Skip to main content

UMPSA laksana program komuniti berintegrasi berasaskan TVET manfaat buat Rumah Penyayang Tun Abdul Razak

PEKAN, 4 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rumah Penyayang Tun Abdul Razak dalam memperkasa komuniti, khususnya golongan memerlukan melalui sokongan dalam bentuk pendidikan, kemahiran, teknologi dan kesejahteraan hidup.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Datuk Shahlan Ismail yang mewakili pihak Rumah Penyayang Tun Abdul Razak.

Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, serta Pengarah Pusat Hubungan Industri UMPSA, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee.

Turut berlangsung Majlis Peluncuran Program Komuniti Berintegrasi bertempat di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Pekan.

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, melalui Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti UMPSA, pihaknya telah melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi bagi memperkukuh jaringan bersama pemegang taruh selain memindahkan pengetahuan dan teknologi kepada komuniti.

UMPSA laksana program komuniti berintegrasi berasaskan TVET manfaat buat Rumah Penyayang Tun Abdul Razak

“Program ini merangkumi lima subprojek utama berasaskan teknologi dan latihan kemahiran TVET iaitu Sistem Solar dan Teknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Automatik, Teknologi Probiotik untuk Fertigasi, Aplikasi Web dan Pengurusan Projek Perisian Komputer serta Pemasaran dan Keusahawanan. 

“Setiap projek diketuai oleh tenaga akademik UMPSA yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan rentas disiplin meliputi bidang teknologi, pendidikan dan keusahawanan dengan matlamat memperkasakan penghuni Rumah Penyayang menerusi pendekatan lestari dan berorientasikan masa depan.

“Manakala bagi Pengaplikasian Bioteknologi dan Sistem Fertigasi dalam Pertanian, beberapa modul latihan dan hands-on telah diperkenalkan kepada komuniti RPTAR, merangkumi pengajaran sistem pertanian moden seperti hidroponik, fertigasi meja dan fertigasi terbuka serta sistem akuakultur kitar semula ‘Recirculating Aquaculture System (RAS)’,” ujarnya. 

Bagi Profesor Ts. Dr. Aida, pendekatan ini mampu memberi pendedahan praktikal dan meningkatkan keupayaan komuniti dalam menjana sumber makanan secara mampan serta berteknologi.

Beliau berkeyakinan penuh bahawa inisiatif seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih luas antara institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara.

Seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’,  projek ini seiring dengan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 2: Tiada Kelaparan dan SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari yang turut mendukung aspirasi sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri