Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Pelindung Muka D.I.Y buat petugas barisan hadapan

BIL. 71 MAC 2020

Menyedari kelengkapan seperti alat pelindung muka (face shield) yang semakin berkurangan dan kepentingan alat pelindung muka buat petugas perubatan yang sedang berkhidmat di hospital yang merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara telah memberikan inspirasi kepada ramai pihak untuk menghasilkan pelindung muka D.I.Y dengan menggunakan bahan yang mudah diperoleh dan boleh disiapkan dalam kadar segera.

Justeru, sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) tampil menghulurkan tangan menyiapkan pelindung muka pakai buang (D.I.Y) untuk digunakan oleh para petugas barisan hadapan sejak beberapa hari lalu.  

BIL. 71 MAC 2020

Menurut Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Muhammad Sirri Ammar Ramzan, dalam keadaan yang agak terhad ini keperluan pelindung muka amat penting buat petugas barisan hadapan ini bagi mengelakkan diri dari terdedah kepada risiko secara langsung yang boleh mengancam nyawa akibat jangkitan virus Covid-19 ini.

“Pihaknya menghargai komitmen mahasiswa dan kerjasama UMP dalam menjayakan usaha ini. 

“Setakat dua hari ini, sebanyak 500 pelindung muka berjaya dihasilkan dan pihaknya akan menyelaras agihan ke setiap pejabat kesihatan, klinik dan hospital mengikut keperluan segera.

BIL. 71 MAC 2020

“Bagi setiap sesi hanya dihadkan kepada 20 sukarelawan sahaja dan sebagai menjamin tahap kebersihan, setiap sukarelawan perlu disaring dan diberikan taklimat penjagaan kesihatan oleh pegawai perubatan yang bertugas serta mematuhi jarak sosial satu meter semasa proses menyiapkan alat pelindung muka ini,” ujarnya yang hadir di UMP Kampus Gambang pada 28 Mac 2020 yang lalu. 

Dengan sasaran sebanyak 6,000 pelindung muka untuk dihasilkan, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama pihak NGO dan institusi pendidikan tinggi untuk sama-sama menjayakan usaha ini.  

Sementara itu, bagi mahasiswa UMP, Nursyazwani Zainurin,22 yang tinggal di kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berbangga apabila dapat bersama-sama menyumbang sesuatu kepada petugas kesihatan selain memanfaatkan masa yang terluang di kampus.   

BIL. 71 MAC 2020

Dalam pada itu juga, sekumpulan pensyarah daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan Automotif (FTKMA) turut menyumbang dengan menghasilkan sebanyak 200 pelindung muka D.I.Y bagi membantu petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Hospital Pekan.   

Pelindung muka yang dihasilkan ini berkemampuan menghalang titisan atau hembusan air (liquid) di antara pesakit dan pengendali kerana ia bersifat kalis air.

Ia sesuai digunakan di klinik atau hospital yang memerlukan pengendalian direct antara pesakit dan pengendali bagi mengelakkan rembesan air (liquid) ke muka pengendali.


Akademik dan Antarabangsa

CIReL tawar program latihan tingkat pembelajaran dan pengajaran atas talian

BIL. 71 MAC 2020

Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program latihan pengajaran secara e-Pembelajaran Online Education Training  kepada pensyarah universiti bagi menyediakan platform Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di atas talian  yang lebih baik.

Menurut Pengarah CIReL, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, pihaknya mengadakan program secara maya melalui aplikasi Zoom yang dikendalikan oleh penceramah yang dilantik mengikut kepada bidang kepakaran masing-masing.

BIL. 71 MAC 2020

“Pensyarah perlu memilih pembelajaran alam maya sebagai alternatif kepada mod pembelajaran bersemuka bersama pelajar walaupun ia dilihat sedikit mencabar dan agak terhad. 

“Selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan pada hari ini kaedah ini dapat menarik minat pelajar terhadap pembelajaran secara maya.

“Walaupun dengan keterbatasan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini, ia bukanlah menjadi satu alasan kepada kita  untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti yang bermanfaat terutamanya warga universiti,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan kecanggihan teknologi pendidikan pada hari ini, banyak peluang dan pendekatan yang boleh diterokai dalam  aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan ketika inilah masa yang paling sesuai untuk warga universiti memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran di atas talian.

BIL. 71 MAC 2020

Beliau turut menyarankan agar semua warga UMP  mengambil peluang dalam pengunaan kaedah e-Pembelajaran bagi P&P ini dengan sebaik mungkin. 

Seramai tujuh orang pensyarah yang terlibat dalam mengendalikan sesi latihan ini antaranya iaitu pensyarah Fakulti Komputeran yang terdiri daripada Ts Azman Abdullah, Ts Dr. Awanis Rosli dan Dr. Mohd Zamri Osman. 

Manakala  dari Pusat Bahasa Moden ialah Dr. Azwin Arif Abdul Rahim dan Muhammad Shafeirul Zaman Abdul Majid. 

Turut serta Dr. Muhammad Azrin Ahmad dari Pusat Sains Matematik dan Dr. Gan Leng Ming dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan Automotif (FTKMA).

Selain itu, terdapat dua sesi kursus yang dibuka bukan sahaja kepada warga UMP malah kepada masyarakat luar. 

BIL. 71 MAC 2020

Sebagai contoh, program Conducting Teaching and Learning: iPad dan Loom and Microsoft Stream (Interactive Video) sesuai untuk disertai oleh pihak luar yang berminat.

Manakala  menurut pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Airin Abdul Ghani, beliau telah mengikuti  dua   sesi  latihan itu menganggap ia amat membantu dalam pengajaran secara e-Learning. 

Menerusi latihan ini beliau dapat meneroka ilmu baharu dalam bahan pembelajaran secara e-Learning termasuk yang mempunyai ciri-ciri multimedia seperti audio dan video. 

“Dengan pelbagai inovasi dalam dunia pendidikan kini berpotensi memacu pemikiran pengajaran secara kreatif,” katanya. 

Sepanjang sesi latihan dua hari lalu menyaksikan lebih 500 peserta yang telah mengikuti beberapa sesi latihan yang telah dijalankan. 

Pendaftaran awal boleh dibuat melalui https://forms.gle/sBoscWGZh3eQm7Lq5.


Penyelidikan dan Inovasi

Pengguna perlu bijak pilih cecair pembunuh kuman

BIL. 71 MAC 2020

Ekoran penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, barangan seperti cecair pembunuh kuman (sanitizer), topeng, pelindung muka dan pakaian keselamatan menjadi tumpuan dan sukar mendapatkannya di pasaran. 

Malahan ramai yang mengambil inisiatif menghasilkannya sendiri termasuklah cecair pembasmi kuman D.I.Y (buatan sendiri) sebagai alternatif bagi menangani penularan wabak ini.

Menurut penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menghasilkan cecair itu sesuka hati tanpa merujuk kepada mereka yang berpengetahuan dalam bidang Sains.

BIL. 71 MAC 2020

“Berhati-hati sekiranya menggunakan bahan kimia seperti isopropil alkohol yang mudah terbakar serta boleh mengundang perkara buruk seperti kebakaran dan membahayakan diri. 

“Ujian perencatan terhadap microb juga perlu dilakukan dalam memastikan tahap selamat digunakan tanpa kesan sampingan lain. 

“Namun, apa yang paling utama adalah produk tersebut mampu membunuh kuman,” ujar beliau.

Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah juga berkongsi pengalamannya selama lebih 12  tahun dalam penghasilan produk cecair pembasmi kuman yang dinamakan Germs Free Hand Sanitizer yang dtambah dengan ekstrak daun sirih bagi merencatkan pembiakan kuman. 

“Produk ini turut mengandungi Aloe Vera dan Vitamin E yang sesuai untuk kulit.   

“Produk ini berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada di pasaran kerana ia dapat mengelakkan masalah kulit merengsa berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya daripada petroleum. 

“Pada masa ini, produk ini terdapat dalam bentuk cecair dan gel,” katanya.  

Beliau berkata, inovasi ini telah diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan produk itu selamat digunakan.

Selain itu, ia digunakan secara dalaman di UMP dan di beberapa syarikat, farmasi dan hospital di bandar ini.

“Setakat ini, produk ini tidak memberikan sebarang kesan negatif dan ramai memberikan maklum balas positif antaranya kulit pemakai lembap apabila digunakan dan tidak merengsa seperti produk lain,” ujarnya.

BIL. 71 MAC 2020

Ketika ini, pihaknya juga melakukan penyelidikan lanjutan dengan mempelbagaikan aroma semula jadi seperti lemon. 

“Malahan ada juga permintaan supaya ia tidak dicampur bersama aroma lain khususnya bagi kegunaan jemaah haji atau mereka yang menunaikan ibadah umrah.

