Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Petugas UMP Holdings siapkan 1,000 alat pelindung muka buat barisan hadapan

BIL. 76 APR 2020

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, UNIT PERHUBUNGAN AWAM, PEJABAT NAIB CANSELOR 

Prihatin terhadap keperluan pelindung muka buat petugas kesihatan dan barisan hadapan yang berjuang membanteras penularan wabak penyakit Covid-19 terutamanya di negeri Pahang, UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH) yang juga merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menyediakan 1,000 alat pelindung muka (face shield) di bangunan pejabatnya pada 13 Aptil 2020 yang lalu. 

Menurut Pengurus Projek , Mohd Hairuddin Idris, sebanyak 1,000 pelindung muka ini disediakan untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diedarkan kepada kakitangan barisan hadapan (frontliners) di Kementerian  Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih memerlukan bekalan di negeri ini.

BIL. 76 APR 2020

“Seramai 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga UMP Holdings dan Kumpulan berganding bahu dalam menyediakan pelindung muka pakai buang ini. 

“Dengan menggunakan konsep production line iaitu stesen pertama akan melakukan pemotongan span diikuti pemotongan getah dan tampalan serta pembungkusan di peringkat akhir. 

“Kami juga turut mengambil langkah keselamatan terhadap petugas dengan penjarakan sosial serta kerap menggunakan cecair pensanitasi tangan (hand-sanitizier),” katanya. 

Tambah beliau lagi, inisiatif ini merupakan salah satu bentuk sumbangan khidmat komuniti pihak syarikat pada ketika ini iaitu setiap syarikat mahupun individu memainkan peranan penting dalam meringankan beban para petugas barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

BIL. 76 APR 2020

Terdahulu, UMP Holdings juga turut menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Alumni dan  Graduan UMP dalam menyumbangkan air minuman kepada para petugas hadapan. 

Antara yang telah menerima sumbangan ialah Balai Polis Gambang dan pihak berkuasa yang terlibat dengan operasi sekatan jalan raya di sekitar Gambang. 

Pemberian air mineral ini dilaksanakan secara mingguan di samping turut membekalkan 50 botol berkapasiti 500 ml cecair pensanitasi tangan (hand sanitizier) dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan konsisten berdasarkan keperluan.


Info Sekitar Kampus

UMPH bantu sediakan 1,000 pelindung muka dan sumbang air minuman buat petugas kesihatan

BIL. 76 APR 2020

Prihatin terhadap keperluan pelindung muka buat petugas kesihatan dan barisan hadapan yang berjuang membanteras penularan wabak penyakit Covid-19 terutamanya di negeri Pahang, UMP Holdings Sdn. Bhd (UMPH) yang juga merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) membantu menyediakan 1,000 alat pelindung muka (face shield) dan menyumbang 720 botol air minuman kepada petugas kesihatan.

Pelindung muka dibuat pihak UMP Services Sdn. Bhd. manakala air minuman disumbangkan oleh Imani Agro Industries Sdn. Bhd. 

Kedua-dua syarikat ini merupakan subsidiari UMP Holdings Sdn. Bhd.

Serahan disampaikan oleh Pengurus Besar UMP Services Sdn. Bhd., Mohd. Sanusi Abdullah kepada Ketua Jururawat, Sabariah Abu Bakar yang diwakili Nurilham Ibrahim dan Nancy Borubui di Pejabat Kesihatan Negeri Pahang hari ini.  Hadir sama Pengurus Sumber Manusia, Adlan Maarop dan Pengurus Projek, Mohd Hairuddin Idris. 

BIL. 76 APR 2020

Menurut Sanusi, sebanyak 1,000 pelindung muka ini disediakan  pihaknya untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diedarkan kepada kakitangan barisan hadapan (frontliners) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih memerlukan bekalan di negeri ini.

“Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap barisan hadapan yang bekerja keras dalam memutuskan rantaian virus ini,” katanya. 

Tambah beliau lagi, inisiatif ini merupakan salah satu bentuk sumbangan khidmat komuniti pihak syarikat pada ketika ini, iaitu setiap syarikat mahupun individu memainkan peranan penting dalam meringankan beban para petugas barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Hairuddin berkata, seramai 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga UMP Holdings & Kumpulan berganding bahu dalam menyediakan pelindung muka pakai buang ini. 

