Kee Keing Lee cabar diri hasilkan yang terbaik
Kuantan, 10 Julai – Mahasiswa perlu lebih berani dan menonjolkan potensi dan kebolehan diri dalam pelbagai bidang yang diceburi. Bagi Kee Keing Lee, 24, yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpandangan penglibatannya dalam mengendalikan program banyak membantunya dalam membentuk keperibadian diri agar lebih yakin, berani dan menguasai bakat kepimpinan serta keusahawanan yang menjadikan mahasiswa lebih berdaya saing.
“Sebagai seorang mahasiswa, tempoh pengajian selama empat tahun boleh dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi saat keemasan untuk mahasiswa melengkapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan.” katanya.
Menurut anak sulung dari empat adik beradik ini, dirinya sentiasa bergiat aktif dalam penganjuran program universiti dan kelab. Dengan cara ini beliau berpeluang bertemu dengan orang ramai termasuk staf universiti dan berhubungan dengan pihak luar. Pengalaman ini pastinya sangat berharga samping menimba pengalaman dan kenangan berharga ketika menjadi mahasiswa universiti.
Beliau sangat bertuah apabila mendapat sokongan penuh dari rakan-rakan dalam menjayakan program penting universiti antaranya Pahang Engineer’s Run 2018, Titan Challenge: Survival of the Fittest dan Program Hari Karnival Kerjaya UMP 2017 Bersama Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) berjaya mencapai sasaran dengan lebih 25,000 peluang pekerjaan kepada para graduan.
Kee turut terlibat dalam program lain termasuklah Program Misi Kemanusiaan UMP Kemboja Siri V 2016 ‘Malaysia-Cambonia Infinite Reach Out’, Academic Visit to National University of Singapore serta National Chemical Engineering Symposium (NACES 2016).
Pandai membahagikan masa menjadikan Kee turut cemerlang dalam akademik dan penyelidikan. Ianya terbukti apabila beliau mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester malahan penyelidikannya bertajuk “Extraction of Pollyphenol from Phyllanthus Niruri” hasil ekstrak menggunakan sejenis tumbuhan untuk merawat Hepatitis meraih pingat gangsa dalam Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2017.
Biodata :
Asal : Bagan Sg. Burung, Perak
Tarikh Lahir : 03 April 1994
Tempat Lahir: Perak
Adik Beradik : 4
Moto : Kehidupan ini singkat. Hargai dan nikmatnya setiap masa.
Pencapaian :
· Pingat Gangsa dalam Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2017
· Anugerah Dekan (setiap semester)
Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan 2017 Peringkat KPM (Finalis)
Presiden IEM Student Section 17/18
Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar 16/17
Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 150 views