“Produk ini juga telah diuji terhadap bakteria dan virus (inhibit germs) dengan formula baharu kandungan alkohol optimum sehingga 75 peratus namun, ia tidak merengsakan kulit dan selamat digunakan.  

“Produk ini dihasilkan di dalam makmal UMP yang mempunyai persijilan MS ISO 13485:2016 dan memenuhi kualiti standard antarabangsa,” katanya. 

Pihaknya juga dalam proses mendapatkan sijil halal bagi cecair pembunuh kuman ini dan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk perakuan pengurusan amalan terbaik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).    

Berdepan dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya juga menemui banyak kekangan dalam menghasilkan pengeluaran produk ini yang mendapat permintaan lebih sepuluh kali ganda berbanding sebelum ini. 

Antara cabarannya kini adalah harga bahan mentah iaitu alkohol yang meningkat sebanyak 50 peratus serta sukar diperoleh.

Begitu juga harga botol turut meningkat sebanyak 150 peratus dan sukar mendapatkan botol termasuk pam yang digunakan untuk disambungkan ke botol pada masa ini rentetan daripada penutupan operasi kilang akibat penularan wabak COVID-19.

Beroperasi di bawah UMP Renal Care Sdn. Bhd. iaitu syarikat di bawah UMP Holdings Sdn. Bhd, kini pihaknya mampu menghasilkan sebanyak 1,000 botol sehari atau 300 liter dengan pelbagai saiz iaitu 30 ml, 50 ml, 100 ml, 500 ml dan 2 liter. 

Syarikat ini juga kini mengeluarkan produk disinfektan tahap tinggi (high level disinfectant) yang berasaskan cuka makanan dalam pasaran akan datang.


Info Sekitar Kampus

Kaunselor UMP beri sokongan psikologi urus kerisauan

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, PEJABAT NAIB CANSELOR 

BIL. 71 MAC 2020

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri mulai 18 Mac sehingga dilanjutkan 14 April depan pastinya menimbulkan kerisauan bukan sahaja terhadap ancaman penularan wabak Covid-19 malahan kesan PKP yang secara tidak langsung mengubah rutin kehidupan seharian termasuklah pelaksanaan dasar bekerja dari rumah.

Pegawai Psikologi Kanan, Hajah Paridah Mohd Ali yang juga Ketua Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni berkata, cabaran terbesar bagi kaunselor di universiti adalah untuk menangani permasalahan pelajar yang ingin mendapatkan sesi kaunseling. 

“Meskipun mereka berada di Kolej Kediaman atau di kampung halaman, para kaunselor sentiasa bersedia membantu memberikan khidmat kaunseling.
 
“Dalam situasi PKP ketika ini, kaedah berbeza diambil berbanding pendekatan bersemuka yang dipraktikkan sebelum ini. 

“Maka sepanjang tempoh PKP ini, para kaunselor memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial dan mesej segera seperti WhatsApp serta komunikasi video Skype dalam membantu menguruskan permasalahan pelajar yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.
 
Sebelum ini juga, ujar beliau, khidmat kaunseling turut dibuat secara atas talian namun pada kali ini ianya dipraktikkan sepenuhnya sepanjang tempoh PKP ini. 

“Pelajar juga boleh menggunakan sistem e-Kaunseling di laman portal UMP yang mana para pelajar boleh membuat temu janji bersama kaunselor bagi mengajukan sebarang pertanyaan atau permasalahan.

“Antara khidmat kaunseling yang acap kali diajukan pelajar sepanjang PKP ini adalah  berkaitan akademik, rindu keluarga di kampung dan kerisauan takut dijangkiti. 

BIL. 71 MAC 2020

“Pihaknya sentiasa memberi nasihat dan sokongan buat pelajar agar sentiasa tenang, positif dan mendapatkan informasi yang tepat,” ujar beliau. 
 
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengalaman bekerja dari rumah, beliau berpendapat ia mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri seperti masa fleksibel dan pengurusan antara rumah dengan pejabat yang lebih seimbang. 

“Namun, terdapat juga kekangan seperti ketiadaan sumber fizikal seperti ruang kerja yang terhad, tiada alat bantuan kaunseling serta mewujudkan sempadan fizikal semasa menguruskan keluarga dan bekerja di rumah. 

“Dalam masa yang sama kita juga perlu membahagikan masa untuk urusan di rumah seperti mengemas rumah, memasak, menguruskan anak dan keluarga serta tugasan di pejabat. 

“Namun sesi kaunseling dan mesyuarat yang telah diatur masih dapat terus dilaksanakan melalui sistem pengurusan masa yang fleksibel,” ujar beliau. 
 
Para pelajar juga boleh menghubungi semua kaunselor yang berada di kedua-dua kampus UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang yang sentiasa bersedia membantu bersesuaian dengan tagline Bahagian Kaunseling dan Psikologi UMP, Here To Hear. Para pelajar boleh menghubungi Puan Hajah Paridah Mohd Ali (019-9153440), Puan Fara Hazlini Mohd Som (019-9819094),  Puan Nur Azila Osman (013-4689721) atau Puan Siti Norni Mohd Daud (013-9621886). 

Manakala staf UMP juga boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui Unit Perundingan dan Bantuan Staf (EAP) dengan menghubungi Ketua Unit EAP, Dr. Fatmawati Latada (019-2286379) atau Pegawai Psikologi UMP, Nur Atiqah Mohd. Nor (013-719 0983). 

Warga UMP juga dinasihatkan agar terus kekal tenang dan kekal berada di rumah atau di kampus serta memastikan keadaan kesihatan mental sentiasa stabil sepanjang tempoh PKP ini. 

Semoga wabak ini akan segera pulih agar kita dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa. 


Info Sekitar Kampus

Mahasiswa kekal berada di dalam kampus harungi PKP

BIL. 71 MAC 2020

Oleh: MOHAMAD HAKIMI KAMARUDIN, PEJABAT NAIB CANSELOR

Sejak hari pertama arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga dilanjutkan kepada 14 April depan pastinya memberikan pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat terutamanya buat para pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tinggal di dalam kampus. 

Walaupun tidak dapat pulang ke kampung dan terpaksa sentiasa berada di dalam kampus ia tidak menghalang pelajar UMP untuk mencari alternatif bagi mengisi masa terluang.

BIL. 71 MAC 2020

Menurut pelajar tahun 3 dari Fakulti Pengurusan Industri, Risman Kusaini, ramai pelajar yang gemar beriadah namun dalam keadaan sekarang dan dalam tempoh PKP ini para pelajar tidak dapat melakukan aktiviti atau rutin harian mereka seperti biasa. 

“Namun, ia bukan penghalang buat mereka untuk terus melakukan aktiviti sihat dan memastikan tahap kesihatan terjaga.
 
“Bagi mengekalkan tahap kesihatan yang berterusan dan kekal aktif, para pelajar masih boleh melakukan aktiviti secara minimum sama ada melalui senaman, regangan atau aktiviti fizikal seperti push ups dan Ab lounge yang menggunakan pelbagai otot tanpa peralatan khusus sekali gus dapat membantu melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot.
 
“Aktiviti ini tidak melibatkan sentuhan dan boleh dilakukan secara persendirian dan sangat sesuai diadakan di mana-mana sahaja,” katanya. 

Masa yang terluang ini turut memberi ruang buatnya menyiapkan tugasan dan membersihkan bilik. 

Jelas beliau lagi, selain mengulang kaji, banyak masa digunakan untuk melayari Internet, menonton filem dan permainan online bersama rakan-rakan walaupun tidak bersemuka.
 
Anak kelahiran negeri Sabah ini membuat keputusan untuk tinggal di kampus sahaja kerana menyedari kerisauan terhadap penularan wabak Covid-19 di luar. 

BIL. 71 MAC 2020

Beliau juga bersyukur dan berterima kasih kepada UMP atas keprihatinan serta bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan semua pelajar yang masih berada di dalam kampus sama ada di UMP Pekan atau UMP Kampus Gambang.
 
“Begitu juga dengan keperluan harian seperti bekalan makanan, perubatan dan keperluan harian yang lain disediakan dan mencukupi. 

“Keluarga saya juga tidak risau keadaan saya di sini kerana pelbagai inisiatif yang disediakan oleh pihak UMP kepada kami. 

“Saya sangat berterima kasih kepada staf UMP yang sentiasa memberi khidmat yang terbaik kepada kami,” ujarnya lagi.
 
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya wabak Covid-19 dan kepentingan penjagaan kesihatan diri seperti membasuh tangan kepada warga dan masyarakat setempat, UMP turut menganjurkan pertandingan video pendek, foto dan e-Poster buat warganya. 

Para pelajar juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara dan peraturan universiti bagi memastikan keselamatan dan kesihatan diri pelajar berada dalam keadaan baik.


BIL. 71 MAC 2020

Newsletter Image
BIL. 71 MAC 2020