Pementasan Teater Muzikal “Superhero” Gandingan Alumni dan Mahasiswa UMP
Kumpulan Teater Waris Sekretariat Kebudayaan & Kesenian Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Pusat Sukan & Kebudayaan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sekali lagi menganjurkan Pementasan Teater Muzikal ‘Superhero’ yang mengisahkan seorang remaja yang berkeyakinan tinggi mengadakan sebuah pementasan teater dengan watak yang mempunyai konflik tersendiri namun akhirnya berjaya dipentaskan.
Pementasan yang dihadiri oleh 600 orang penonton dalam kalangan mahasiswa dan alumni UMP serta penggiat – penggiat seni teater di Malaysia bukanlah semata – mata hiburan tetapi ianya menjadi wadah penyampaian ilmu, menyuntik semangat dan pengajaran dalam setiap watak yang dikisahkan, ianya turut menaikkan nama UMP sebagai sebuah universiti teknikal yang mampu menghasilkan mahasiswa berbakat seni.
Pengurus produksi, Nur Farra Batrisyia Mahifa, mahasiswa Tahun 3 Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP) berkata, produksi ini adalah sebuah keluarga besar yang mengajar erti kasih sayang tanpa mengira penat lelah kerana semuanya memberi dengan ikhlas.
“Pada mulanya cabaran yang besar saya lalui apabila bekerjasama dengan 62 orang ahli produksi, namun kerjasama yang luar biasa telah memudahkan urusan dan saya berbangga menjadi seorang ‘Hero”," katanya.
Manakala Pengarah Teater Muzikal Superhero, Mohd Saffwan Mohd Reip dari fakulti yang sama, menyifatkan pementasan muzikal ini adalah sebuah teater yang benar-benar berlaku di dalam sesebuah produksi.
“Kami sama–sama menempuh pelbagai cabaran sehingga teater Muzikal Superhero berjaya dipentaskan. Teater memanusiakan manusia, HERO ada pada setiap hati, jauh terpendam dan tersembunyi lesu kerana kita tidak pernah mempercayainya,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Pegawai Kebudayaan UMP, Noor Afiza Mohd Asmi, pementasan teater ini mengajak penonton untuk sama – sama menghayati dan berfikir mesej tersurat yang ingin disampaikan di samping melahirkan lebih ramai aktivis teater yang bermotivasi tinggi.
Katanya, objektif program seperti ini diadakan bagi meningkatkan kualiti bakat mahasiswa dalam seni teater, selain memperkenalkan kepada warga UMP dan masyarakat setempat tentang kepelbagaian dan genre seni teater di universiti ini. Turut hadir memeriahkan pementasan teater, Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan UMP, Abd Rahman Hj. Safie.
Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 100 views