Jelajah AI MyMahir memperkasakan literasi digital dan AI komuniti
GAMBANG, 23 Mei 2026 - Seramai 750 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Jelajah AI MyMahir (JAM) anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan EY Malaysia dalam usaha memperkasa literasi kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran digital rakyat di peringkat komuniti.
Program yang berlangsung di UMPSA Kampus Gambang itu menghimpunkan mahasiswa, murid sekolah, guru, usahawan, suri rumah, wanita, belia FELDA, pencari kerja dan komuniti setempat bagi mengikuti pelbagai modul pembelajaran AI secara praktikal dan interaktif.
Jelajah AI MyMahir merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp yang membawa ilmu berkaitan AI, digital dan kemahiran masa depan secara lebih dekat serta mudah difahami oleh rakyat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah.

Beliau turut menegaskan bahawa AI bukan lagi teknologi eksklusif untuk golongan tertentu, sebaliknya perlu dimanfaatkan oleh seluruh rakyat dalam kehidupan harian dan dunia pekerjaan.
“Pelaksanaan Jelajah AI MyMahir di seluruh negara membuktikan bahawa agenda teknologi dan kemahiran masa depan perlu disampaikan secara praktikal kepada rakyat, bukan sekadar dibincangkan di peringkat dasar semata-mata.
“AI bukan lagi hanya untuk pakar teknologi.
“Apa yang penting ialah bagaimana ilmu ini dapat diterjemahkan kepada kegunaan harian segenap lapisan rakyat bagi menyelesaikan cabaran harian yang kompleks dengan lebih cekap,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, melalui Jelajah AI MyMahir, Kerajaan Persekutuan membawa ilmu masa depan terus kepada rakyat supaya mereka bukan sahaja tahu tentang AI, tetapi dibimbing untuk memahami dan menggunakannya dengan yakin.
Beliau turut berkongsi pengalaman melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Artificial Intelligence (AI) dengan kajian bertajuk ‘AI-Driven Framework for Real Time Disaster Response and Management’ sebagai usaha memahami teknologi AI secara teknikal dan praktikal demi membantu pembentukan dasar negara yang lebih relevan dengan perkembangan masa depan.
Beliau berkata, Malaysia perlu bergerak pantas dalam pembangunan teknologi AI dan tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu melahirkan lebih ramai pencipta nilai teknologi tempatan.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penganjuran program itu selari dengan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan digital dan melahirkan graduan serta komuniti yang bersedia menghadapi revolusi teknologi masa depan.
“UMPSA sentiasa komited dalam memperkukuh budaya pembelajaran teknologi dan inovasi khususnya dalam bidang AI yang kini menjadi antara pemacu utama transformasi pendidikan,
“Penganjuran Jelajah AI MyMahir ini membuka peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk memahami dan menguasai teknologi AI secara lebih inklusif, praktikal serta berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada TalentCorp, KESUMA dan rakan strategik yang memilih UMPSA sebagai lokasi penganjuran program tersebut sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai hab pendidikan teknologi dan pembangunan komuniti di Pantai Timur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi berkata, kekuatan utama Jelajah AI MyMahir terletak pada pendekatan pembelajaran yang praktikal, bersasar dan mudah diaplikasikan oleh peserta mengikut keperluan masing-masing.
“Antara modul yang diketengahkan termasuk AI di Hujung Jari, asas prompt AI, AI untuk produktiviti kerja, pembinaan kerjaya, keusahawanan kecil, pembelajaran kendiri dan pengekodan bagi membantu peserta memahami penggunaan AI dalam konteks kehidupan sebenar.
“TalentCorp mahu rakyat bukan sekadar tahu tentang AI, tetapi berani mencuba dan menggunakan teknologi ini secara praktikal dalam pekerjaan, pembelajaran, perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya.
Terdahulu, siri Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong dan Sekijang sebagai usaha memperluas literasi AI secara inklusif dalam kalangan rakyat.
Program ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina tenaga kerja masa depan yang lebih celik digital, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan global berteraskan teknologi serta inovasi.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 42 views
Reports by: