UMP kekalkan tradisi gotong-royong sedia jamuan Iftar
Universiti Malaysia Pahang (UMP) masih mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan berbuka puasa secara percuma menggunakan talam kepada warganya yang berbuka puasa di masjid UMP di Gambang dan Pekan. Ianya pasti menggamit nostalgia dan rindukan makan bertalam bagi mereka yang pernah menuntut di unversiti ini.
Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penyediaan juadah berbuka puasa disediakan dengan kuantiti sebanyak 1400 pelajar manakala untuk juadah sahur disediakan di antara 200 hingga 300 orang mahasiswa di UMP Gambang dan Pekan hasil sumbangan dana MyGift.
"Sumbangan ini merupakan hasil pengumpulan sumbangan dana, tajaan orang perseorangan, badan korporat dan orang ramai menerusi inisitif Endowmen MyGift UMP yang dilancarkan universiti. Ini termasuklah pengurusan penyediaan juadah berbuka puasa (Iftar), moreh dan sahur sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan ini juga segala persiapan disediakan secara bergotong-royong mengikut jabatan dalam universiti. Pelbagai menu menarik dihidangkan pada setiap hari antaranya Nasi Minyak, Gulai Kawah, Sayur Campur, Ayam Masak Merah, Bubur Lambuk, Ayam Masak Kurma dan sebagainya mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Manakala bagi memudahkan penyediaan juadah, set pengagihan makanan yang dinamakan Roller Conveyer iaitu satu set pengagihan makanan bagi memudahkan petugas menyediakan juadah untuk santapan jemaah masjid secara kemas, efisien dan selamat. Set ini terdiri daripada bekas periuk paras pinggang dan roller conveyor daripada bahan aluminium yang ringan untuk diletakkan talam hidangan.
Beliau yang turut meluangkan masa berbuka puasa di Masjid UMP berkata, tradisi iftar bersama dalam juadah yang disediakan dalam talam ini terus dikekalkan di universiti ini yang secara tidak langsung dapat merapatkan ukhwah antara warganya.
Selain itu juga, melalui kaedah makan bertalam ini juga mempercepatkan proses pembersihan. Hadir iftar bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Mahyudin Ismail.
Sepanjang bulan Ramadan ini UMP menerusi Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) bakal menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan penganjuran Festival Ramadan sepanjang bulan Ramadan dengan pengisian Solat Tarawikh, Tadarrus dan Iftar Jamaie.
Aktiviti lain termasuklah program Memasak Bubur Lambuk, Anda Tanya Ustaz Jawab “Ramadan Datang Bersediakan Kita”, Singgah Mesra, Kuliah Dhuha : Mengejar Lailatul Qadar, Seminar Nuzul Al- Quran dan banyak lagi bagi memberi peluang masyarakat warga kampus dan masyarakat setempat untuk turut serta.
- 186 views