UMPSA anjur Bengkel Pengenalan dan Pembangunan KIK 2026
PEKAN, 27 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga kerjanya menerusi penganjuran Bengkel Pengenalan dan Pembangunan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UMPSA 2026 baru-baru ini.
Bengkel anjuran Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) itu telah diadakan di Dewan Bankuet, UMPSA Pekan dan disertai oleh wakil pelbagai pusat tanggungjawab (PTj) universiti.
Penganjuran bengkel itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep, pendekatan dan pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sebagai platform sistematik untuk mengenal pasti masalah kerja, mencadangkan penyelesaian kreatif dan menghasilkan inovasi di peringkat organisasi.
Malah, melalui pelaksanaan KIK ini juga, organisasi berupaya mengurangkan kos operasi, memendekkan tempoh penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kualiti kerja, di samping membudayakan pemikiran kreatif, penyelesaian masalah secara sistematik serta kerja berpasukan merentas fungsi, selaras dengan agenda pemodenan perkhidmatan awam.
Bengkel itu telah disampaikan oleh pakar rujuk KIK dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Al-Bakri Mohamad@Ahmad yang berkongsi pengetahuan, amalan terbaik dan strategi berkesan dalam pembangunan projek KIK, khususnya dalam konteks sektor awam dan institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, pelaksanaan KIK bukan sekadar memenuhi keperluan pertandingan inovasi, malah berperanan sebagai mekanisme penting dalam membudayakan pemikiran kreatif, kerja berpasukan serta penambahbaikan proses kerja secara berterusan bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan organisasi.
Sejajar dengan matlamat tersebut, bengkel ini memfokuskan pengenalan KIK yang merangkumi konsep asas, struktur kumpulan, peranan ahli, pemilihan tajuk projek serta kaedah mengenal pasti masalah kerja menggunakan pendekatan sistematik dan berasaskan data.
Bengkel itu turut merangkumi taklimat penyediaan buku projek mengikut format KIK dan panduan penulisan dokumentasi projek menggunakan platform Canva bagi memastikan dokumentasi yang lengkap, teratur dan profesional.
Manakala menurut Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), PPSK, Nurhayani Mohd Rashid, bengkel ini memberikan pendedahan yang jelas mengenai konsep asas KIK, struktur kumpulan, peranan ahli dan pemilihan tajuk projek yang bersesuaian dengan keperluan organisasi.
“Pendekatan interaktif dan perbincangan kumpulan yang diterapkan sepanjang bengkel ini telah mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan kontekstual, sekali gus menyuntik keyakinan saya untuk membangunkan projek KIK di PTj pada masa akan datang,” ujarnya.
Bengkel ini turut mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasa pelaksanaan KIK sebagai pemacu inovasi organisasi dan peningkatan kecekapan perkhidmatan, selaras dengan penganjuran Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) UMPSA 2026.
Disediakan Oleh: Jamrah Mahat, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 68 views
Reports by: