Warga UMPSA tunai solat Jumaat pertama di masjid baharu
PEKAN, 5 Julai 2024 - Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menunaikan solat Jumaat buat pertama kalinya di bangunan masjid baharu di UMPSA Pekan yang telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Bendahari, Dato’ Zainuddin Othman dan Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, masjid ini akan menjadi tempat tumpuan warga universiti bagi pengisian rohani dan mengukukuhkan ukhuwah di antara warga universiti.
“Saya berharap masjid ini akan dapat diimarahkan oleh seluruh warga universiti dan kita juga akan berusaha untuk melengkapkan lagi masjid baharu ini dengan kemudahan-kemudahan dan keperluan yang lain,” ujarnya.
Masjid ini dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 7.5 ekar di UMPSA Pekan dan boleh memuatkan seramai 3,500 jemaah pada satu masa.
Uniknya, bumbung masjid ini bermotifkan ‘Bunga Pekan’ dan menggunakan teknologi sesuai dengan imej UMPSA sebagai sebuah universiti Kejuruteraan dan Teknologi yang terkemuka di Malaysia.
Masjid UMPSA yang mempunyai dua aras ini turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti ruang solat wanita, bilik pengurusan jenazah, ruang edaran, parkir yang luas dan selesa serta pejabat Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN).
Beliau turut mengajak warga UMPSA dan masyarakat setempat untuk hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat dan melaksanakan aktiviti yang dapat dimanfaatkan buat warga serta masyarakat sekitar.
Selain itu, beliau juga turut merakamkan terima kasih kepada semua penyumbang dan penghargaan buat pelajar serta alumni UMPSA yang menggerakkan inisiatif di bawah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menerusi Projek ‘Mahasiswa Bina Masjid’ dalam membantu universiti untuk pencarian dana sejak masjid ini mula dibina untuk pembangunan infrastruktur bagi keselesaan kepada warga UMPSA dan juga masyarakat setempat.
Seramai 600 jemaah hadir mengimarahkan solat Jumaat itu.
Masjid UMPSA ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 3 Julai yang lalu.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 109 views