Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Menghayati Maulidur Rasul

Menghayati Maulidur Rasul

Umat Islam perlu mengambil iktibar dan menghayati Maulidur Rasul serta perjuangan yang dilalui baginda Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. 

Menghayati Maulidur Rasul

Pengisahan keperibadian baginda Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan wajar diteladani dalam kehidupan seharian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, dengan pengorbanan baginda dan para sahabatlah kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

“Penganjuran Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar satu upacara tahunan semata-mata, namun sebagai manifestasi kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW terutamanya dalam konteks kepimpinan.

Menghayati Maulidur Rasul

“Dalam konteks perkhidmatan pula, kita sebagai staf atau mahasiswa ternyata banyak pengajaran dan nilai rahmat yang boleh diambil daripada sirah Rasullullah SAW untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita sehari-hari,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Peringkat UMP oada 11 Disember 2019 yang lalu. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Mahyuddin Ismail.

Menghayati Maulidur Rasul

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H peringkat UMP tahun ini yang bertemakan 'Negara Rahmat, Ummah Sejahtera' dihadiri lebih 500 warga UMP yang  menyertai perarakan melibatkan sebanyak 21 kontinjen di Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan.

Majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas dari Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIP, Ustaz Muhammad Amin Abd Mutalib dengan tajuk Mencintai Rasulullah Hingga ke Syurga  dan persembahan Qasidah dari Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al-Mustafa, Sungai Karang Kuantan.


Info Sekitar Kampus

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pengiktirafan One Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 13 Disember 2019 yang lalu. 

Kejayaan itu menjadikan UMP sebagai universiti pertama di negara ini menerima pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi yang berjaya membuktikan kemampuan dalam melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Inisiatif 'amalan hijau' dalam kalangan masyarakat Malaysia amat digalakkan terutamanya melalui pelaksanaan 'kecekapan tenaga' dalam mengurangkan peningkatan penggunaan tenaga. 

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

‘Kecekapan tenaga' adalah matlamat penggunaan tenaga secara berkesan dan optimum, sekali gus dapat mengurangkan pembaziran.

Antara amalan 'kecekapan tenaga' yang boleh dilaksanakan ialah menukarkan peralatan elektrik kurang cekap kepada cekap tenaga, mengurangkan bebanan ke atas peralatan mekanikal kerana ia memerlukan tenaga lebih untuk berfungsi, menaik taraf sistem bumbung dan penebat haba bangunan, memiliki sistem saluran keluar masuk udara baik, dan menggunakan sistem kawalan jimat-tenaga untuk semua peralatan elektrik.

Ketua Kumpulan Energy Focus Group UMP, Profesor Ir. Dr. Hassan Ibrahim berkata, kecekapan tenaga kerap dikaitkan dengan penggunaan tenaga minimum dalam menyempurnakan kerja tertentu serta dapat meningkatkan peluang penjimatan dan mengelak pembaziran. 

“Dengan mengaplikasikan konsep penjimatan tenaga, ia melibatkan tiga kategori iaitu penjimatan tenaga dengan tiada kos, kos rendah dan kos tinggi.

“Sehingga kini, UMP hanya mengaplikasikan penjimatan tenaga melalui konsep tiada kos dan kos rendah. 

“UMP berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 7.89 peratus bersamaan 883.87 tan matrix karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 1,273,585 kWh di UMP Kampus Pekan. 

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

“Ia adalah hasil kesedaran warga kampus dalam menjimatkan penggunaan tenaga di dalam kampus selain memupuk sikap dan disiplin warga tentang kepentingan kelestarian tenaga,” katanya.

Dalam memastikan kelestarian tenaga, Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus diwujudkan di bawah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) bagi memastikan pengurusan tenaga di UMP dapat diuruskan secara lestari selari dengan hasrat universiti. 

Intiatif lain yang turut diaplikasikan di UMP adalah dengan pemasangan Building Automation System (BAS), penukaran lampu kepada lampu jenis jimat tenaga, pemasangan sensor di setiap tandas, pemasangan pemasa di setiap laluan susur gajah, pemasangan ‘master switch’ di bangunan-bangunan besar dan juga pemasangan solar di bangunan pentadbiran UMP.

UMP terima pengiktirafan SEDA bagi Kecekapan Tenaga

UMP turut mengambil initiatif dalam pengurusan tenaga melalui penetapan suhu penghawa  dingin  kepada 24 Celcius, dan penetapan suhu ini membolehkan penggunaan tenaga lebih jimat tanpa menjejaskan keselesaan pengguna. 

Universiti telah memulakan inisiatif pengurusan dan penjimatan tenaga sejak tahun 2012 dan sehingga kini sebanyak 25 inisiatif Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dilaksanakan bagi mengurangkan penghasilan karbon dioksida di kampus UMP Pekan.

Usaha ini turut menyumbang terhadap pencapaian universiti dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2019 yang diterbitkan baru-baru ini apabila UMP disenaraikan pada kedudukan ke-76 terbaik dunia berdasarkan usaha melestarikan kampus dan pengurusan alam sekitar berdasarkan  enam kriteria utama iaitu Infrastruktur Setting and Infrastructure, Energy and Climate Change, Waste, Water, Transportation dan Education.


Info Sekitar Kampus

Delegasi UNITEN berkunjung ke UMP

VOL.57 DEC 2019

Oleh: SHALFARINA SHAHRIMAN DAN MUHAMMAD AZLI SHUKRI, PENERBIT UMP. 

Seramai 22 kakitangan Perpustakaan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hadir membuat lawatan ke Perpustakaan dan Penerbit UMP pada 6 Disember 2019 yang lalu.

VOL.57 DEC 2019

Delegasi UNITEN itu diketuai oleh Ketua Unit e-Resources, Pusat Sumber Informasi UNITEN Mohd. Yazid Muji dan disambut oleh Pemangku Ketua Pustakawan, Dzull Zabarrod Ahmad dan Pengarah Penerbit UMP, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor.
 
Mohd. Yazid berkata, kunjungan mereka kali ini adalah untuk mendapatkan idea-idea dan inovasi baharu bagi meningkatkan tahap penyediaan perkhidmatan, kemudahan, pembangunan dan transformasi di Perpustakaan UMP.

VOL.57 DEC 2019

"Pihak kami sedang merancang untuk mewujudkan penerbitan universiti dan oleh kerana itu, perlunya lawatan ini bagi mendapatkan maklumat dan pandangan dari UMP. 
 
"Kehadiran kami ini adalah untuk mendapatkan  gambaran atau input dan melihat sendiri proses-proses yang diperlukan bagi menguruskan penerbitan universiti di Perpustakaan UMP dan alhamdulillah matlamat kami tercapai,” katanya.
 
Delegasi tersebut mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mendengar penerangan daripada pihak Perpustakaan dan Penerbit UMP.


Info Sekitar Kampus

36 pelajar lepasan SPM teruja berada di Kampus UMP

36 pelajar lepasan SPM teruja berada di Kampus UMP

Oleh: MOHAMAD HAKIMI KAMARUDDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

Seramai 36 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama lima orang guru pengiring  dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2, Gua Musang memanfaatkan cuti sekolah dengan merasai sendiri pengalaman kampus semasa berkunjung ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 3 Disember 219 yang lalu.

Program dua hari dan bermalam di dalam kampus itu memberikan suntikan semangat untuk mereka mencipta kejayaan dan melangkah ke menara gading.

36 pelajar lepasan SPM teruja berada di Kampus UMP

Menurut Pengetua SMK Chiku 2, Zainuddin Yusof, tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar sebagai persediaan awal memilih Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bersesuaian dengan keputusan yang bakal diperoleh kelak. 

“Saya mahu semua pelajar lepasan SPM ini dapat membuat pilihan terbaik dan ia mestilah bertepatan dengan syarat kelayakan dan minat dalam sesuatu bidang yang akan diceburi. 

“Lebih bermakna pelajar berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di UMP, antaranya mesin dan teknologi yang terdapat di makmal fakulti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

36 pelajar lepasan SPM teruja berada di Kampus UMP

“UMP amat dekat dengan pelajar di sekolah ini apabila beberapa program motivasi telah dijalankan bersama dengan mahasiswa UMP terutama melibatkan  Kelab InSmartive UMP,” katanya.  

Menurut Rabiatul Asyikin Mohd Zaki, 17, yang mengikuti program tersebut, kami pelajar berpeluang menambahkan ilmu pengetahuan supaya dapat merancang masa depan mereka dengan lebih berani dan membuat keputusan yang bijak memilih program yang sesuai dengan kelayakan mereka. 

“Saya rasa seronok sebab bukan senang masuk kampus dan tinggal di dalam Kolej Kediaman. 

“Pengalaman selama dua hari di UMP sangat bermakna buat kami dan semoga jalinan kerjasama yang terjalin antara pihak sekolah dan UMP dapat diteruskan,” katanya.

Tambah beliau lagi, Perpustakaan UMP sangat menarik dan ia bukan sahaja menjadi tempat untuk meminjam  buku dan mencari bahan rujukan malahan para pelajar boleh menjadikan Perpustakaan sebagai salah satu tempat untuk pengurusan dan pembangunan kendiri pelajar setelah seharian penat belajar. 

36 pelajar lepasan SPM teruja berada di Kampus UMP

Mereka juga turut berpeluang melawat kemudahan-kemudahan yang terdapat di Perpustakaan seperti bilik Karaoke, permainan secara maya (VR) melalui playstation 4, XBOX, menonton tayangan dan pelbagai permainan yang berteknologi tinggi dengan perisian terkini.

Di samping itu, para pelajar juga mengikuti program motivasi yang mendapat kerjasama daripada mahasiswa UMP daripada Kelab InSmartive. 

Dua modul baharu diperkenalkan dalam slot motivasi iaitu modul Growth Mindset Challenge dan modul Whell of Fortune. 

Kandungan modul direka bentuk berdasarkan enam aspirasi pelajar menurut Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Kemahiran Kepimpinan, Kemahiran Berfikir, Etika dan Kerohanian, Identiti Nasional, Pengetahuan dan Profisiensi Dwibahasa.

Keterujaan para pelajar yang mengikuti lawatan singkat ke UMP ini menjadi pemangkin semangat mereka untuk mendapatkan tempat bagi melanjutkan pengajian di IPT.


Terbitan Terkini

Buku `Wonders of Oud' rungkai keunikan  pokok gaharu

Buku `Wonders of Oud' rungkai keunikan  pokok gaharu

Oleh: SHALFARINA SHAHRIMAN, PENERBIT UMP  

Keunikan pokok Gaharu atau dalam bahasa Inggerisnya Oud adalah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. 

Kegunaan Gaharu dalam pelbagai bidang terutamanya sebagai sumber minyak wangi, kosmetik, perubatan tradisional, minuman, seni bina dan lain-lain lagi merungkai misteri alam yang terdapat di negara kita.

UMP menerbitkan sebuah buku bertajuk Wonders of Oud yang memperihalkan aspek kajian saintifik mengenai Gaharu dan peluang perniagaan yang mampu diperoleh. Buku ini menyediakan sebanyak lima bab yang dibincangkan mengenai rahsia Gaharu.

Bab pertama adalah mengenai minyak yang terdapat di dalam pokok Gaharu yang merupakan bahan utama dalam pembuatan minyak wangi. Ia banyak digunakan di negara Timur Tengah dan mula mendapat tempat di negara Barat sehingga diangkat menjadi minyak wangi abad ke-21.

Bab kedua pula membincangkan kegunaan Gaharu dalam bidang kecantikan dan penjagaan diri. Walau bagaimanapun, kegunaan Gaharu dalam bidang ini masih lagi dalam penyelidikan berbanding kegunaannya di dalam industri minyak wangi.

Buku `Wonders of Oud' rungkai keunikan  pokok gaharu

Pada bab ketiga pula, pembaca akan didedahkan dengan Gaharu dalam bidang perawatan tradisional. Sejak zaman dahulu kala, Gaharu dikatakan dapat mengubati pelbagai penyakit. Bab ini juga menerangkan potensi dan nilai semasa Gaharu dalam industri farmaseutikal.

Selain itu, kegunaan daun Gaharu untuk membuat teh turut dibincangkan dalam bab empat buku ini. Bab ini juga mendedahkan permintaan daun Gaharu di pelbagai negara meningkat dan kajian yang dilakukan samada daun Gaharu digunakan sebagai perawatan tradisional adalah mitos atau bukti saintifik.

Di akhir bab ini, rumusan mengenai keempat-empat bab ini dirangkumkan dan persoalan mengenai rahsia Gaharu terjawab. 

Oleh yang demikian, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu sedar akan kepentingan memelihara khazanah alam untuk masa depan sejagat. 

Maklumat lanjut tentang penerbitan buku UMP layari http://apps-cfm.ump.edu.my/staff/ebooksump/index.cfm.

Tajuk: Wonders of Oud
Penulis: Puteri Fadzline Muhamad Tamyez, Norul Amalina Sabri, Fazeeda Mohamad dan Cheng Jack Kie
ISBN: 9789672229321
Muka Surat: 92
Tahun: 2019


Sukan dan Rekreasi

555 atlet berkampung di Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0

555 atlet berkampung di Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0

Oleh: AL-MUHAIMIN ALI, PUSAT SUKAN DAN KEBUDAYAAN
Foto oleh: NOOR ATIKAH NIK MAT, MOHAMMAD FAIZ AZIZI KHAIRIL DAN NUR ALI RAZALI

Seramai 555 orang atlet dan pegawai berkampung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) membabitkan penyertaan pasukan daripada enam negara iaitu Malaysia, India, Singapura, Turki, Brunei dan Perancis yang mengambil bahagian dalam kejohanan UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0 pada 15 Disember 2019 yang lalu. 
 
Kejohanan itu adalah anjuran  Pusat Sukan dan Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Kelab Memanah UMP dengan kerjasama Excella Archery Distribution Sdn. Bhd. (Excella Archery Proshop) yang berpangkalan di Melaka.

555 atlet berkampung di Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Kanan UMP yang juga merangkap penasihat dan pengerusi kejohanan berkata, hadiah kejohanan yang ditaja oleh pihak Excella Archery Proshop berjumlah lebih daripada RM30,000.
 
“Buat pertama kalinya, penganjuran ini berjaya menarik minat pasukan luar negara untuk bertanding. 

“Pada kali ini, menyaksikan penyertaan tiga pasukan dari negara India, empat pasukan dari Singapura, satu pasukan dari Turki, satu pasukan dari Perancis dan satu pasukan dari Brunei.
 
“Kami mengharapkan kejohanan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan kewangan daripada pihak UMP dan penaja dalam memastikan kejohanan sukan antarabangsa seperti ini  diteruskan dan dapat menarik lebih ramai peserta luar negara,” katanya. 

555 atlet berkampung di Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0

Tambah beliau lagi, ia juga secara tidak langsung akan dapat menaikkan nama UMP melalui penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dalam menjenamakan UMP di persada antarabangsa.
 
Manakala menurut Mohamad Ikhmal Idham Ali Yasak yang merupakan Pengarah Kejohanan dari Kelab Memanah UMP, kejayaan penganjuran kejohanan banyak dibantu oleh 100 mahasiswa UMP sebagai sukarelawan dan teknikal kejohanan. 

“Mereka yang terlibat adalah atlet Memanah UMP, ahli Kelab Memanah UMP, Majlis Sukan Pelajar UMP dan mahasiswa yang mengikuti Kokurikulum Archery UQS2081-1G yang bertindak sebagai nadi penggerak kepada kejayaan penganjuran kejohanan,” katanya. 
 
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

555 atlet berkampung di Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0

Hadir sama Pengarah Excella Archery Distribution Sdn. Bhd., Michael Song dan Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Mohd Aznorizamin Ismail. Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) menjuarai kemenangan dengan memenangi enam emas dan satu gangsa, manakala tempat kedua keseluruhan dikongsi oleh tiga pasukan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), HAFA Archery (HAFA) dan Putrajaya Archery Team (PAT) dengan dua emas. 

Pasukan UMP yang disertai seramai 14 orang pemanah telah berjaya memenangi dua pingat gangsa melalui Fadhli Ashraff Ab Rahim dalam acara Compound Men.

Newsletter Image
BIL. 58 DIS 2019