Go-Kart tarikan Festival Idea@Pahang dan Hari Mahasiswa UMPSA
GAMBANG, 12 Oktober – Penampilan sulung go-kart elektrik hasil rekaan dan binaan sepenuhnya mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) antara tarikan utama dalam Festival Idea@Pahang dan Hari Mahasiswa UMPSA baru-baru ini.
Program yang berlangsung meriah selama dua hari itu bermula pada 11 dan 12 Oktober 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Aktiviti di bawah seliaan pasukan E-Motion, FTKMA ternyata mencuri hati pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman menaiki dan memandu gokart elektrik dalam kawasan selamat yang telah disediakan.
Bagi Ketua Pasukan E-Motion yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dan Ijazah Dual Kejuruteraan Automotif, FTKMA, Muhammad Iman Zahin Harun, aktiviti ini bukan sahaja menarik minat ramai tetapi turut memberi pendedahan tentang teknologi kenderaan elektrik dan inovasi hijau yang dibangunkan di UMPSA.

"Kehadiran E-Motion UMPSA memperlihatkan kehebatan dan kreativiti mahasiswa dalam kejuruteraan moden.
“Kejayaan dan kreativiti ini meletakkan kebanggaan kepada universiti kerana bukan sahaja melahirkan mahasiswa yang berkemahiran tinggi malah membuktikan keunggulan sebagai universiti nombor satu dalam Rangkaian Universiti--universiti Teknikal Malaysia (MTUN),” ujarnya.
Pasukan E-Motion juga pernah memenangi Juara keseluruhan NxGV Challenge 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Festival ini turut menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik melibatkan pameran inovasi daripada penyelidik penyelidik UMPSA.
Turut berlangsung pameran badan beruniform dan pameran aset ketenteraan serta jualan usahawan.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi
- 46 views
Reports by: