Skip to main content

UMPSA anjur Kursus Pengurusan Rekod dan Arkib perkukuh tadbir urus digital

PEKAN, 19 Mei 2026 – Dalam usaha mendepani cabaran pentadbiran moden, Arkib Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Pejabat Pendaftar telah menganjurkan Kursus Pengurusan Rekod dan Arkib 2026 bertempat di Perpustakaan UMPSA, Pekan. 

Kursus sehari yang dijalankan secara percuma itu membawakan tema ‘Perubahan Pengurusan Rekod Elektronik, Kesinambungan dalam Urusan Pentadbiran Terkini’. 

Program ini direncanakan khas sebagai platform formal bagi meningkatkan kecekapan, kemahiran, serta pengetahuan profesional dalam kalangan kakitangan universiti. 

Kursus tersebut telah menghimpunkan seramai 80 peserta yang terdiri daripada 40 Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan 40 Pembantu Tadbir Rekod Jabatan daripada pelbagai pusat tanggungjawab di UMPSA.

Penyertaan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen tinggi warga universiti dalam memperkasa pengurusan rekod yang sistematik dan efisien, malah turut menjadi platform terbaik untuk perkongsian pengalaman, pertukaran idea serta pengukuhan jaringan profesional antara jabatan. 

Bagi mengupas dengan lebih mendalam berkaitan amalan terbaik pengurusan rekod, pihak penganjur telah menampilkan Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang, Nor Azah Hashim sebagai penceramah utama program.

UMPSA anjur Kursus Pengurusan Rekod dan Arkib perkukuh tadbir urus digital

Antara pengisian utama yang diketengahkan menerusi slot ceramah dan bengkel ialah Pengurusan Rekod Fizikal dan Digital, Panduan Pelupusan Rekod serta kesinambungan pelaksanaan DDMS 2026 bagi memastikan kelancaran pengurusan dokumen digital di samping memperkukuh pematuhan terhadap tatacara pengurusan rekod semasa.

Kursus yang mendapat pembiayaan daripada Pejabat Pendaftar itu telah berlangsung dengan lancar di bawah penyelarasan Jawatankuasa Kursus Arkib Universiti yang dipengerusikan oleh Hajah Kamariah Gono bersama enam ahli sekretariat Arkib Universiti UMPSA.

Penganjuran program berimpak tinggi seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasakan pengurusan rekod dan arkib secara lebih dinamik, sistematik dan berintegriti, sekali gus menyemai kesedaran dalam kalangan warga universiti mengenai kepentingan data yang relevan, tepat serta bernilai sebagai teras kepada tadbir urus universiti yang cemerlang.

Disediakan Oleh: Syed Mohd Faiz Syed Abdul Aziz, Perpustakaan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri