Skip to main content

Program Jom Makan Durian santuni ahli SEJAHTERA dapat sambutan

GAMBANG, 2 Ogos 2024 - Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) atau lebih dikenali dengan SEJAHTERA menyantuni ahli-ahlinya dengan menganjurkan Program Jom Makan Durian SEJAHTERA@UMPSA pada 1 dan 2 Ogos baru-baru ini bertempat di kampus Pekan dan Gambang.

Menurut Presiden SEJAHTERA, Abd Rahman Haji Safie, penganjuran program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan.

“Ini merupakan program yang pertama seumpamanya diilaksanakan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEJAHTERA Sesi 2024-2026.

“Sebanyak 1,000 kg durian, rambutan dan manggis telah disediakan untuk ahli yang hadir. 

“Program ini juga diadakan bagi mempromosikan buah-buahan tempatan dan menyokong Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena musim buah yang sedang berlangsung,” ujarnya. 

Program Jom Makan Durian santuni ahli SEJAHTERA dapat sambutan

Tambah beliau lagi, selain dapat menikmati keenakan dan haruman raja buah, program ini juga merupakan satu platform untuk memupuk semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan warga UMPSA sekali gus meningkatkan kualiti, kesejahteraan dan produktiviti kerja pada masa akan datang.

“Program itu juga turut mendapat sambutan baik daripada warga kerja UMPSA yang merupakan ahli SEJAHTERA dan menyarankan agar program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan dating.

“Malah, ia secara tidak langsung dapat mengenali Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan juga ahli-ahli yang lain secara lebih rapat,” katanya. 

Sementara itu, bagi Pengawal Keselamatan, Bahagian Keselamatan UMPSA, Suhaili Mohamad berkata, program ini merupakan satu cara bagi meraikan dan menyantuni para ahli selain manfaat kebajikan yang boleh diperoleh.

Manakala menurut Pembantu Tadbir Kanan, Akademi A.D.A.B, Darolhisham Darus pula, program-program seperti ini yang dapat menghimpunkan para ahli perlu diadakan lebih kerap sebagai satu cara untuk mempromosikan SEJAHTERA.

SEJAHTERA yang ditubuhkan pada 8 Oktober 2019 merupakan sebuah persatuan yang berperanan menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan ahli yang terdiri dari segenap lapisan staf yang berkhidmat di UMPSA dengan keahlian terbuka kepada semua staf tanpa mengira latar belakang skim perkhidmatan dan jawatan. 

Program Jom Makan Durian santuni ahli SEJAHTERA dapat sambutan

Pada masa ini, persatuan mempunyai seramai 1,199 ahli yang terdiri daripada semua staf UMPSA.

SEJAHTERA turut menyediakan manfaat kebajikan seperti kematian, kelahiran, perkahwinan, masuk wad, wang ehsan, bakal haji, bakal pesara dan staf tamat kontrak. 

Bagi staf UMPSA yang belum mendaftar boleh mendaftar melalui pautan http://bit.ly/PendaftaranSEJAHTERAUMP.

Disediakan Oleh: Anuar Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Anuar Abdul Aziz