BIL. 76 APR 2020

Pihaknya juga turut mengambil langkah keselamatan terhadap petugas dengan penjarakan sosial serta kerap menggunakan cecair pensanitasi tangan (hand sanitizier).

UMP Holdings juga menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Alumni & Graduan UMP dalam menyumbangkan air minuman kepada para petugas hadapan termasuklah pihak berkuasa yang terlibat dengan operasi sekatan jalan raya di sekitar Gambang. 

Tabung ‘triUMPH Frontliners’ juga diperkenalkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk menyumbang air minuman buat petugas. Pemberian air mineral ini dilaksanakan secara mingguan. 

Di samping itu, pihaknya turut membekalkan cecair pensanitasi tangan (hand sanitizier) dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan konsisten berdasarkan keperluan.


MyGift

Yayasan UMP sumbang Kit Bantuan Covid-19 menjelang Ramadan

BIL. 76 APR 2020

Cakna terhadap situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjelangnya ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi, Yayasan UMP mengagihkan sumbangan buat petugas barisan hadapan dan membantu staf yang berkeperluan pada 17 April 2020 yang lalu. 

Sumbangan berbentuk makanan keperluan asas ini diedarkan secara berperingkat di kedua-dua kampus dengan sasaran 200 penerima yang bakal menerima manfaat.

Dalam masa kurang seminggu sebelum menjelangnya Ramadan, setiap keluarga pastinya sibuk membuat persiapan terutamanya bagi ketua keluarga. 

BIL. 76 APR 2020

Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban dan kerisauan terutamanya dalam situasi berdepan dengan penularan wabak COVID-19 dan menjalani PKP di kediaman masing-masing.

Memaknakan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) juga menyediakan pelbagai pengisian sepanjang Ramadan nanti dengan aktiviti secara atas talian. 

Ia bagi memastikan setiap hari terisi dengan aktiviti yang dapat mempertingkatkan hubungan antara seisi keluarga dan mengharungi Ramadan dengan ibadah yang sempurna.

BIL. 76 APR 2020

Pihak Yayasan UMP turut menghargai sumbangan warga UMP dan orang ramai yang menyumbang dalam usaha membantu mereka.

Bagi staf dan orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh melalui melayari Portal UMP https://epayment.ump.edu.my/endowment/MyGift.jsp?action=addEndowment&type=TBENCANA atau sumbangan atas talian (online) Akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) Bendahari UMP: 556235304236 (Ref: KEBAJIKAN STAF).

Maklumat lanjut hubungi Pegawai Yayasan UMP di talian 019-9352013 atau Jawatankuasa Tabung Kebajikan Staf dan Bencana Yayasan UMP di talian 019-9805060.


Aktiviti Pelajar

Lagu ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian mahasiswa UMP berunsur nasihat cegah COVID-19

BIL. 76 APR 2020

Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyanyikan semula lagu yang berjudul ‘Kita Jaga Kita’ hasil olahan dari lagu ‘Sakit’ yang popular dan dinyanyikan oleh Zynnakal untuk memberi nasihat kepada rakyat Malaysia dalam berjuang membendung penularan wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara di seluruh dunia.

Tampil kreatif mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi ini terpanggil untuk mencipta sesuatu ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana di Malaysia sejak 18 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada Nur Nissa Halimah Rahmat yang merupakan mahasiswa Fakulti Komputeran bersama dua lagi rakannya iaitu Haris Nufail Shamshul Azri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Dinie Almatin Asfarin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam. (FTKKA). 

Mereka juga merupakan ahli Kelab Nyanyian Solo, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP.

Ketika ditemu bual, Nur Nissa berkata, terlebih dahulu pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada Zynnakal yang membenarkan menggunakan lagunya dan penasihat Kelab, Noor Afiza Mohd Azmi yang banyak memberi dorongan buat beliau dan rakan-rakan.

BIL. 76 APR 2020

“Penghasilan lagu ini sebagai usaha menyahut saranan kerajaan yang menyeru masyarakat agar sentiasa bekerjasama dan bersatu dalam memerangi wabak COVID-19,” katanya. 

Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam penghasilan lagu tersebut yang mengambil masa sehari.

“Pada awalnya kami mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan lirik yang berunsurkan nasihat. 

“Kami akan menyanyi dan merekodkan di rumah masing-masing. 

“Setelah proses merekod suara selesai, kami berhubung dan menghantar bahan melalui e-mel untuk proses seterusnya,” ujarnya.

Walaupun sedang menjalani PKP di rumah, Nur Nissa yang tinggal bersama keluarga di Johor Bahru, Harris di Perak dan Dinie di Selangor namun, ia bukan penghalang bagi mereka  untuk menghasilkan lagu ini tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang terkini. 

Beliau turut menceritakan antara cabaran yang ditempuhi iaitu capaian internet yang terhad namun ia bukan halangan besar. 

Tambahnya, lagu ini didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang berjuang memerangi COVID-19.

Harapannya agar lagu ini dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada rakyat Malaysia di luar sana. 

Beliau percaya bahawa pesanan melalui lagu merupakan salah satu pendekatan yang sesuai bagi mereka yang menjalani PKP sama ada di rumah mahu pun di kampus sebagai mengisi masa lapang.

Lagu ini telah dimuat naik di media sosial dan YouTube UMPTV di https://www.youtube.com/watch?v=iEUwnJ7z46M dan dikongsikan di Facebook UMPMalaysia. 

Antara liriknya adalah memohon kerjasama rakyat Malaysia untuk sama-sama perangi COVID-19, janganlah terleka, kesilapan ini bakal menjadi bahaya. Kena hati-hati, COVID-19 mudah dijangkiti dan penyakit ini tidak mudah untuk dihenti.

Dalam pada itu, selain sibuk memberi tumpuan terhadap pengajian masing-masing ketiga-tiga mahasiswa ini turut aktif dalam bidang nyanyian dan sering membuat persembahan di majlis-majlis rasmi universiti.

Lirik Lagu 'Kita Jaga Kita'

Ini pesanan untuk semua
Bukalah hati bukalah mata
Ini pesanan untuk semua
Untuk elakkan dari corona

Wahai kawan kawan mari kita beri kerjasama
Bangkit wahai rakyat, marilah jaga Malaysia
Kita perangi corona janganlah kita terleka
Kesilapan ini bakal menjadi bahaya

Bila sorang sakit kena hati hati
Sakit dia bukan sakit sendiri
Covid-19 ini mudah dijangkiti
Penyakit ini tak mudah untuk dihenti

Mengerti
Kita mesti dengar arahan diberi
Kita mesti hentikan penyakit ini
Beri kerjasama jangan penting diri

Oh perintah kawalan, kawalan pergerakan
Jadi tolonglah pesan, aku tolong ingatkan
Duduk saja di rumah, duduk dengan keluarga
Ataupun kawan kawan, oh kita jaga kita

Oh rajinlah kau kerap cuci tangan
Ada barang diperlukan
Biar sorang je dapatkan

Ini pesanan untuk semua
Bukalah hati bukalah mata
Ini pesanan untuk semua
Untuk elakkan dari corona
Penyakit ini tumpas pabila kita kerjasama
Bangkit wahai kawan kita perangi corona
Polis askar doktor misi semua dah jaga negara
Just stay at your home guys kita jaga kita

Oh virus di serata
Jangan buat tak tahu
Jangan kau buat gila
Semua pun kau sapu

Dah mayat berterabur
Kau masih tak mengerti
Sampai kena sendiri
Baru nak takut mati

Biar kau buta mata
Jangan diminta maut
Maut tak kenal siapa
Nanti kau kecut perut

Biar harta tak mewah
Asalkan tak merungut
Diam saja dirumah
Buat apa yang patut

Lagu asal: Sakit oleh Zynakal

Lirik 
-Nur Nissa Halimah binti Rahmat
-Haris Nufail bin Shamshul Azri

Penyanyi dan Editor 
-Nur Nissa Halimah binti Rahmat
(Tahun 3 - Fakulti Komputeran)
-Haris Nufail bin Shamshul Azri
(Tahun 1- Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif)
-Dinie Almatin bin Asfarin
(Tahun 1 - Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam)
 

Video: Kumpulan Seni Suara Aural Adrenalin, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.


Sumber Manusia

Pelantikan Baharu Jawatan Giliran UMP

BIL. 76 APR 2020

BIL. 76 APR 2020


Artikel/Rencana Pilihan

Amalkan tabiat makan secara sihat sepanjang PKP

BIL. 76 APR 2020

Oleh: DR.  NOORMAZLINAH AHMAD 
e-mel: mazlinah@ump.edu.my

BIL. 76 APR 2020

Makan secara sihat adalah menjadi keutamaan apatah lagi bagi mereka yang mengalami penyakit diabetes. Ini penting bagi mencapai kawalan gula darah yang optima, kekal sihat dan selamat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain pesakit kencing manis, golongan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai pendedahan penyakit adalah warga emas yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi dan juga pesakit jantung. Makanan yang bernutrisi tinggi dengan kadar pengambilan yang tepat sangat penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum bagi membantu menambah daya rintang penyakit.
 
Corak pemakanan adalah antara elemen yang terpenting bagi mempersiapkan diri untuk mencegah dan melawan serangan pathogens seperti virus Covid-19 ini.  Bak kata pepatah 'kita adalah apa yang kita makan'. Makanan seimbang yang bernutrisi lengkap dengan kuantiti suku-suku separuh harus diamalkan oleh setiap orang. Makanan yang patut dielakkan ketika musim PKP ini adalah makanan yang manis (ataupun tinggi kandungan gula), pengambilan garam secara berlebihan, makanan yang tinggi bahan pengawet dan juga makanan yang diproses serta makanan ringan.
 
Waktu ini adalah masa yang paling sesuai untuk para ibu menyediakan sendiri makanan untuk ahli keluarga mereka antaranya menambah bahan-bahan yang bersifat anti virus seperti madu, kunyit, lemon, halia dan juga bawang putih di dalam menu seharian keluarga. Buah-buahan yang tinggi kandungan prebiotik seperti kurma, pisang dan kiwi boleh dijadikan snek dan kudapan. Selain itu, memakan tempe, tapai dan yogurt juga boleh diamalkan di dalam makanan seharian kerana makanan ini telah melalui proses fermentasi yang dapat menambah kandungan bakteria baik di dalam perut dan secara tidak langsung boleh menambah imuniti tubuh badan selain pengambilan vitamin C secara rutin.

BIL. 76 APR 2020

Laporan dari hasil penyelidikan yang dipetik dari Jurnal Antarabangsa Sains Molekul (Yeo Sio Koon) https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2812835/ mencadangkan pengambilan sekurang-sekurangnya 20ml prebiotik di dalam diet makanan seharian agar dapat membantu membekalkan fiber yang mencukupi untuk mengelakkan masalah obesiti dan membantu penyerapan kalsium. Ciri-ciri ini membantu secara tidak langsung kepada pesakit kencing manis dan darah tinggi untuk mengurangkan masalah penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Inulin, fructooligosakarida dan gam Arab adalah antara yang disarankan di dalam penyelidikan tersebut.

Prebiotik sumber makanan baik kepada bakteria baik
Prebiotik adalah merupakan sumber makanan baik kepada bakteria baik yang terdapat dalam usus manusia sama ada di peringkat usia bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun pada usia warga emas. Ia juga bertindak sama dalam sistem penghadaman haiwan malahan sangat baik dalam formulasi baja untuk tanaman. Terdapat hampir 10 trilion bakteria baik seperti dari spesies Lactobacillus acidophilus dan spesies-spesies lain yang terdapat di dalam pada keseluruhan sistem penghadaman. Jumlah ini adalah lebih 10 kali ganda jumlah sel yang terdapat dalam tubuh.

Sistem penghadaman amat memerlukan bakteria-bakteria baik ini di dalam proses pencernaan di usus kecil dan usus besar. Terdapat hampir lebih sepuluh jenis bakteria baik dalam sistem penghadaman manusia yang mana setiap spesies bakteria baik ini menjalankan fungsi spesifik kepada elemen makanan yang dicernakan. Namun, kecekapan sistem penghadaman tidak hanya bergantung kepada jumlah bakteria yang terkandung dalam sistem pencernaan. Bakteria-bakteria baik (probiotik) ini akan menurun populasinya sekiranya tidak mendapat keperluan makanan mereka iaitu prebiotik.

Probiotik dan Prebiotik saling memerlukan antara satu sama lain, tindak balas semula jadi ini dikenali sebagai simbiotik. Bakteria-bakteria baik ini memerlukan makanan bagi menjalankan fungsi khususnya dengan efektif, signifikan dan baik. Bakteria-bakteria baik ini memakan unsur-unsur prebiotik seperti Inulin dan Fructooligosaccharide (FOS).

Sistem pencernaan memerlukan bakteria-bakteria baik, namun dalam masa yang sama bakteria-bakteria baik ini amat memerlukan makanan dari sumber-sumber prebiotik. Lebih menakjubkan hanya bakteria baik sahaja yang memakan sumber prebiotik ini. Dengan itu sistem penghadaman akan menjadi lebih baik dan mendapat pelbagai manfaat kesihatan kesan dari kesempurnaan sistem penghadaman anda. Paling utama, sekiranya pertumbuhan bakteria baik berlaku dengan efisien maka kesihatan manusia, haiwan mahupun tumbuhan akan berada di paras optimum malahan bakteria jahat tidak dapat menyerang dan memberikan sebarang penyakit yang tidak diingini. Ini merupakan titik tolak prebiotik sangat diperlukan oleh segenap lapisan benda hidup untuk melawan sebarang penyakit terutamanya yang bermula dari usus yang tidak sihat iaitu lebih 80 peratus penyakit adalah bermula dari keadaan usus yang lemah.

Secara amnya, unsur prebiotik ini terdapat di dalam mana-mana buah-buahan dan tumbuhan dan yang membezakan hanya cara menghasilkan bahan prebiotik ini. Di sinilah inovasi yang dibawa dalam proses penghasilan prebiotik daripada sumber pertanian tempatan dengan kadar ketulenan dan kualiti yang tinggi. Kesedaran akan kepentingan kesihatan sistem penghadaman dan kesan baik kesempurnaan sistem penghadaman kian meningkat. Pihak pengeluar produk dan pengguna perlu seiring dalam menghasilkan dan menggunakan produk bernilai premium dan memberi kesan baik pada kesihatan pengguna.

Manfaat prebiotik OLIGOWELL™- Inulin Complex
Kepentingan bahan prebiotik OLIGOWELL™- Inulin Complex kepada inovasi dan revolusi terutamanya kepada industri makanan dan minuman bermula dengan menggunakan bahan prebiotik OLIGOWELL™-Inulin Complex dalam formulasi produk. Kebiasaannya prebiotik digunakan di dalam formulasi produk tenusu, susu formula bayi, aiskrim, coklat, minuman dan makanan kesihatan dan turut juga digunakan dalam formulasi makanan ternakan komersial.  

Kebaikan utama penggunaan prebiotik terhadap kesan kesihatan adalah ia dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, meningkatkan dan mengoptimumkan kadar penyerapan kalsium dan nutrien. Kelebihan prebiotik juga mengembalikan dan memelihara bakteria baik dalam usus besar dan usus kecil. Selain itu dapat membantu melancarkan pencernaan, membantu mengawal selera makan dan berupaya merendahkan kadar kolesterol dalam badan.

Ketika PKP ini, disiplin masa pemakanan atau mengikut waktu makan yang sama setiap masa adalah sangat penting untuk mencegah ketidakseimbangan tubuh badan yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti gastrik dan masalah angin. Kita juga diwajibkan mengambil makanan utama iaitu sebanyak tiga kali sehari dengan sarapan sebelum jam sembilan pagi dengan nilai 200-400 kalori, makan tengah hari pada jam 12 tengah hari hingga dua petang dengan nilai kalori (400-600) kalori, diikuti makan malam sebelum jam lapan malam dengan nilai kalori (300-500) kalori. Kita turut digalakkan untuk menghitung jumlah kalori yang diambil kerana kalori yang berlebihan akan menyebabkan obesiti dan mudah diserang pelbagai penyakit yang merbahaya. Pengambilan kalori yang signifikan adalah kunci kepada kesihatan yang optimum.

Banyakkan minum air
Sangat penting juga untuk minum air secukupnya iaitu sebanyak lapan gelas sehari. Kita tidak digalakkan untuk menjadi seorang yang pasif ataupun dengan kata mudahnya malas bergerak. Kita seharusnya menjadi seorang yang aktif dan banyak melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat seperti berkebun, bersenam atau menari bersama anak-anak dengan berpandukan kepada media di atas talian atau virtual class, beriadah ataupun yang paling mudah dilakukan ialah mengemas rumah dan memasak bersama. Orang yang cergas akan memperoleh kesihatan yang optimum dan kecerdasan minda di samping mendapat tubuh badan dan berat badan yang ideal. Selain itu, aktiviti ini juga sangat baik untuk mendapatkan emosi yang stabil dan dapat mengurangkan tekanan (stress).

Penulis adalah pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP).  


Artikel/Rencana Pilihan

'Calculus Is a Piece of Cake!' - MOOC tawar pembelajaran lebih fleksibel

BIL. 76 APR 2020

Oleh: DR. MUHAMMAD AZRIN AHMAD
e-mel: azrin@ump.edu.my .

BIL. 76 APR 2020

Umum sedia maklum dengan kepesatan teknologi pada masa kini. Arus teknologi yang pesat membangun mencipta 1,001 peluang kepada semua pihak yang bijak mencari ruang. Jika dilihat secara sepintas lalu, siapa sangka pembelian barangan yang dahulunya dilakukan secara fizikal, kini, hanya boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi mudah alih pada peranti pintar. Sektor pendidikan turut tidak terkecuali. Ayuh kita singkap ciri-ciri pembelajaran yang dipraktikkan sebelum tercetusnya ledakan Internet dan teknologi. Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dahulu berteraskan kaedah fizikal yang melibatkan penglibatan dua hala dalam bilik darjah di antara guru dan pelajar. Ketika awal tahun 2000, penggunaan teknologi sering diamalkan dalam penyediaan laporan dan tugasan kumpulan. Laporan ditulis menggunakan Microsoft Word dan dicetak sebelum dihantar kepada guru untuk disemak. Apabila kita memasuki ke tahun 2020, penggunaan teknologi yang semakin meluas menggasak pendidik untuk lebih memperkasakan penggunaan teknologi sebagai alat bantu mengajar dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik, komprehensif dan seiring dengan kemajuan teknologi semasa.
 
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah menyenaraikan sepuluh lonjakan untuk mendorong kecemerlangan berterusan dalam ekosistem pendidikan tinggi. Lonjakan kesembilan secara khusus telah memperuntukkan perkara berkaitan Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempunyai inspirasi dalam penggunaan model Pembelajaran Teradun (Blended Learning) sebagai pendekatan utama pedagogi di semua Institut Pengajian Tinggi (IPT). Oleh itu, Massive Open Online Course (MOOC) diperkenalkan. MOOC ialah singkatan bagi massive (besar besaran), open (terbuka), online course (kursus atas talian). Seperti aktiviti P&P konvensional, MOOC juga dibangunkan dengan memastikan elemen seperti bahan dan aktiviti P&P serta penilaian diterapkan dalam pembangunan sesuatu kursus. Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pusat Sumber Pengajaran dan e-pembelajaran (CIReL) bertindak sebagai sebuah pusat yang menjaga dan mengawal segala aktiviti berkaitan e-pembelajaran seperti pembelajaran teradun, Global Classroom, MOOC dan lain-lain.
 
MOOC dibangunkan oleh beberapa orang yang dilantik oleh sesebuah fakulti atau pusat di UMP dinamakan Subject Matter Expert (SME). Dengan beberapa siri bengkel dan tunjuk ajar daripada pihak CIReL, SME dikehendaki membangunkan perkara berkaitan bahan dan aktiviti P&P serta penilaian bagi memastikan kursus yang ditawar kelak berkualiti dan mudah diikuti. Bagi bahan P&P, SME akan membangunkan video bagi menggantikan kuliah. Video pula boleh direkod menggunakan fasiliti rakaman video di CIReL atau mereka boleh merakam video sendiri. Manakala aktiviti P&P dirangka dengan menyediakan soalan tutorial sebagai usaha memastikan pelajar dapat mempraktikkan kefahaman yang diperoleh daripada menonton video yang telah disediakan. Selain itu, SME juga boleh mempelbagaikan kaedah penilaian sama ada kuiz, tugasan dan ujian. 
  
Oleh itu, ramai SME daripada pelbagai latar belakang kepakaran sedia menyumbang idea dan keringat dalam membangunkan sesuatu kursus secara MOOC. Sebagai contoh Calculus ialah suatu subjek Matematik. Kebanyakan pelajar menganggap Calculus adalah subjek yang sukar. Ini tidak benar sama sekali dan untuk menepis anggapan ini, subjek MOOC dinamakan sebagai Calculus is a Piece of Cake. Berkongsi pengalaman sebagai salah seorang SME yang dilantik bagi kursus ini, proses pembangunan kursus berdepan dengan kekangan yang tersendiri. Masa perlu dibahagikan bagi memastikan kualiti kursus yang dibangunkan menepati sasaran. Apabila kursus berkaitan Calculus cuba dibangunkan menggunakan format MOOC, ramai pihak skeptikal dan meragui usaha ini memandangkan pada hemat mereka, pelaksanaan P&P bagi subjek berkaitan Matematik harus dilakukan secara konvensional iaitu aktiviti kuliah seperti biasa. Ia sebagai cabaran buat PSM dalam memastikan kandungan kursus mudah diikuti dan difahami.

BIL. 76 APR 2020

Selain elemen berkaitan bahan dan aktiviti P&P serta penilaian yang dilakukan secara atas talian sepenuhnya, PSM turut memperuntukkan jadual kepada pelajar yang mengikuti kursus ini dengan mengadakan perbincangan secara maya menggunakan aplikasi ZOOM bagi memantau prestasi dan menjawab segala persoalan pelajar  sepanjang mengikuti kursus ini secara atas talian. Antara keistimewaan mempelajari subjek Calculus secara MOOC berbanding kuliah biasa adalah pelajar yang terlibat tidak perlu menghadiri kuliah secara fizikal, namun boleh diikuti mengikut rentak masing-masing dan dapat menyiapkan kursus ini dalam beberapa minggu sahaja. Pada masa hadapan, MOOC juga boleh menjadi platform penawaran sesuatu kursus secara micro credential dengan penglibatan rakan industri. Micro Credential adalah kursus yang ditawarkan secara sedikit daripada kursus besar yang turut menawarkan ilmu, kemahiran, nilai tambah dan kelayakan. Inisiatif ini membolehkan sesuatu bidang ilmu dan kemahiran dipelajari dengan lebih singkat dan layak diberikan sijil kelayakan sesuai dengan pembelajaran yang diikuti mereka.
 
Kursus MOOC Calculus is a Piece of Cake yang telah dibangunkan semenjak 2017 boleh berbangga dengan beberapa pencapaian yang diraih semenjak kebelakangan ini. Kursus ini telah digunakan sebagai pembelajaran teradun bagi subjek Calculus pada peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di UMP. Selain itu, kursus ini merupakan kursus pertama di UMP yang menawarkan program Credit Transfer MOOC (CTM) dan telah berjaya diselesaikan oleh tiga orang pelajar. Secara ringkas, CTM membolehkan pelajar mempelajari subjek Calculus menggunakan MOOC Calculus is a Piece of Cake dan mereka perlu mencapai markah sekurang-kurangnya 40 peratus (gred D) dan ke atas terhadap penilaian yang telah disediakan secara MOOC. Tambahan pula, ini membolehkan mereka mendapat sijil yang mengesahkan mereka telah selesai belajar secara MOOC dengan jayanya. Selain itu, pelajar perlu menduduki ujian kelayakan yang ditetapkan oleh pemilik kursus (fakulti/pusat) yang ingin dipindah kredit dan perlu mendapat markah 50 peratus (gred C) bagi melayakkan mereka memperolehi CTM.
 
Kepesatan arus teknologi turut mengubah landskap penawaran kursus yang dilihat perlu lebih fleksibel dan memberi pilihan yang pelbagai kepada pelajar. Komitmen semua pihak ditagih bagi menjayakan inisiatif MOOC di UMP supaya setanding dengan MOOC lain yang berada pada pasaran ketika ini. SME harus lebih kreatif dalam mempelbagaikan bentuk penyampaian dan pelajar pula harus komited dalam menjalani pembelajaran secara atas talian.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan,  Pusat Sains Matematik, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 


BIL. 76 APR 2020

BIL. 76 APR 2020

BIL. 76 APR 2020

BIL. 76 APR 2020
 
BIL. 76 APR 2020
Newsletter Image
BIL. 76 APR 2020