3 pasangan suami isteri bergraduasi di UMPSA
GAMBANG, 29 Oktober 2024 - Dua graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Jad Jafni Jawahir, 24 dan Athirah Kamarul 'Arif, 26 membawa cerita yang penuh inspirasi dalam perjalanan mereka menuju kejayaan.
Jad anak keempat dariapada lima orang adik-beradik itu berasal dari Kelantan, manakala Athirah, pula dari Kuala Lumpur dan merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik.
Jad menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian manakala isterinya, Athirah menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedi) dengan Kepujian pada sesi ketiga di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19.
Sepanjang pengajian, Jad aktif dalam pelbagai kegiatan, termasuk menjadi Exco Khidmat Komuniti dan merupakan seorang atlet boling.
Beliau pernah meraih pingat gangsa dalam kejohanan SukFAC 2023.
Athirah pula pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Portfolio Keusahawanan dan Logistik di PETAKOM.
Kedua-duanya juga turut meraih Anugerah semasa pengajian di UMPSA.
Ketika berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa di UMPSA, Jad teringat saat kejayaan pasukannya dalam kejohanan boling dengan meraih pingat gangsa.
Sementara Athirah tidak dapat melupakan saat menyertai program organisasi, tetapi kerana cuaca berubah menjadi aktiviti sukarelawan dengan membantu mangsa banjir.
Kisah mereka juga menyentuh tentang persahabatan yang mendalam, dari pertemuan di semester ketiga, mereka saling memberi sokongan tanpa pernah bercinta.
Kesinambungan hubungan ini berakhir dengan ikatan perkahwinan pada 12 Oktober 2024.
Jadi sentiasa berpegang kepada prinsip untuk berusaha mencapai kecemerlangan dan memberi sokongan kepada orang lain.
Manakala Athirah pula amat menekankan kepada pentingnya untuk tidak pernah berhenti berjuang.
Mereka berdua berharap untuk menjadi individu yang memberi sumbangan kepada masyarakat dan membina keluarga yang bahagia di masa depan.
Pasangan pengantin baharu ini bukan sekadar berkongsi tentang kejayaan akademik, tetapi juga tentang kekuatan persahabatan, sokongan keluarga, dan keberanian untuk melangkah ke hadapan.
Harapan mereka agar mereka menjadi contoh kepada generasi muda tentang bagaimana ketekunan dan saling menyokong dapat membawa kepada kejayaan yang lebih besar.
Selain itu, dua pasang suami isteri yang turut serta meraikan kejayaan bersama di hari konvokesyen ini ialah Sanjay a/l Gustian dan pasangannya DevaPriyaa a/p Supramania.
Sanjay dan DevaPriyaa memperoleh Master Eksekutif Pengurusan Korporat
Menurut Sanjay, dia sangat gembira dapat menyambung pengajian bersama isteri.
“Ia merupakan satu pengalaman yang sangat positif dan mengembirakan.
“Saya masih ingat lagi, ketika saya mengajak isteri untuk sama-sama menyambung pengajian, pada awalnya isteri menolak namun setelah dipujuk isteri bersetuju untuk sama-sama menyambung pengajian.
“Bagi saya, belajar bersama suami isteri dapat meningkatkan ikatan kekeluargaan kerana adanya waktu yang berkualiti untuk belajar dan berbincang bersama-sama,” katanya ketika ditemu bual.
Turut menerima ijazah ialah pasangan suami isteri, Asri Faiz Mohammad Noor Azlan dan Mastura Mohd Said.
Mereka memperoleh Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
Disediakan oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz Dan Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat