Skip to main content

Aplikasi NLP manfaatkan calon PT3 dan SPM SMK Seri Pekan

Pekan, 4 Februari – Seramai 148 pelajar Tingkatan 3 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan (SMKSP) dekat sini menimba pengalaman menarik dalam Projek Kilauan Mutiara bersama 24 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab InSmartive baru-baru ini.

Menggunakan teknik psikologi Neuro-Linguistic Programming (NLP), semua modul dan aktiviti projek yang dianjurkan bersama Kelab InSmartive, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA) ini direkabentuk bagi membentuk keyakinan diri dalam kalangan peserta untuk membuat keputusan yang bijaksana mengenai hala tuju akademik dan kerjaya masa hadapan mereka.

Menurut Pengurus Projek, Rafiqah Shahul Hameed, 21, yang juga mahasiswi Tahun 1 dari Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), rekabentuk modul untuk para peserta didasarkan kepada semua enam aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggalakkan aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi memupuk minda kritis dan inovatif.

Melalui perkongsian dengan Ketua Penyelidik, Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang juga seorang jurulatih NLP, para peserta juga didedahkan kepada lima soalan asas NLP yang kritikal dalam pemetaan hala tuju kehidupan.

Bagi Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMKSP, Hajah Nik Zaitun Abdullah berharap pendekatan unik yang digunakan ini mampu melonjakkan motivasi para peserta untuk menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan September dan Oktober kelak. 

Sementara itu, dua pelajar Tingkatan 5 iaitu Muhammad Mihjaq Amarin Mohd Yazid dan Nurul Ain Nabilah Shaiful Faizal diumumkan sebagai peserta terbaik projek dalam program ini.

 

Berita disediakan oleh Rafiqah Shahul Hameed, Pengurus Projek manakala foto oleh Agibrael Tarmizi Tumin dan Muhammad Afiq Rosdi.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi