Tarian Singa Meriahkan Sambutan Tahun Baru Cina
Kira-kira seramai 1000 orang warga kampus serta penduduk setempat membanjiri Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang baru-baru ini bagi menyaksikan Malam Kebudayaan sempena sambutan Tahun Baru Cina. Program anjuran Jawatankuasa Kebudayaan Cina dari Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP dan mendapat kerjasama dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Majlis Perwakilan Pelajar UMP.
Bertemakan konsep “Jati Diri”, program ini dapat meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap kebudayaan Cina serta mempromosikan program sempena sambutan perayaan kepada masyarakat sekitar kampus.
Hadir dalam majlis Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, ialah Dr Muhamad Mat Noor, Tong Tin Long mewakili Dato Andrew Tong yang merupakan Pengarah IBAM Mining Sdn Bhd dan Chia Zhen Hon mewakili Majlis Perwakilan Pelajar UMP.
Menurut Dr Muhamad, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai penduduk berbilang kaum dan perayaan merupakan salah satu medium untuk meningkatkan integriti dan perpaduan antara kaum-kaum di Malaysia.
“Program mengajak mahasiswa menerokai identiti dan mempunyai personaliti yang tersendiri. Selain itu, ianya juga bermaksud kasih sayang terhadap budaya yang diwarisi secara turun temurun agar tidak ditelan zaman,” kata Dr Muhamad.
Acara dimulakan dengan tarian singa yang diiringi oleh paluan gong dan dram. Menurut kepercayaan masyarakat Tionghua, tarian ini dipersembahkan sebagai tanda meminta tuah dan membuang semangat jahat. Selain itu, pertunjukan fesyen pakaian tradisional, persembahan muzik tradisional, sketsa dan Opera turut disajikan kepada para penonton.
Gimik perasmian menyaksikan logo yang tertera tema Malam Kebudayaan Tahun Baru Cina 2018 dipusingkan oleh Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni untuk dipamerkan kepada penonton.
Sementara itu bagi pengarah program, Gan Kak Yit berkata, acara seperti ini dapat memupuk sikap toleransi, kerjasama, tolong-menolong yang mana dapat dilaksanakan dalam konsep “Satu Malaysia”.
Tarikan tarian Singa pada sambutan Tahun Baru Cina berjaya memukau perhatian tetamu yang hadir. Bagi kaum Cina, perayaan Tahun Baru Cina kebiasaannya jatuh pada hari pertama dalam bulan pertama menurut kalendar lunar. Dalam zaman moden kini, perayaan tersebut akan disambut pada bulan Januari atau Februari setiap tahun.
Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Pejabat Naib Canselor dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat UMP.
- 447 views