Peluncuran Kampung Angkat MADANI UMPSA fokus pemerkasaan komuniti luar bandar
CAMERON HIGHLANDS, 7 Februari 2026 - Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI (KAM) UMPSA yang dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Orang Asli Chenan Cherah Baru berjaya menyokong agenda Malaysia MADANI dengan fokus kepada pemerkasaan komuniti luar bandar melalui penglibatan universiti–masyarakat.
Inisiatif ini juga memperkukuh penyediaan prasarana asas secara lebih menyeluruh, mampan dan inklusif agar kesejahteraan komuniti dapat dibina secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi untuk masa hadapan.
Selain itu, inisiatif ini turut merapatkan jurang kemudahan asas antara kawasan bandar dan luar bandar, serta memperkasa pembangunan sosioekonomi setempat khususnya dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.
Dalam ucapan perasmian, Yang di-Pertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rusdyfasla Haji Mujid yang mewakili Menteri Besar Pahang berkata, program ini bukan sekadar satu nama atau acara simbolik, tetapi merupakan manifestasi jelas kepada aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan, keterangkuman dan keadilan sosial.

“Pembangunan yang dilaksanakan ini bukan hanya untuk membina struktur fizikal, tetapi lebih besar daripada itu, ia adalah usaha membina masa depan, harapan dan keyakinan masyarakat setempat terhadap arus kemajuan negara.
“Kerjasama strategik bersama UMPSA ini berjaya mentransformasikan kampung ini bagi memastikan masyarakat Orang Asli di Chenan Cherah Baru tidak ketinggalan.
“Kita dapat melihat perubahan ketara dari sudut infrastruktur asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian penduduk,” ujarnya.
Antara yang memberi manfaat buat penduduk adalah pembinaan jalan atau walkway sepanjang 600 meter yang lebih sempurna dan selamat telah dibina bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kampung, khususnya untuk kanak-kanak yang ke sekolah serta warga emas.
Selain itu, sebuah Dewan Aktiviti Komuniti yang baharu dengan nama Dewan Limu turut dibangunkan sebagai pusat perhimpunan, perbincangan dan pengukuhan hubungan sosial masyarakat.
Di samping itu juga, pembinaan Pusat Interaktif membuka ruang baharu sebagai hab pembelajaran, pendedahan teknologi dan pembangunan potensi generasi muda di kampung ini.
Tambah beliau, seiring dengan keperluan semasa dan cabaran dunia moden, program ini turut memberi penekanan kepada pendigitalan dan kelestarian alam sekitar.
“Kemudahan akses internet dan zon Wi-Fi telah disediakan agar penduduk kampung tidak terpinggir daripada arus digital serta dapat mengakses maklumat, pendidikan dan peluang ekonomi dengan lebih pantas.
“Di samping itu, pemasangan sistem bekalan kuasa solar di Dewan lImu dan Pusat Interaktif mencerminkan komitmen kita terhadap penggunaan teknologi hijau yang mampan.
“Lampu jalan solar yang dipasang di laluan masuk dan sekitar kampung pula bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah meningkatkan tahap keselamatan penduduk pada waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA berkata, Program Kampung Angkat MADANI ini dilaksanakan berteraskan pendekatan pembangunan holistik yang bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan kemudahan fizikal, malah merangkumi pembangunan kapasiti insan, pemerkasaan ilmu, pendigitalan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat secara mampan.

“Melalui kerjasama strategik antara UMPSA, agensi kerajaan dan rakan strategik, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan meliputi pembangunan infrastruktur, pembelajaran komuniti, akses teknologi, serta penerapan elemen tenaga hijau yang menyokong kesejahteraan penduduk kampung,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, UMPSA turut mengumumkan bahawa Kampung Chenan Cherah Baru akan dijadikan sebagai salah satu projek Living Lab UMPSA, yang berperanan sebagai tapak pembelajaran lapangan, penyelidikan gunaan, pemindahan teknologi dan pembangunan inovasi berteraskan keperluan komuniti setempat.
Antara fokus utama komitmen jangka panjang UMPSA di kampung ini merangkumi pembangunan sosioekonomi komuniti, pemerkasaan pendidikan dan kemahiran belia, penerapan teknologi bersesuaian serta pembangunan keusahawanan komuniti bagi memastikan kelestarian dan daya saing masyarakat setempat.
UMPSA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands serta semua agensi dan penduduk kampung yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.
Sinergi antara akademia, agensi kerajaan, industri dan komuniti diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti berimpak tinggi serta menyumbang kepada kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang di Cameron Highlands.
Ujar beliau lagi, pelbagai aktiviti telah diselaras di bawah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi termasuklah aktiviti dalam meningkatkan pendidikan kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris, aktiviti keceriaan kawasan inap desa, kursus hospitaliti dan kulinari serta pembinaan dewan aktiviti masyarakat yang dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk kampung.
“Lain-lain adalah bancian dan kutipan data penduduk bagi mengenal pasti kesesuaian penduduk sebagai peserta bagi siri latihan TVET dalam inisiatif KAM yang juga termasuk kursus perlesenan motorsikal dan lain-lain,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Dato’ Zaman Azam Muhanat Sarif@Ahmat, wakil Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Athirah Nir Hashim dan wakil penduduk Kampung Chenan Cherah, Zairum Bah Leg.
Turut sama hadir Pengarah Kanan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah, Pusat Hubungan Komuniti, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris dan Pengurus Besar, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Hazmin Aris.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 32 views
Reports by: