma penglibatan pelajar sekolah adalah secara sukarela dalam perlaksanaan program jangkauan ini, peluang adalah lebih tinggi untuk mereka meneroka minat dan kebolehan dalam bidang STEM melalui dorongan motivasi intrinsik (intrinsic motivation). Berbeza dari ciri-ciri dorongan motivasi luaran (extrinsic motivation) yang kebiasaannya disandarkan pada kejayaan memperoleh gred cemerlang atau sasaran kemenangan dalam sesuatu pertandingan, motivasi intrinsik pula dipacu melalui kepuasan pelajar dalam meneroka dan mempelajari bidang ilmu tersebut. Kajian terdahulu menunjukkan pelajar dengan dorongan motivasi intriksik lebih cenderung untuk menceburi kerjaya dalam bidang STEM.

Terdapat beberapa faktor yang dititikberatkan dalam perlaksanaan sesuatu program jangkauan STEM ini, iaitu kaedah perlaksanaan aktiviti berstruktur dan tenaga pengajar (mentor) berpengetahuan dalam bidang pengkhususan STEM tersebut. Program jangkauan STEM yang dijalankan sebagai aktiviti ko-kurikulum ini kebiasaanya mengadaptasi format mentor-mentee yang mana ternaga pengajar (mentor) berperanan aktif dalam membimbing dan menyelia aktiviti berasaskan kemahiran STEM tersebut.

Dalam konteks ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberi galakan sepenuhnya kepada pensyarah, staf dan pelajar prasiswazah serta pascasiswazahnya terlibat sebagai mentor dalam program-program jangkauan STEM ini. Antara format yang kebiasaannya diguna pakai dalam perlaksanaan program jangkauan ini pula adalah seperti aktiviti hands-on, boot-camps, lawatan dan aktiviti di makmal-makmal universiti serta sesi perkongsian pengalaman oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia STEM.

Dalam mengukuhkan pendidikan STEM, UMP dengan kerjasama Motorola Solutions Foundation dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDeC) telah menubuhkan UMP STEM Lab yang telah memberi manfaat kepada lebih 2,500 murid dan 200 guru melalui modul  Computational Thinking, Arduino Programming, Open-Source Robotics, konsep pengaturcaraan mikro pengawal, sistem automasi robotik dan teknologi Internet of Things (IoT).

Penganjuran Kolokium Pendidikan STEM anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan UMP baru-baru ini juga merupakan satu daripada usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru dalam bidang STEM. Kolokium ini dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pihak industri berkonsepkan perkongsian pintar bertemakan ‘Curious Mind Inspires Discoveries’ atau minda ingin tahu inspirasi penemuan yang mencetus kepada imiginasi dan kreativiti yang menimbulkan persoalan apa, mengapa, bagaimana, di mana dan bila yang akhirnya membawa kepada penemuan.

Dunia hari ini dikelilingi dengan kemajuan teknologi yang ada hubung kait dengan ilmu STEM dan sifat ingin tahu ini mendorong seseorang untuk menguasai ilmu ini. Ianya penting bagi memastikan guru-guru mendapat pendedahan dan maklumat terkini tentang bidang STEM yang merupakan bidang yang menjadi tumpuan di seluruh dunia. Kolokium ini menyediakan platform bagi pertukaran ilmu atau maklumat penyelidikan dan kepentingan STEM dalam kalangan tenaga pengajar, pakar dalam industri serta IPT. 

Ia turut membolehkan kerjasama strategik antara KPM dengan agensi kerajaan serta bukan kerajaan dapat diperkukuh dan diperluaskan dalam memberi manfaat yang besar kepada guru dan murid di Malaysia. 

Kolokium ini juga dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran STEM melalui pendekatan PdP yang baharu dan pemantapan kurikulum, meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru dan meningkatkan kesedaran murid dan orang awam terhadap pendidikan dan kerjaya dalam bidang ini.

Keberhasilan yang diharapkan melalui penekanan kepada pendidikan STEM ialah murid yang boleh berfikir secara logik, mereka cipta, menggunakan teknologi dan menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif. Ini bagi menyediakan sumber tenaga kerja yang kompetitif bagi memacu kemajuan ekonomi negara.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Newsletter Image
BIL. 37  JUL 2019