Skip to main content

Semarak keluarga UMP berbasikal sambil bersih kampus

PEKAN, 26 September 2022 – Lebih 200 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai program berbasikal sejauh 6.5 kilometer bermula dari Dewan Serbaguna mengelilingi kampus sambil mengutip sampah dan membersihkan sekitar universiti dalam Program Kayuhan Santai Keluarga UMP 2022  anjuran Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.
 
Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin tepat jam 8.30 pagi di Dewan Serbaguna UMP Pekan.
 
Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin dalam ucapannya turut berbangga dengan  para peserta yang menunjukkan kesungguhan dalam menjayakan program ini.  

Ujarnya, program sebegini merupakan salah satu program yang menyokong agenda kelestarian kampus.

Semarak keluarga UMP berbasikal sambil bersih kampus

“Amalan berbasikal juga merupakan amalan gaya hidup lestari yang menyumbang terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“UMP juga sentiasa menyokong matlamat SDG, di samping memberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat dan persekitaran hijau,” katanya.
 
Program ini selari dengan perkongsian Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam Wacana Ilmu baru-baru ini yang menggalakkan aktiviti berbasikal bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan menjadikan persekitaran bebas karbon.

Menurut salah seorang peserta yang merupakan staf Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Wahida Hussin berkata, program ini merupakan penyertaan pertamanya selepas pandemik COVID-19.
 
Ujarnya, program ini sangat bermanfaat kepada warga UMP di samping dapat memupuk gaya hidup sihat dan  dapat mengurangkan tekanan bekerja dalam  kalangan staf.
 
“Pada masa yang sama, staf juga berpeluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan tempat-tempat yang menarik di sekitar kampus UMP,” katanya.

Semarak keluarga UMP berbasikal sambil bersih kampus

Manakala staf Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat UMP, Mustafa Kamal Daud berkata, beliau sememangnya meminati sukan berbasikal serta menjadikan aktiviti berbasikal sebagai aktiviti riadahnya.
 
“Selain itu dengan adanya rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama turut mendorong saya melakukan aktiviti ini sepanjang minggu. 

“Malah, pada masa yang sama dapat merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
 
“Apabila melihat poster mengenai program ini, saya  tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti bersama rakan sekerja,” katanya.

Tambah beliau lagi, lebih menariknya dalam program ini beliau bukan sahaja berbasikal mengelilingi kampus, tetapi turut berhenti di empat lokasi iaitu Mercu Tanda UMP, Rumah Kayak, Rimbal Lestari dan Pusat Aktiviti Pelajar bagi aktiviti pembersihan dan pengumpulan sampah.
 
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohammed Rusllim Mohammed, Pendaftar UMP, Saiful Bahari Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Khairul Salleh Abdul Basit yang turut menyertai aktiviti berbasikal.

Program itu diadakan bersempena Majlis Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat UMP. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris