Inspirasi SUARA UMP III lancar 4 buah buku
PEKAN, 28 Oktober 2020 – Pejabat SUARA Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menerbitkan empat buah buku baharu terbitannya berjudul Kembara PhD, Reinforced Concrete Design, Fires and Explotions – Managing Process Safety dan Capstone Project – Guideline for Undergraduate Civil Engineering Courses.
Buku Kembara PhD adalah hasil tulisan oleh Dr. Anita Abdul Rani, Dr. Hasnah Hussiin, Profesor Madya Dr. Jamal Rizal Razali, Allahyarham Dr. Aini Ahmad, Dr. Fatmawati Latada, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Dr. Rashidi Abbas, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid, Dr. Mahyuddin Ismail, Dr. Rohana Hamzah, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said dan Dr. Zulfaqar Mamat.
Manakala buku berjudul Reinforced Concrete Design ditulis oleh Ir. Dr. Chin Siew Choo, Ir. Dr. Fadzil Mat Yahya, Dr. Sharifah Maszura Syed Mohsin dan Dr. Gul Ahmed Jokhio, buku Fires and Explosions – Managing Process Safety oleh Ir. Ts. Dr. Siti Zubaidah Sulaiman, Ts. Dr. Azizan Ramli dan Dr. Hanida Abdul Aziz dan buku Capstone Project – Guideline for Undergraduate Civil Engineering Courses pula oleh Dr. Noram Irwan Ramli, Dr. Mohamad Idris Ali, Dr. Doh Shu Ing, Wan Nazri Wan Aria dan Tan Yeong Yu.
Buku-buku tersebut telah dilancarkan oleh Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMP, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said dalam Majlis Inspirasi SUARA UMP di Lounge Eksekutif, Perpustakaan UMP Pekan.
Hadir sama Ketua Pustakawan UMP, Azman Abdul Rahim dan Pengarah Pejabat SUARA UMP, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor.
Menurut Dr. Mohamad Hilmi, majlis ini diadakan bagi meraikan usaha para penulis, editor dan staf-staf penerbitan yang bertungkus lumus untuk menyiapkan buku-buku tersebut.
“Empat buah buku ini merangkumi karya penyelidikan, modul, karya asli dan juga karya kreatif.
“Saya doakan semoga usaha murni seperti ini mampu memberikan ilmu kepada masyarakat dan universiti, malah menjadi ibadah serta pahalanya akan terus mengalir berterusan kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan buku-buku ini.
“Tidak juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perpustakaan UMP yang selama ini telah banyak berjasa dalam menyimpan pelbagai rujukan dan khazanah ilmu untuk para pelajar dan warga UMP memperoleh maklumat, ilmu dan pengetahuan,” ujar beliau.
Jelas beliau lagi, walaupun kita sedia maklum bahawa di Perpustakaan kita harus senyap, tetapi percayalah staf-staf perpustakaan tidak pernah senyap dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka selama ini.
“Kita harus faham bahawa dalam ekosistem sesebuah penerbitan, jangan sesekali kita lupa akan peranan besar sesebuah Perpustakaan dalam menyimpan dan mendokumentasikan segala bahan terbitan yang telah kita terbitkan.
“Justeru, saya berharap majlis yang diadakan setiap bulan ini mampu menyebar luaskan hasil karya pensyarah-pensyarah UMP ke tengah-tengah masyarakat dalam usaha UMP untuk melaksanakan tanggungjawab memasyarakatkan hubungan antara universiti dengan masyarakat sekitar.
“Majlis ini tidak sekadar untuk menghargai para penulis dan editor yang bersusah payah menghasilkan karya bermutu tinggi untuk diterbitkan sebagai dokumentasi ilmu malah platform ini juga menjadi medium pemasaran secara tidak langsung kepada masyarakat luar untuk mengenali dan membeli buku-buku terbitan UMP,” katanya.
Dr. Mohamad Hilmi berkata, usaha seperti ini harus dipuji, selain daripada satu bentuk penghargaan kepada para penulis yang gigih menyiapkan manuskrip mereka untuk diterbitkan, ia juga menjadi pembakar semangat dan dorongan kepada rakan-rakan pensyarah kita yang lain untuk turut sama menulis dan menghasilkan karya yang bermutu tinggi pada masa akan datang.
“Menulis sesebuah buku bukanlah satu kerja mudah. Menerbitkannya juga bukan satu kerja yang mudah kerana banyak tenaga yang diperlukan untuk memastikan sesebuah karya itu berkualiti.
“Terdapat banyak proses yang perlu dilakukan sebelum sesebuah karya itu layak diterbitkan. Kadangkala bertahun lamanya untuk menerbitkan sesebuah buku.
“Sesebuah karya sebelum diterbitkan haruslah melalui proses penilaian, reka bentuk, penyuntingan, indeks dan percetakan.
“Oleh itu, apabila sesebuah buku terhasil atau berjaya diterbitkan, ia seharusnya diraikan,” katanya.
Tambahnya, dalam soal penerbitan sesebuah buku, ia bukan hanya berkenaan si penulis dan editor tetapi pereka grafik turut terlibat secara langsung.
“Kerja mereka di sebalik tadbir ini juga bukanlah kerja yang boleh dipandang mudah, ia juga perlu dihargai.
“Justeru, saya percaya bahawa majlis pada hari ini bukan hanya meraikan para penulis buku semata-mata, malah kita meraikan semua pihak yang terlibat, baik secara langsung mahu pun tidak langsung dalam penerbitan sesebuah buku,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor berharap agar usaha dan semangat untuk terus menulis dan menerbitkan buku menjadi agenda penting kita semua, khususnya para pensyarah, agar ilmu dan pengalaman yang mereka miliki akan terus kekal menjadi sumbangan tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.
“Buku-buku tersebut boleh didapati di laman sesawang https://shopee.com.my/penerbitump.
atau di https://mohbeli.com/product-category/books/,” katanya.
Dr. Mohamad Hilmi turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para penyumbang artikel dan rencana ilmiah yang diterbitkan di dalam bulletin rasmi UMP iaitu e-Create dan e-Pekan Review.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pejabat SUARA UMP
- 169 views