47 graduan terima Diploma CBTM tingkat kompetensi bakat kepimpinan
GAMBANG, 29 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan pencapaian seramai 47 graduan daripada Program Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi, dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 yang berjaya menamatkan program ini pada tahun ini.
Program ini direka khas bagi memenuhi keperluan pengamal Sumber Manusia di universiti dalam mengurus bakat menggunakan pendekatan berasaskan kompetensi.
Program ini merupakan hasil kerjasama dan kolaborasi strategik antara Pusat Pengurusan Bakat, Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT) dengan Fakulti Pengurusan Industri, UMPSA dan UMPSA Advanced Education.
Melalui kerjasama ini, AKEPT menunjukkan komitmennya untuk memartabatkan bakat di universiti awam (UA), terutamanya dalam melahirkan bakat kepimpinan pendidikan tinggi yang cemerlang.
Usaha ini berteraskan kepada pembangunan dan pengurusan bakat secara holistik, selari dengan pendekatan pertumbuhan organik (organic growth) yang mengutamakan perkembangan menyeluruh bakat.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, AKEPT, UMPSA dan UMPSA Advanced Education akan setiasa menjuarai Agenda Pegurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).
“Setelah 5 kohot bergraduat, Universiti-universiti Awam kini mempunyai sekumpulan individu yang mempunyai kefahaman yang tinggi dalam CBTM, dan seharusnya mereka akan berupaya membantu institusi masing-masing untuk mengetengahkan inisiatif-inisiatif pengurusan bakat yang berkesan dengan kerangka kompetensi yang sesuai,” ujarnya.
Program ini yang kini memasuki kohot kelima sejak diperkenalkan, menunjukkan komitmen UMPSA dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan kecekapan pengurusan bakat dalam kalangan pengamal sumber manusia universiti.
Program ini bukan sahaja memberi pengetahuan mendalam mengenai pengurusan bakat berasaskan kompetensi, malah turut menyediakan latihan praktikal bagi memastikan para peserta bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pengurusan bakat di universiti.
Manakala menurut Profesor Madya Dr. Muhammad Ashraff Fauzi@Fauri, yang juga merupakan Ketua Penyelidik dalam pasukan penyelidik yang menerajui usaha ini, menyatakan harapan agar program ini dapat menjadi penanda aras bagi kemajuan dalam Pengurusan Sumber Manusia di universiti.
“Pencapaian graduan tahun ini merupakan satu bukti kejayaan usaha bersama antara AKEPT, UMPSA dan peserta program dalam memperkasa pengurusan bakat yang lebih efektif dan berimpak tinggi,” katanya.
Dengan kejayaan 47 graduan ini, AKEPT dan UMPSA bertekad untuk terus komited dalam menawarkan program yang berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan kemahiran dan kepakaran pengurusan bakat dalam kalangan pengamal sumber manusia di universiti, demi kemajuan pendidikan tinggi negara.
Disediakan oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
- 264 views